PETALING JAYA – Seramai 107,781 penagih dadah direkodkan sedang menjalani rawatan dan pemulihan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Ini bermakna, dalam sehari, mereka yang menjalani rawatan dan pemulihan kerana terlibat dalam aktiviti penagihan dadah adalah seramai 1,197 orang.
Menurut AADK, bagi tahun lalu, jumlah tangkapan ke atas penagih dadah adalah berkurangan disebabkan pandemik Covid-19 yang memaksa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara.
“AADK akan akan membuat pemantauan secara berkala sepanjang hayat selepas selesai menjalani program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) serta Pemulihan Dalam Institusi (RPDI).
“Kami akan dapatkan perintah mahkamah untuk dapat rawatan melalui program RPDK yang dikendalikan 109 pejabat AADK Daerah serta RPDI di 30 buah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) seluruh negara.
“Rawatan tersebut akan mengambil masa selama dua tahun dan selepas itu, akan ada proses rawatan jagaan lanjutan (after care) melibatkan pemantauan oleh AADK secara berkala sepanjang hayat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, AADK kini tertumpu kepada kaedah lebih holistik dan prihatin merangkumi aspek biologi, psikologi, sosial dan spiritual seseorang penagih menerusi Model i-Pulih AADK seiring dengan perubahan trend dadah. -KOSMO! ONLINE














