PETALING JAYA – Bank Rakyat buat julung kali memperkenalkan produk pelaburan pertamanya iaitu Akaun Pelaburan-i Rizq Plus Bank Rakyat bagi membolehkan pelanggan melabur dalam aktiviti kewangan patuh syariah.
Menurut kenyataan Bank Rakyat, di samping berpeluang memperoleh keuntungan tinggi, pelanggan juga berpeluang memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM1 juta secara keseluruhan menerusi program cabutan bertuah bagi kategori bulanan dan setiap setengah tahun.
“Menerusi akaun ini, Bank Rakyat memberi peluang kepada individu berstatus warga negara serta bukan warga negara yang sedang meneroka peluang pelaburan baharu dengan pelaburan minimum serendah RM100 serta baki minimum pelaburan dalam akaun hanya sebanyak RM50.
“Selain itu, produk ini ditawarkan kepada pelanggan yang berhasrat untuk memaksimumkan keuntungan menerusi pelaburan dalam portfolio aset pembiayaan runcit dengan menumpukan kepada portfolio Pembiayaan Peribadi-i dan Aset Cair Berkualiti Tinggi,” katanya hari ini.
Tambahnya, produk yang berasaskan konsep mudarabah itu, tidak mempunyai sebarang tempoh minimum atau maksimum dan pelanggan boleh mengeluarkan atau meningkatkan jumlah pelaburan mereka pada bila-bila masa.
“Menerusi konsep mudarabah ini, keuntungan diperoleh daripada pelaburan akan dikongsi mengikut Nisbah Perkongsian Keuntungan yang telah dipersetujui bersama.
“Inovasi produk pelaburan ini diambil oleh Bank Rakyat berikutan ketidaktentuan persekitaran ekonomi negara susulan penularan Covid-19 dan bagi membantu Keluarga Malaysia mengembangkan dana simpanan untuk digunakan ketika kesusahan, sekali gus menjamin kualiti hidup lebih baik dalam jangka masa panjang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE