PERKENALAN antara Syafiza dan Ishak (bukan nama sebenar) bermula ketika masing-masing bekerja sebagai jurutol di sebuah konsesi lebuh raya di Kuala Lumpur.
Pengenalan singkat mereka itu membawa kepada bibit cinta sebelum mengikat tali pertunangan. Selepas setahun, Syafiza dan Ishak telah mengambil keputusan untuk menjalin hubungan yang sah.
Selepas berkahwin, mereka menyewa di sebuah rumah pangsa di Bangsar memandangkan lokasinya berhampiran dengan tempat kerja. Sebelum ini, mereka tinggal di asrama pekerja yang disediakan oleh pihak konsesi.
Apabila tinggal di luar asrama, Syafiza dan Ishak mula berasa tertekan kerana perlu membayar sewa hampir RM1,000 setiap bulan serta pelbagai bil utiliti lain.
Tekanan berkaitan kos sara hidup semakin memuncak selepas Syafiza disahkan mengandung dan bakal menimang cahaya mata dalam tempoh sembilan bulan mendatang.
“Selepas berkahwin pelbagai cabaran baharu terpaksa kami lalui terutamanya berkaitan kos sara hidup yang tinggi terutamanya sewa rumah kerana sebelum ini kami tinggal di asrama.
“Lagi pula, gaji kami tidak seberapa dan perlu bekerja lebih masa untuk menampung kos sara hidup berdua pada setiap bulan. Kebimbangan kami semakin dirasakan selepas Syafiza mengandung.
“Disebabkan itu, kami mula memikirkan soal kos membeli susu, lampin pakai buang serta mengupah pengasuh. Jadi, kami perlu cari jalan untuk atasi masalah ini,” ujar Ishak kepada K2 baru-baru ini.
Apabila kandungan memasuki usia lapan bulan, Syafiza mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan pulang ke kampung halamannya di Sungai Petani, Kedah.
Menurut Ishak, isterinya bukan sahaja pulang ke kampung untuk menunggu detik kelahiran, malah dia ingin membesarkan anak mereka di sana memandangkan kosnya lebih rendah.
Jelasnya, mereka juga bersetuju untuk menjalani perhubungan jarak jauh (PJJ) sebelum Ishak mendapat pekerjaan baharu di sekitar Sungai Petani.
“Selepas Syafiza pulang ke kampung, banyak saya dapat jimat. Misalnya, saya tidak lagi menyewa rumah, sebaliknya cukup sekadar sebuah bilik kecil.

ISHAK tertekan dengan masalah kewangan. – GAMBAR HIASAN
“Syafiza pula tinggal di rumah bersama kedua-dua ibu bapanya. Jadi, saya hanya bagi duit untuk makan dan membeli barang keperluan dia serta anak kami saja setiap bulan.
“Setiap bulan, saya akan mengambil cuti untuk pulang ke Sungai Petani melawat Syafiza dan anak kami dengan menggunakan bas,” ujar lelaki berasal dari Johor itu.
Pada tahun pertama, hubungan PPJ dilalui antara Syafiza dan Ishak berjalan sangat lancar apabila mereka sering berkomunikasi menerusi panggilan video pada setiap hari.
Memasuki tahun kedua, hubungan mereka mula dingin apabila masing-masing mula berprasangka buruk antara satu sama lain, terutamanya berkaitan kehadiran pihak ketiga.
“PPJ ini memerlukan keyakinan dan kepercayaan tinggi terhadap pasangan masing-masing. Apabila ada pihak mula rasa curiga, maka ia akan menjadi bertambah sukar.
“Itulah yang terjadi kepada kami apabila Syafiza sering menuduh saya mempunyai orang ketiga di tempat kerja. Saya pula syak dia kembali menjalin cinta dengan bekas kekasihnya di kampung,” jelasnya.
Disebabkan rasa curiga itu, hubungan mereka mula retak apabila sering bertengkar setiap kali berhubung menerusi telefon. Ini membuatkan Ishak mula rasa tertekan.
Rentetan itu, Ishak telah berbincang dengan kedua-dua ibu bapanya untuk mengakhiri perhubungannya dengan Syafiza memandangkan mereka sudah tidak sehaluan lagi.
“Saya telah mengambil keputusan untuk menceraikan Syafiza di mahkamah syariah di depan hakim. Ketika proses perceraian hakim bersetuju bahawa pasangan yang menjalani PPJ perlu banyak bersabar.
“Saya rasa berpisah merupakan jalan terbaik terhadap hubungan kami. Sukar untuk kami meneruskan perkahwinan ini apabila terpaksa tinggal berjauhan beratus batu dan saling mencurigai antara satu sama lain,” jelasnya.














