Kecintaan terhadap bidang makanan dan minuman (F&B) mendorong tiga anak muda dari Sitiawan untuk menceburi industri tersebut menerusi pembukaan sebuah kafe dinamakan Houf Cafe.
Tiga individu yang berkongsi minat sama tersebut ialah Ivan Wee Shao Chen, 32; Darren Liew Wai Yew, 31, dan Diong Hai Teng, 29.
Bagi mereka, tiada apa yang boleh menggambarkan rasa cinta dimiliki terhadap bidang F&B selain membuka sebuah kafe di tempat asal usul mereka dengan menu diilhamkan sendiri.
Menurut Ivan, perkataan Houf yang digunakan mereka sebagai nama kafe itu merupakan ringkasan daripada perkataan Scotland, houff yang bermaksud tempat berhimpun.
“Mengambil inspirasi daripada maksud perkataan tersebut dengan lokasi perniagaan yang terletak di Sitiawan (Perak), pelanggan pelbagai kaum turut memainkan peranan dalam penghasilan menu kami.
“Disebabkan itulah, kami memberi penekanan kepada menu berkonsepkan fusion kerana ia sesuai dengan selera pelanggan berbilang kaum,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ivan berkata, antara menu popular kafe tersebut ialah soft shell crab pasta, kantan loaded fries dan buttermilk chicken rice, manakala pemanis mulut pula seperti coffee panna cotta.
Bagi minuman pula, katanya, pelanggan mempunyai banyak pilihan, bermula daripada seleksi kopi seperti espresso, latte dan americano, namun minuman kiub ais berperisa menjadi kegemaran pelanggan wanita.

“Sebagai contoh, minuman kiub ais seperti lychee wose with black tea begitu digemari mereka. Antara perisa lain dalam seleksi minuman itu termasuklah strawberry latte dan jelly in milk.
“Kami juga menjual antara 30 hingga 35 jenis makanan, jadi pelanggan mempunyai lebih pilihan apabila mengunjungi kafe ini,” kata pemegang Diploma Multimedia dan Rekabentuk Grafik Universiti TransWorld, Taiwan.
Sementara itu, Darren yang berpengalaman bekerja dalam bidang F&B selama enam tahun di Sabah berkata, mereka menukar hidangan beberapa bulan sekali dan mengekalkan menu popular bagi memastikan menu mereka sentiasa ‘segar’.
Jelasnya, ia juga untuk memastikan pelanggan sentiasa mempunyai pilihan baharu dari semasa ke semasa dan tidak cepat berasa bosan untuk mengunjungi Houf Cafe.
“Sebelum memulakan perniagaan pada Februari tahun lalu, kami mengambil masa kira-kira sebulan mengkaji menu yang bersesuaian dengan konsep kafe ini. Hasilnya adalah seperti yang dapat dilihat dalam menu,” katanya.

PENGUNJUNG yang datang menjamu selera di Houf Cafe disambut dengan persekitaran estetika bangunan klasik premis tersebut.
Menurutnya, kafe tersebut mampu memuatkan sehingga 60 pelanggan pada satu-satu masa serta boleh ditempah untuk acara-acara khas seperti majlis hari jadi atau acara persendirian syarikat.
“Bagi yang melakukan tempahan sedemikian, kami akan menawarkan menu khas bersesuaian dengan acara dianjurkan.
“Bukan itu sahaja, kafe ini juga akan dihias berdasarkan tema tertentu bergantung kepada musim perayaan,” katanya.
Darren berkata, mereka bercadang melebarkan sayap perniagaan ke Ipoh dalam masa terdekat ekoran sambutan menggalakkan diterima daripada orang ramai.
Houf Cafe beralamat di 11, Jalan Lumut, 32000 Sitiawan, Perak dan boleh dihubungi di talian 011-1306 7600 atau 05-692 0072.

Orang ramai boleh mendapatkan perkembangan terkini dan melihat menu di laman Instagram @houf.cafe, dengan waktu operasinya bermula 11.30 pagi hingga 8.30 malam, manakala ia ditutup Selasa.














