fbpx

Peniaga kecil menanti ‘durian runtuh’ dalam Bajet 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAMAI peniaga kecil terkesan dan mengalami kerugian ketika pandemik Covid-19 melanda negara.
IKHWAN IDERIS, WARTAWAN EKSEKUTIF

PEMBENTANGAN Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 7 Oktober ini dijanjikan akan memfokuskan kepada pemulihan pasca Covid-19, terma­suk usaha mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat serta kelangsungan perniagaan.

Bagi memastikan penyediaan Bajet 2023 yang inklusif kepada semua, Kementerian Kewangan (MOF) telah melancarkan pelbagai inisiatif, termasuk Portal Cadangan Bajet 2023 supaya semua dapat berkongsi pandangan.

Ketika sesi libat urus Belanjawan 2023 dibuka seluas-luas­nya oleh MOF, peranan dimainkan pertubuhan bukan kerajaan dilihat kritikal bagi menyampaikan suara lebih ramai rakyat, terutamanya di peringkat bawahan.

Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil & Sederhana Malaysia (Ikhlas Malaysia) misalnya, me­lancarkan kaji selidik pada Ahad lalu untukmendapatkan maklum balas daripada penjaja, peniaga kecil, usahawan dan bakal usahawan untuk merumuskan kaedah penawaran bantuan yang berkesan buat mereka.

Menurut Presidennya, Mohd. Ridzuan Abdullah, peniaga kecil perlu diberikan perhatian khusus dalam pembenta­ngan belanjawan kali ini, lebih-lebih lagi apabila ekonomi negara dijangka menghadapi cabaran getir, antaranya dari segi lonjakan inflasi.

Jelasnya, sekiranya situasi tersebut berlaku, peniaga kecil ini bakal berdepan masalah dari segi jualan dan pendapatan pula akan berkurang dan seterusnya menyukarkan mereka memenuhi komitmen masing-masing.

Sebagai persediaan berdepan cabaran tersebut, beliau melihat dua bantuan yang kritikal untuk peniaga ialah penyediaan dana yang lebih besar untuk pembia­yaan mikro, serta proses permohonan yang jauh lebih mudah dan ringkas.

“Daripada tinjauan kami, antara bantuan yang paling diperlukan peniaga ialah pembiayaan mikro yang mencukupi.

“Selain itu, sejak dua atau tiga tahun kebelakangan ini, ramai ahli kami yang berjumlah 150,000 orang termasuk dari Sabah dan Sarawak mengeluh proses untuk mendapatkan pembiayaan mikro dari pemberi pinjaman berkaitan kerajaan semakin sukar.

“Seolah-olah mereka ini memohon pembiayaan daripada bank swasta, bukan daripada agensi kerajaan.

“Tambahan pula, dengan jangkaan suasana ekonomi yang semakin mencabar tahun depan, dikhuatiri ramai yang berisiko kehilangan pekerjaan dan golo­ngan ini mungkin memilih untuk mula berniaga secara kecil-kecilan bagi kelangsungan hidup, terutamanya dari rumah.

“Penyediaan pembiayaan mikro dengan proses permohonan yang dipermudahkan pastinya penting bagi membantu mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, penulis melihat dua perkembangan penting yang mungkin diumumkan pada mesyuarat Kabinet hari ini, antaranya ialah cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 dalam masa terdekat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, Bank Pusat Amerika Syarikat pula dijangka me­ngumumkan kadar faedah baharu, dan ramai penganalisis ekonomi berpandangan negara Uncle Sam itu akan terus menaikkan kadar faedah secara agresif, dalam lingkungan 75 mata asas sehingga satu peratus.

Sekiranya ini berlaku, ia pasti­nya memberikan impak signifikan kepada negara berasaskan perdagangan seperti Malaysia, antaranya dari segi nilai ringgit yang kini jatuh melebihi paras RM4.50 berbanding dolar Amerika Syarikat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI