Apakah benar dakwaan yang menyatakan Nabi s.a.w tidak membenarkan orang politik mengisytiharkan harta bagi tujuan ketelusan urus tadbir?
Jawapan:
Mengisytihar harta untuk kesombongan dan menunjuk-nunjuk memang dilarang oleh Islam. Itu sifat bongkak dan sombong. Namun, yang dibincangkan ini berkaitan mengisytiharkan harta untuk ketelusan urus tadbir pemerintahan.
Saya rasa perlu berikan penjelasan tentang hal ini agar agama Islam tidak disalah faham sehingga memberikan imej yang salah terhadap Islam.
Nabi s.a.w sendiri dalam pentadbiran kerajaan, baginda memastikan para petugas atau pegawai yang dilantik tidak memiliki harta atas salah guna kedudukan.
Baginda menegur harta dimiliki para petugas yang diperoleh dengan cara yang tidak betul.
Ertinya, baginda memeriksa dakwaan harta yang mereka miliki. Sabda Nabi s.a.w: “Apa jadi dengan pegawai yang kita utuskan, kemudian pulang dan berkata: “Ini bahagian kamu, ini bahagian aku. Silakan dia duduk di rumah ayah dan ibunya, lalu tunggu adakah akan diberikan hadiah kepadanya atau tidak?! Demi Allah, dia (pegawai berkenaan) tidak mengambil sesuatu melainkan pada hari kiamat nanti dia akan menanggung pemberian itu atas tengkuknya.” (Riwayat al-Bukhari).
Dalam Islam, Muslim diwajibkan membayar zakat. Zakat yang wajib dibayarkan oleh Muslim membabitkan pelbagai harta, tanaman, ternakan, emas (wang) dan selainnya.
Jumlah zakat wajib seseorang berdasarkan kadar harta dimiliki.
Bagi ternakan ada kiraannya, bagi emas ada kiraannya, bagi tanaman ada kiraannya, bagi galian ada kiraannya dan seterusnya. Lebih banyak harta, pasti lebih banyak kadar yang wajib dibayar.
Ulul amri (pemerintah) merupakan amil zakat berkewajipan memastikan mereka yang wajib membayar zakat, menunaikan tanggungjawab itu.
Jika agama melarang Muslim mengisytiharkan harta, pastilah mereka tidak boleh membayar zakat kepada amil kerana itu menyebabkan jumlah hartanya diketahui.
Maka, dakwaan bahawa Islam tidak membenarkan jumlah harta seseorang dimaklumkan kepada pihak pemerintah adalah batil dan tidak berasas.
Antara pendekatan memastikan integriti urus tadbir pemerintahan Khalifah ‘Umar bin al-Khattab adalah memeriksa harta pegawai-pegawai yang dilantik dan mencatatkannya.
Ini bagi mengawal supaya mereka tidak mengambil kesempatan mengumpul harta dengan cara salah melalui jawatan dipegang.
Polisi ini telah lama dijalankan oleh Saidina ‘Umar bin al-Khattab dalam pentadbirannya.
Dalam al-Tabaqat al-Kubra oleh al-Imam Ibn Sa’d (meninggal 230H) dan juga dipetik oleh al-Imam al-Sayuti (meninggal 911H) dalam Tarikh al-Khulafa:
“Sesungguhnya ‘Umar apabila melantik pegawai, beliau mencatatkan hartanya” (Tabaqat Ibn Sa’d 3/307 Beirut: Dar Sadir) Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) menyebut dalam karyanya tentang polisi ‘Umar tersebut dengan berkata: “‘Umar memeriksa harta para pegawainya.
“Dia mengambil separuh harta mereka jika itu diperoleh melalui jawatan mereka yang bercampur dengan kedudukan istimewa. ‘Umar membahagikan harta itu kepada dua bahagian, separuh untuk mereka, separuh untuk kaum Muslimin (rakyat)” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Turuq al-Hukmiyyah, m.s 17)
Justeru, al-Syeikh Dr. ‘Ali Muhammad al-Sallabi menyebut dalam karyanya Umar bin al-Khattab: “Umar itu menghitung (jumlah) harta para pegawai dan gabenor sebelum pelantikan. Ini bertujuan untuk mengira harta mereka yang bertambah selepas pelantikan tidak termasuk dalam penambahan munasabah” (‘Ali Muhammad al-Sallabi, ‘Umar bin al-Khattab, m.s 356)
Kemudian, kita hendaklah faham, dalam soal pentadbiran, Islam itu sifatnya begitu luas. Apa sahaja yang membawa kemaslahatan kepada rakyat, diiktiraf sebagai politik atau urus tadbir selaras dengan syarak. Ini termasuklah soal pengisytiharan harta.
Pemerintah berhak menentukan kaedah diyakini dalam memastikan integriti dan urus tadbir yang baik.
Jangan kita jumud dan mempergunakan dalil-dalil agama hingga menyempitkan ruang politik yang diluaskan oleh syarak.















