Oleh FAIZAL HAMID
Definisi gaya untuk wanita sememangnya sedang melalui proses transformasi disebabkan perkembangan ekonomi, hasil pendapatan berlebihan dan susun atur gender.
Ia termasuk juga kepesatan industri fesyen dan kosmetik yang berpusu-pusu mengembang dan meluaskan profil pelanggan mereka.
Pun begitu, malangnya ramai juga wanita yang masih samar dalam pemilihan pakaian dan pembentukan gaya mereka secara keseluruhan.
Ini sememangnya bukan perkara baharu. Dahulu, remaja perempuan belajar mengenai gaya daripada ibu mereka, kini tiada siapa yang mahu meniru gaya ibu. Maka, bermulalah pencarian mentor dalam fesyen.
1. Gaya stylish
Apa yang wanita perlukan adalah seorang mentor iaitu seseorang yang boleh dijadikan panduan, mungkin juga seperti ibu mereka, tetapi mungkin a little hipper ataupun lebih cool.
Di manakah mereka boleh menjumpai wanita yang gayanya cukup stylish dan sofistikated untuk dicontohi?
Tentunya ikon-ikon filem dan muzik seperti Emma Watson, Victoria Beckham dan Yuna, selalunya menjadi inspirasi trend gaya wanita.
2. Ikon popular
Apabila kebanyakan kita memikirkan tentang wanita dengan gaya yang hebat, bukan supermodel yang dahulu berada di minda kita, tetapi sebaliknya bintang filem dan pemuzik.
Antaranya adalah seperti nama-nama disebutkan tadi yang merupakan ikon popular masa kini.
Kini telah seabad, muzik dan filem menjadi rekod atau dokumentasi yang jelas tentang trend fesyen yang popular dan menjadi ikutan.
3. Keterampilan hebat
Sama ada kita akui atau tidak, pelakon wanita utama filem dan pemuzik popular yang menjadi ikon fesyen kepada wanita berketrampilan hebat dalam setiap era.
Apapun, jangan lihat filem dan muzik sebagai sumber bagi semua jawapan untuk segala soalan anda tentang gaya.
Seseorang juga tidak dengan mudah menjumpai suatu formula untuk berpakaian hebat. Tiada seorang pun yang boleh menentukan cara yang paling tepat ataupun betul dalam berpakaian, kerana gaya bukanlah sesuatu yang mutlak.

TIDAK kira semasa penampilan formal atau santai, para artis lazim dijadikan rujukan.
4. Koleksi kostum
Apa yang pasti, kita boleh belajar untuk melihat filem dan memberi perhatian terhadap apa-apa yang dipakai oleh pelakon-pelakon dalam situasi tertentu.
Daripada situlah kita boleh memperoleh dan mempelajari beberapa prinsip asas berpakaian.
Untuk mendapat idea tentang gaya wanita hebat, tontoni saja filem klasik yang dilakonkan oleh legenda perfileman barat seperti Audrey Hepburn ataupun Grace Kelly, yang secara tidak langsung dapat perbaiki kebijaksanaan gaya seseorang berpakaian.
Zendaya, Zoe Kravitz dan Blake Lively pula punyai penampilan dan perwatakan bersahaja yang menjadikan gaya mereka dicemburui ramai.
Cate Blanchett, Natalie Portman, Nicole Kidman kesemuanya kelihatan hebat di dalam filem.
Salah satu kaedah untuk mereka melakonkan watak dengan berkesan adalah dengan memilih koleksi kostum yang paling sesuai dengan watak tersebut.
5. Ekspresi watak
Selepas ini, anda mungkin perlu memberi penumpuan yang lebih sedikit tentang bagaimana cara berpakaian yang dapat memberi ekspresi kepada watak kita.
Ini kerana, kita sememangnya boleh mengadaptasi apa-apa yang dilihat dalam filem ke dalam kehidupan seharian, seperti kala kita beriadah, bersiap sedia untuk acara formal tempat kerja dan sebagainya.
Pengalaman menonton filem sememangnya dapat memberikan kita idea dan inspirasi untuk lebih arif dalam berpakaian.
Yang perlu hanyalah sedikit imaginasi untuk menjadikan ia realiti. Apapun pilihan kita nanti, seharusnya ia disesuaikan dengan cita rasa, gaya hidup, budaya dan identiti diri kita sendiri.
—————————————————————————————————————————————–
FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor
















