Oleh ASLIZA MUSA
IPOH – Masyarakat diminta agar tidak menyalahkan golongan tertentu khususnya ahli politik sebagai punca peningkatan kes Covid-19 di negara ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, wabak berkenaan boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang.
“Saya harap rakyat tidak panik. Saya nampak di sosial media ada yang marah-marah kepada orang politik (menyebabkan peningkatan kes).
“Sebenarnya virus ini tidak kira sama ada Presiden Amerika atau orang biasa, dia tidak pilih. Jadi bukan salah segolongan orang itu atau orang ini. Ia boleh jadi kepada sesiapa sahaja, yang penting kita jaga SOP (prosedur operasi standard),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Integriti Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru di sini hari.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri belum melihat keperluan untuk memperketatkan semula aktiviti perniagaan dan sosial di negeri ini berikutan peningkatan kes Covid-19.
Beliau bagaimanapun berkata, pemantauan akan dilakukan daripada semasa ke semasa dan bagi negeri Perak semua perkara yang ditetapkan melalui SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kekal buat masa sekarang.
“Peningkatan ini berlaku di tempat-tempat seperti penjara kerana ia bukan merebak melalui program, perhimpunan, kenduri kahwin dan sebagainya.
“Ini bermakna ia menular melalui satu kawasan yang tertutup dan kita faham jika rakyat meneruskan SOP dengan menjaga penjarakan sosial, mencuci tangan dan jaga kebersihan, wabak ini boleh dikawal,” katanya.-K!ONLINE














