fbpx

Putera William, Harry, Kate Middleton dan Meghan Markle kembali bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DARI kiri, Kate, William, Harry dan Meghan berjalan bergandingan di Istana Windsor semalam. - AFP

LONDON – Putera William dan isterinya, Kate Middleton menyertai Putera Harry serta Meghan Markle ketika berjalan menuju ke Istana Windsor, lapor akhbar Metro UK semalam.

William dan Kate yang kini memakai gelaran Putera dan Puteri Wales bergandingan bersama Duke dan Duchess of Sussex sambil bertemu dengan rakyat jelata yang membanjiri pekarangan istana.

Pertemuan keempat-empat mereka itu adalah kali pertama selepas William dan Kate menerima gelaran baharu. Kali terakhir pertemuan mereka adalah semasa Hari Komanwel pada 9 Mac 2020.

Mereka memeriksa bunga dan belon sebelum berjalan di luar istana sambil bertemu orang ramai secara ringkas.

Sumber diraja berkata, William menjemput Harry dan isterinya untuk menyertai mereka bagi menyaksikan penghormatan tersebut.

“Putera Wales menjemput Duke dan Duchess of Sussex untuk menyertai beliau dan Puteri Wales lebih awal,” jelas sumber tersebut.

Kali terakhir William disertai adindanya, Harry secara terbuka di Istana Windsor adalah pada istiadat pengebumian Duke of Edinburgh, Putera Philip pada April lalu.

Dua pasangan suami isteri itu berangkat menaiki kenderaan yang sama ketika pertemuan yang berlangsung selama lebih 40 minit itu. Keempat-empat mereka berpakaian hitam sambil berjalan di sepanjang pintu gerbang istana.

Hubungan adik-beradik antara William dan Harry diketahui renggang, namun pemerhati diraja berharap agar Harry akan dapat bersatu semula dengan keluarganya di tengah-tengah kesedihan mereka atas pemergian Ratu Elizabeth II.

Hasrat itu dikuatkan apabila Raja Charles III turut mengiktiraf Duke dan Duchess of Sussex dalam ucaptamanya yang bersejarah kepada negara malam tadi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI