JERANTUT – Rata-rata penduduk yang mendengar bunyi tembakan di Kampung Labu di sini, menyangkakan ia berpunca daripada kejadian rompakan melibatkan sebuah rumah yang dihuni sepasang suami isteri warga emas.
Menurut seorang penduduk yang enggan dikenali, pasangan itu yang berusia lingkungan 60-an hingga 70-an hanya tinggal berdua di rumah tersebut dan mereka ditemui dalam keadaan berlumuran darah.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami lihat keadaan agak sunyi sebelum kedua-dua mangsa ditemui dengan kesan tembakan pada leher dan bahagian perut.
“Mangsa wanita mengalami kecederaan parah di bahagian perut dan masih bernyawa ketika ditemui.
“Kami menyangkakan kedua-dua pasangan suami isteri itu menjadi mangsa rompakan berikutan kecederaan parah yang dialami,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Difahamkan, selaras senapang patah milik mangsa lelaki turut ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, mangsa lelaki ditemui dalam keadaan sudah tidak tidak bernyawa, manakala mangsa wanita sempat dikejarkan ke Hospital Jerantut untuk rawatan.
“Cuma maklumat terbaharu yang kami terima mangsa wanita meninggal dunia di hospital ketika menerima rawatan.
“Kami terkejut dengan kejadian ini, sebelum anggota polis tiba di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan,” katanya.
Jelasnya, pasangan itu merupakan penduduk yang sangat mesra di kampung berkenaan.















