fbpx
PESAWAT MAB yang telah disiapkan dengan livery baharu berupa bendera Malaysia kelihatan terletak di Kompleks Kejuruteraan MAB, Sepang.– FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

Livery Negaraku suntik semangat cintakan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERASAAN bangga jelas terpancar di wajah Shaderon Sarmungah saat melihat livery terbaharu pada pesawat Boeing 737-800 milik Malaysia Airlines Berhad (MAB) di Hangar 5, Kompleks Kejuruteraan MAB, Sepang, Selangor baru-baru ini.

Livery adalah istilah yang merujuk kepada skema cat atau grafik pada badan sesebuah pesawat.

Livery pada pesawat yang disaksikan Shaderon itu secara asasnya mengetengahkan warna putih dan dicat dengan tema Jalur Gemilang berupa bulan, bintang pecah 14 serta tiga jalur merah dan putih pada bahagian belakang pesawat.

Lelaki berusia 49 tahun itu merasakan livery dikenali sebagai Negaraku itu mampu menyuntik nafas baharu kepada pesawat serta mengembalikan keyakinan penumpang terhadap jenama MAB.

Katanya, setiap rakyat Malaysia pasti gembira apabila berpeluang terbang ke seluruh dunia dengan menggunakan pesawat yang mempunyai livery bendera negara bersaiz besar tersebut.

“Ia satu kebanggaan bagi saya apabila melihat livery bendera Malaysia pada badan pesawat milik MAB ini. Livery Negaraku ini akan membawa nama dan jenama negara mengelilingi seluruh dunia.

“Saya rasa tidak ada lagi syarikat penerbangan di dunia yang berani menggunakan bendera negara sebagai livery. Selalunya, syarikat penerbangan hanya meletakkan bendera bersaiz kecil saja pada badan pesawat,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

PESAWAT Airbus A350-900 yang dicat Livery Negaraku.

Livery Negaraku turut memberi kepuasan tersendiri kepada Shaderon yang telah berkhidmat dengan MAB sebagai Ketua Bahagian Cat dan Komposit selama hampir 30 tahun.

Lelaki berasal dari Banting itu sangat berpuas hati dengan hasil kerja serta usaha kerasnya bersama kira-kira 20 petugas lain bagi merealisasikan livery baharu tersebut.

“Selepas diberitahu pihak atasan ingin menggunakan livery Negaraku pada semua pesawat MAB, saya bersama pasukan sangat teruja untuk merealisasikan hasrat itu,” katanya.

Akui Shaderon, pihaknya terpaksa mengharungi pelbagai cabaran sukar bagi menyiapkan livery Negaraku buat pertama kali pada badan pesawat Boeing B737-800 sekitar akhir tahun 2020 lalu.

Ceritanya, antara cabaran terbesar yang perlu dihadapi adalah untuk menghasilkan jalur merah dan putih pada livery Negaraku kerana ia perlu mengikut setiap ukuran ditetapkan.

“Kesukaran utama kami adalah untuk merealisasikan lakaran pada sekeping kertas ke badan pesawat yang melengkung. Paling susah adalah ketika membuat jalur putih dan merah ini kerana ia beralun. Jadi, kerjanya susah sedikit.

“Selepas siap yang pertama, proses mengecat livery pada pesawat-pesawat lain menjadi lebih mudah. Sekarang ini, dalam tempoh seminggu kami sudah boleh siap livery pada pesawat Boeing B737-800 berbanding 12 hari pada peringkat awal lalu,” jelasnya.


EKE NAZRI menerangkan mengenai livery terbaharu pesawat MAB kepada para media baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Kejuruteraan dan Penyelengaraan MAB, Eke Nazri Rahim berkata, livery Negaraku pada badan pesawat mencerminkan komitmen MAB untuk berkhidmat kepada negara.

Jelasnya, livery tersebut merupakan pandangan pertama yang mampu menarik perhatian penumpang apabila mereka berada di lapangan terbang atau pintu masuk pelepasan.

“MAB sentiasa komited untuk menjadi pembawa bendera negara ke seluruh dunia menerusi laluan penerbangan kami. Ia merupakan satu kebanggaan apabila melihat bendera negara pada badan pesawat.

