GEORGE TOWN – Majoriti ulama berpandangan hukum pemindahan dan pendermaan organ seorang manusia kepada manusia lain adalah harus selagi ia tidak memudaratkan pendermanya.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, meskipun isu itu mempunyai pelbagai perbezaan pendapat dalam kalangan ulama, namun ramai yang menyokong akan perkara tersebut.
“Di Malaysia, Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan hukum yang sama (harus) dalam mesyuarat pada tahun 1970.
“Ini diikuti oleh fatwa negeri-negeri termasuk Pulau Pinang, Perlis, Sarawak, Selangor, Johor dan lain-lain,” katanya kepada Kosmo!.
Sementara itu, pendakwah bebas, Ustaz Abdullah Khairi berkata, pendermaan organ harus dalam Islam dan sangat digalakkan sama ada ketika masih hidup mahupun sudah meninggal.
“Sebabnya begitu, kita bantu orang lain, kita beri pertolongan, ulama dah keluarkan fatwa bahawa kita harus dan digalakkan derma organ dan bukan menyiksa mayat penderma organ.
“Tolong saudara kita dalam keadaan memerlukan termaktub dalam Maqashid Syariah termasuk juga menjaga keturunan, harta, nyawa dan agama,” katanya.
Ujarnya, stigma masyarakat berkaitan menderma organ menyiksa mayat perlu diubah kerana yang dilarang Islam adalah pembedahan terhadap mayat hanya untuk menuntut insurans.
“Kalau bedah untuk tuntut insurans, itu yang tidak boleh, untuk bantu orang lain macam derma buah pinggang atau kornea, itu semua dibenarkan,” katanya.
Pendakwah terkenal Ustaz Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat pula berkata, pendermaan organ tidak hanya fokus untuk umat Islam.
“Kadangkala kita juga menerima organ daripada orang bukan Islam, jadi tiada masalah untuk menderma kepada orang bukan Islam, niat kita yang utama sudah pastinya untuk memberi organ secara derma dan derma perlu ikhlas.
“Sebagai penderma organ, niat kita menderma organ adalah untuk memberikan kemudahan kepada orang lain dan ia tidak memudaratkan diri kita,” ujarnya.














