TIDAK pernah gagal menebarkan pesona dan aura bintang dimilikinya, aktor kacak Lee Jong-suk kini melangkah ke tahap kemuncak populariti dalam kariernya.
Pelakon berusia 33 tahun itu menggoncang perhatian peminat naskhah Korea Selatan, khususnya K-Drama apabila muncul dalam naskhah noir berjudul Big Mouth.
Bermula sebagai watak sebagai peguam kelas ketiga bernama Park Chang-ho, Big Mouth menyaksikan persembahan aktor tinggi lampai itu berubah 100 peratus apabila dituduh membunuh sehingga menjadikannya seorang penipu bijak.
Sejak menemui penonton pada 29 Julai lalu, naskhah arahan Oh Choong-hwan, sutradara yang pernah mengarahkan Hotel Del Luna dan Start Up pantas mendaki tangga populariti drama paling tinggi ditonton setiap minggu.
Dalam keasyikan peminat menyaksikan lakonan mantapnya selaku banduan yang bermati-matian mencari jalan keluar demi mencari kebenaran, Jong-suk rupa-rupanya menyimpan ‘rahsia’ sebelum dia benar-benar bersedia menjayakan watak tersebut.
Dedah aktor kelahiran Yongin, Gyeonggi itu, dia sanggup menjalani rejim diet yang ketat dengan berpuasa selama beberapa hari gara-gara berat badannya naik sebanyak 10 kilogram (kg).
Dia berdepan kenaikan berat badan sewaktu menjalani latihan ketenteraan wajib sejak 8 Mac 2019 sebelum menamatkannya pada Januari tahun lalu.

Gementar
Tiga tahun lamanya Jong-suk berehat, tidak muncul dalam skrin kecil. Kali terakhir pelakon itu aktif berlakon sebelum menyertai latihan ketenteraan adalah menerusi Romance is a Bonus Book pada 2019.
Mengakui Big Mouth mengangkat alur tema yang berat, termasuk permainan emosi, namun alasan aktor yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-33 semalam menerima tawaran tersebut kerana mahukan sesuatu yang baharu.
“Sudah sangat lama (tidak berlakon) dan akhirnya kini saya muncul dengan sebuah drama baharu. Sebenarnya saya berasa kecewa sebab peminat menunggu sudah agak lama,” katanya.
Dia pelakon profesional tetapi kalau sudah namanya manusia yang ada perasaan sama seperti orang lain, Jong-suk juga pernah berdepan ‘ketakutan’ untuk menjayakan Big Mouth.
Dedahnya, dia banyak kali berperang dengan perasaan gementar ketika berdepan kamera. Bukan hanya kerana faktor sudah lama tidak berlakon, tetapi ada penyebab lain.
“Dah lama tak berlakon itu bukan punca menyeluruh, tetapi sebab drama ini sendiri yang ada banyak aspek mencabar. Jadi sepanjang penggambaran, saya banyak bertanya soalan kepada pengarah,” katanya lagi.

Berbagai genre
Jong-suk sudah lama berdiri selaku aktor serba boleh menerusi barisan naskhah hit lakonannya seperti I Can Hear Your Voice, School 2013, Doctor Stranger, W Two Worlds dan Pinocchio.
Memiliki wajah tampan dan ketinggian 186 sentimeter (sm), aktor itu mencorakkan profil lakonannya dengan pelbagai jenis genre seperti romantik komedi dan thriller misteri.
Mendekati penghujung tahun, maka berderet-deret anugerah berprestij sedang menunggu waktu untuk dianjurkan dan yang paling dinanti-nantikan adalah Baeksang Award.
Di sebalik barisan pelakon dan drama yang sudah ditayangkan sepanjang tahun ini, pesona Jong-suk dalam Big Mouth dicanang-canang selaku calon terbaik untuk anugerah tersebut.
Tahun lalu menyaksikan aktor Namgoong Min dinobat selaku pemenang Daesang menerusi drama The Veil, manakala Lee Junho pula memenangi kategori Aktor Terbaik (The Red Sleeve) menerusi anugerah tersebut.

Yoona pasangan serasi
Big Mouth kekal menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan penonton yang mengikuti dari awal jalan cerita drama tersebut kerana sosok sebenar Big Mouse, identiti misteri yang menjadi dalang di sebalik banyak kejadian jenayah masih belum menemui petunjuk.
Sedang menanti tayangan akhir pada Sabtu ini, 17 September, naskhah tersebut terus-menerus mencetuskan pelbagai spekulasi dan teori tentang status sebenar Big Mouse dalam kalangan penonton.
Meraih jumlah tontonan tertinggi untuk setiap episod, naskhah berkenaan juga dilambung fenomena gara-gara regu Jong-suk iaitu Yoona yang membawakan watak sebagai isterinya.
Persahabatan jangka lama antara kedua-dua bintang itu menjadi pemudah cara untuk mereka menjelmakan peranan selaku suami isteri di dalam skrin.
Rupa-rupanya, posisi dijayakan anggota kumpulan SNSD itu sebenarnya merupakan rekomendasi daripada Jong-suk sendiri yang merasakan penyanyi itu adalah figura paling tepat memerankan watak Go Mi-ho.

















