Penganjuran Festival Majestic Johor (FMJ) 2022 di Iskandar Puteri, Johor baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung yang rata-ratanya sudah begitu lama menanti program berskala besar berlangsung setelah pandemik Covid-19 melanda negara.
Buktinya, pameran Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang diadakan bersempena FMJ 2022 itu dilaporkan telah menarik kehadiran 135,628 pengunjung dari dalam dan luar negara.
Pameran KMJ menampilkan 16 buah kenderaan yang pernah digunakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sepanjang penganjuran program KMJ iaitu kembara diraja yang mencemar duli masuk ke kawasan-kawasan di sekitar Johor bertemu rakyat sejak tahun 2000.
Sultan Ibrahim telah berkenan mempamerkan kenderaan-kenderaan itu yang tampaknya mempunyai rekaan dan ciri yang mempesonakan.
Menurut kenyataan dalam Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bukan sahaja rakyat tempatan, malah terdapat juga pengunjung dari pelbagai negara luar antaranya Argentina, New Zealand, Australia, Greece, Palestin, Singapura, China, United Kingdom dan Korea Selatan yang turut hadir.

HISHAMUDDIN menunjukkan trak Mack, jentera yang paling menjadi tarikan dalam pameran itu.
Pameran yang berlangsung selama 11 hari bermula 8 September lalu itu pastinya mengubati kerinduan rakyat Johor terhadap program KMJ yang menjadi acara tahunan keluarga diraja negeri itu selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2019.
Antara kenderaan yang dipamerkan termasuklah trak Mack yang digunakan pada KMJ 2015, bas Prevost Marathon Coach pada KMJ 2014, empat kereta beroda tiga Morgan pada KMJ 2017 serta koleksi motosikal berkuasa tinggi Sultan Johor antaranya Harley Davidson Road King Special Flinstones; Harley Davidson Soft Tail Deluxe Coronation Edition; Harley Davidson Electra Glide Standard Police dan Harley Davidson Road King Asian Tiger dan lain-lain.
FMJ 2022 merupakan program anjuran Kerajaan Negeri menerusi Tourism Johor bertempat di Puteri Harbour.
Seorang pengunjung yang ditemui, Norhanis Mohammad, 35, memberitahu, dia teruja untuk membawa anak-anaknya ke festival berkenaan.
“Tarikh pelaksanaan festival ini amat bersesuaian kerana kanak-kanak bercuti sekolah, namun saya dan suami tidak dapat membawa mereka berjalan jauh kerana perlu bekerja.
“Jadi apabila ada penganjuran festival seperti ini, dapatlah kami membawa anak-anak berkunjung dan melihat pelbagai tarikan yang disediakan,” katanya yang menetap di Pasir Gudang kepada K2.

SALAH Satu kereta beroda tiga Morgan yang dipamerkan.
Tambah Norhanis, antara tarikan yang digemari anak-anaknya adalah pameran kenderaan yang digunakan Sultan Johor.
“Dahulu saya dan anak-anak pernah melihat konvoi baginda ketika mengunjungi daerah Segamat, jadi kami seronok juga untuk melihat kenderaan-kenderaan lain yang pernah digunakan baginda sepanjang KMJ.
“Antara yang paling disukai anak-anak saya adalah trak Mack yang turut dipamerkan. Ia mungkin kerana saiznya yang besar dan juga kelihatan seperti karakter Transformers,” ujar ibu kepada empat cahaya mata itu.
Selain pameran kenderaan Sultan Ibrahim yang menjadi tarikan utama, festival itu juga mengetengahkan pelbagai acara berkaitan pelancongan, persembahan kebudayaan, permainan tradisional dan lain-lain.
Seorang pengunjung, Muhammad Zaki Supaid, 39, pula memberitahu, di festival itu, dia mendapat banyak informasi baharu khususnya mengenai tarikan pelancongan yang terdapat di setiap daerah di negeri ini.
“Saya mempunyai saudara-mara di Singapura dan mereka selalu tanya apa yang menarik di setiap daerah dalam Johor.

DUA kenderaan menarik dengan warna menyerlah yang dapat disaksikan.
“Dahulu mungkin sukar untuk saya terangkan, tetapi kini saya boleh jawab apa yang menarik di setiap daerah.
“Selain itu, saya juga tertarik dengan gerai-gerai pameran daerah yang menonjolkan keunikan kawasan masing-masing sama ada produk makanan dan minuman atau budaya tempatan mereka.
“Sebagai contoh, gerai pameran daerah Segamat menyediakan demonstrasi gasing mini yang diperbuat daripada kayu cengal dan cara-cara bermainnya.
“Selain itu, gerai Kluang pula menjual produk popular mereka iaitu kopi Kluang selain Pontian menjual barangan berasaskan serat buah nanas,” katanya.
Tambah ahli perniagaan itu lagi, dia juga tertarik dengan aktiviti tayangan skrin gergasi siaran langsung perlawanan bola sepak akhir Piala FA antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu yang turut diadakan pihak penganjur.
“Saya tidak mempunyai kesempatan untuk berkunjung ke Kuala Lumpur bagi menyaksikan perlawanan tersebut, jadi saya mahu menyaksikannya di skrin gergasi yang disediakan di sini bersama rakan-rakan yang juga penyokong setia JDT,” ujarnya sebelum perlawanan itu dilangsungkan.
Seorang lagi pengunjung, Mohd. Badrull Hisyam Adam, 32, pula memberitahu, dia gembira kerana dapat melihat program berskala besar kembali diadakan di negeri ini selepas beberapa tahun tidak diadakan.

CIRI-CIRI canggih dipaparkan pada sebuah bas istimewa yang dipamerkan.
“Sebelum pandemik, banyak program berskala besar diadakan di Johor. Meriah rasanya apabila datang beramai-ramai untuk menghadiri program sebegitu, tetapi sejak pandemik Covid-19 melanda, kemeriahan ini seperti sudah hilang.
“Namun dengan adanya penganjuran program seperti ini, saya percaya Johor akan kembali meriah dan sektor pelancongannya kembali hidup,” katanya.
Sementara itu, Tourism Johor merakamkan penghargaan dan terima kasih atas komitmen serta
kerjasama semua pihak yang telah menjayakan FMJ.
Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim berkata, penganjuran seumpama itu mampu memulihkan ekonomi Johor yang sebelum ini terjejas akibat pandemik Covid-19.
Dilaporkan, keseluruhan festival tersebut telah menarik kunjungan seramai 650,000 pelawat dan ia melebihi sasaran awal iaitu 500,000 dengan pameran KMJ menjadi tarikan utama apabila mencatat kunjungan 135,628 pelawat sepanjang festival berkenaan.

BOT Scorpion Maraudeur turut dipamerkan dalam pameran yang menarik kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara itu.
“Terdapat sebanyak 32 acara dianjurkan sepanjang festival ini termasuklah pertunjukan sukan tempur muay Thai, persembahan kebudayaan, permainan tradisional dan konsert artis terkenal tanah air,” katanya.
Festival tersebut juga dianjurkan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), UEM Sunrise dan Iskandar Puteri Tourism Action Council (IPTAC).
Tourism Johor berharap agar festival tersebut terus menjadi pencetus kepada proses pemulihan sektor pelancongan sekali gus merancakkan semula ekonomi negeri Johor.