“Pada masa sama, kami berharap livery ini dapat menaikkan semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat tempatan. Jadi, berbanggalah apabila menggunakan pesawat MAB,” katanya.

Menariknya, livery Negaraku itu merupakan salah satu langkah ‘brain wash’ MAB bagi melakukan perubahan terhadap imejnya. Idea berkenaan tercetus sewaktu pandemik Covid-19 melanda dunia pada tahun 2020.

Eke Nazri memaklumkan, inisiatif untuk mengetengahkan livery Negaraku bermula ketika pandemik apabila 80 peratus pesawat milik MAB tidak dibenarkan terbang ekoran sekatan perjalanan ke seluruh dunia.

Menurutnya, peluang tersebut memberi peluang kepada pihaknya untuk menukar livery lama dikenali sebagai Swoosh kepada Negaraku pada sebahagian besar pesawat milik MAB.

“Untuk makluman, livery ini pernah digunakan pada salah sebuah pesawat syarikat kami sekitar tahun 2017. Pada 2020, kami mengambil keputusan untuk menggunakan livery ini secara menyeluruh pada pesawat.


SHADERON (kanan) meninjau proses membuat jalur merah pada salah sebuah pesawat.

“Ketika pademik, banyak pesawat tersadai di hangar disebabkan sekatan penerbangan. Daripada terbiar sahaja, kami memulakan langkah menukar livery. Segala proses menyiapkan livery ini dilakukan oleh tenaga dalaman MAB dengan kos paling minimum,” terangnya.

Mengulas mengenai proses menghasilkan livery berkenaan, Eke Nazri memberitahu, ia bermula dengan membuang cat lama pada badan pesawat menggunakan bahan kimia.

Ujarnya, ia diikuti dengan proses primer, stensil, mengecat warna asas sebelum disusuli mengecat livery, penandaan, melekat, mencuci serta mengilat.

“Segala proses ini dilakukan dengan menggunakan kepakaran dalaman kami. Memandangkan badan pesawat tinggi, kami terpaksa menggunakan perancah setinggi 30 meter untuk memudahkan kerja..

“Dianggarkan kira-kira 320 liter cat digunakan bagi setiap pesawat Boeing B737-800 dan 710 liter untuk Airbus A350-900,” katanya.

Eke Nazri memaklumkan, pihaknya menggunakan cat jenis base coat clear coat (BCCC) hasil kerjasama jabatan KLM’S Engineering & Maintenance dengan jenama pembekal cat dari Jerman, Mankiewicz.

Katanya, BCCC bersifat bebas krom dengan teknologi kemasan ringan yang mampu mengurangkan berat pesawat sebanyak 15 peratus, berbanding menggunakan cat konvensional.

“Apabila pesawat lebih ringan, kami mampu menjimatkan penggunaan bahan api. BCCC juga lebih cepat kering dan mampu mempercepat proses mengecat selama dua hari berbanding cat biasa.

“Bagi pesawat yang menggunakan cat tradisional, ia perlu dicuci selepas 45 hari. Namun, BCCC mampu bertahan sehingga 90 hari sebelum perlu dibersihkan,” ujarnya.

BARISAN Individu yang bertanggungjawab menunjangi dan merealisasikan pembuatan livery baharu pesawat MAB.

Eke Nazri menambah, BCCC juga mempunyai kemasan tidak lekat habuk sekali gus memudahkan proses mencuci pesawat iaitu sekadar menggunakan air bersih dan sabun biasa.

Terangnya, pihaknya tidak perlu lagi menggunakan bahan kimia untuk menanggalkan kesan degil ketika mencuci seiring matlamat MAB bagi memelihara dan memulihara alam sekitar.

Sehingga kini, livery Negaraku telah berada pada 22 buah pesawat Boeing B737-800, Airbus A350-300 (10 buah), Airbus A330-200 (tiga buah) dan Airbus A330-900 (tiga buah).

Pihak MAB menjangka pihaknya mampu menyiapkan livery Negaraku pada 58 buah pesawatnya menjelang akhir tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN