PERKHIDMATAN tukar duit raya kini semakin mendapat sambutan khususnya dalam kalangan individu yang bekerja dan kekurangan masa untuk mendapatkan wang pecahan di bank. Oleh itu, sebahagian pihak menawarkan perkhidmatan tersebut dengan mengenakan upah sebagai bayaran atas kemudahan yang disediakan. Persoalannya, adakah upah itu riba?
JAWAPAN: DARI sudut fiqah, pertukaran wang dengan wang disebut sebagai kontrak jual beli sarf. Hukum-hukum berkaitan kontrak sarf adalah terpakai dalam konteks pertukaran duit raya kerana ia melibatkan pertukaran sejumlah wang dalam pecahan tertentu dengan wang yang lain dalam pecahan tertentu yang disepakati bersama. Justeru itu, pertukaran wang dengan wang seperti yang dilakukan dalam penukaran duit raya perlu menepati ketetapan syarak dalam hukum jual beli sarf bagi mengelakkan berlakunya unsur riba.
Riba secara ringkasnya merujuk kepada pertukaran antara item-item ribawi dengan nilai antara item-item tersebut tidak seimbang atau pertukaran itu tidak berlaku pada waktu akad yang sama. Item-item yang dianggap ribawi (terpakai hukum-hukum berkaitan riba) ini adalah seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
“Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (dalam satu majlis).
Namun, jika kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah sebagaimana yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta.” – (Riwayat Muslim)
Wang ringgit yang digunakan pada hari ini sebagai mata wang adalah termasuk daripada item ribawi, dengan mengambil kira hukum emas dan perak seperti yang diputuskan oleh majoriti majlis fatwa antarabangsa seperti
Lembaga Ulama Besar Arab Saudi, Akademi Fiqh Islami di bawah Liga Dunia Islam, Akademi Fiqh Islam bawah Organisation for Islamic Cooperation (OIC) dan Akademi Fiqh India yang bersepakat bahawa pertukaran wang fiat adalah tertakluk kepada hukum riba seperti emas dan perak.
Fatwa-fatwa ini menyatakan bahawa wang kertas yang digunakan pada masa kini sama hukumnya seperti emas dan perak kerana meskipun wang fiat tidak mempunyai nilai intrinsik seperti emas dan perak, namun ia diqiyaskan kepada emas dan perak secara qiyas shabah kerana wang fiat menyerupai emas dan perak dari segi penggunaannya sebagai medium pertukaran dan pengukur nilai.
Sehubungan itu, dalam konteks menukar wang ringgit antara pecahan tertentu dengan pecahan tertentu, kedua-dua pertukaran tersebut dianggap sebagai pertukaran item ribawi daripada jenis yang sama, maka transaksi pertukaran tersebut wajib mematuhi dua syarat utama berikut iaitu pertama sama pada nilai kedua-dua item pertukaran dan kedua, pertukaran hendaklah berlaku dalam satu majlis tanpa bertangguh.
Syarat pertama yang wajib diikuti apabila melakukan pertukaran duit ialah amaun yang ditukar mestilah sama. Sebagai contoh, sekeping RM100 ditukar menjadi 10 keping RM10 atau 100 keping RM1. Sebarang perbezaan dalam amaun yang ditukar adalah dikira sebagai riba al-fadl yang diharamkan walaupun ia disebut sebagai caj perkhidmatan atau apa-apa nama yang lain dan walaupun terdapat perbezaan kualiti duit kertas tersebut. Syeikh
Khatib al-Syirbini menyebut ketika menjelaskan jenis-jenis riba:
“Salah satu jenis riba ialah riba al-fadl iaitu jual beli dengan tambahan pada salah satu barang jualan.”
Syarat kedua yang wajib dipenuhi ialah serahan wang oleh kedua-dua pihak tersebut mestilah berlaku dalam satu majlis tanpa bertangguh. Sebagai contoh, jika A memberi sekeping wang kertas RM100 kepada B untuk ditukar kepada 10 keping wang kertas RM10 yang akan diserahkan pada esok hari, maka transaksi ini adalah haram dan tidak sah kerana berlakunya riba al-nasi’ah iaitu riba yang berlaku disebabkan terdapat syarat penangguhan dalam penyerahan item ribawi ataupun duit pembayaran secara sengaja kemudian dikenakan cas tambahan.
Namun, jika A menyerahkan duit kepada B untuk ditukar dengan C, kemudian B menyerahkan semula duit yang telah ditukar kepada A pada esok hari, maka hukumnya adalah harus dengan syarat pertukaran antara B dan C berlaku secara serta-merta. Tempoh kelewatan B dalam menyerahkan semula wang tersebut kepada A bukanlah dianggap sebagai riba al-nasi’ah dalam keadaan ini.
Selain daripada perbincangan hukum pertukaran duit tadi, terdapat keadaan tertentu yang mengharuskan pengenaan caj upah kepada wakil untuk menukar duit. Sebagai contoh, A ingin menukar RM100 di bank tetapi tidak mempunyai masa untuk pergi ke bank. Oleh itu, A melantik B untuk pergi menukar duit di bank. B pula mengenakan upah sebanyak RM15 atas perkhidmatan tersebut.
Dalam hal ini, hukum caj atau upah tersebut adalah diharuskan kerana ia merupakan upah kepada wakil untuk pergi menukar duit dengan pihak lain, bukan upah atas perkhidmatan menukar duit itu sendiri. Namun, keharusan ini dengan syarat wakil tersebut mesti dilantik oleh pewakil yang ingin menukar duit dan caj yang dikenakan itu mesti diketahui dengan jelas dan dipersetujui sebelum transaksi dibuat.
Kesimpulannya, hukum mengenakan caj bagi menukar duit raya adalah haram kerana ia terkategori sebagai riba yang diharamkan. Namun terdapat pengecualian dalam situasi seseorang yang dilantik sebagai wakil untuk menukar duit dengan pihak ketiga, maka wakil tersebut boleh mengenakan caj sebagai wakil yang telah disepakati caj perkhidmatannya. Manakala jika seseorang itu terlebih dahulu menukar duit, kemudian menawarkan perkhidmatan menukar duit dengan caj, maka hukumnya adalah haram.














