PERCUTIAN mendamaikan sambil mendengar ‘irama’ dari sungai merupakan aktiviti yang cukup mendamaikan selain mampu merehatkan minda.
Aktiviti perkhemahan dengan konsep glamping sememangnya mempunyai peminatnya yang tersendiri, khususnya buat pencinta alam semula jadi.
Terletak kira-kira 30 minit dari ibu kota Kuala Lumpur, River and Glamp menawarkan percutian konsep glamping yang mendamaikan di Ulu Yam, Selangor.
Menurut Pengurus Pemasaran River and Glamp, Nur Hannee Radzhali, lokasi percutian itu menawarkan pelbagai aktiviti alam yang menarik untuk diterokai pengunjung.
“Lokasi ini dibuka secara rasminya pada September tahun lalu dengan menawarkan percutian glamping di tepi sungai.
“Glamping merupakan antara konsep percutian paling digemari kerana selain mendamaikan, ia juga amat menyeronokkan memandangkan pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti riadah seperti mandi sungai dan meneroka hutan dengan menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV),” ujarnya.
River and Glamp menawarkan 11 unit khemah yang setiap satunya boleh memuatkan lima hingga enam orang pengunjung.
“Bagi khemah jenis orang kenamaan atau VIP, ia termasuk dengan ruang legar berpagar yang membolehkan pengunjung menikmati percutian penuh privasi.
“Selain khemah VIP, kami juga ada unit khemah dengan garden terrace yang lebih redup dan sejuk, selain mempunyai pemandangan sungai yang cukup mendamaikan,” ujarnya.

Tambah Nur Hannee lagi, harga yang ditawarkan juga adalah berpatutan memandangkan pakej tersebut sudah termasuk makan malam, sarapan pagi dan juga makan tengah hari.
“Harga khemah bermula daripada RM495 pada hari biasa dan RM595 pada hujung minggu.
“Makanan yang disediakan pula adalah menu nasi berlauk yang sesuai dengan cita rasa orang ramai,” katanya sambil menambah rata-rata pengunjung River and Glamp terdiri daripada keluarga dan juga syarikat yang menempah lokasi tersebut bagi aktiviti berkumpulan.
Selain aktiviti mandi-manda di Sungai Dua, Ulu Yam, River and Glamp juga menawarkan aktiviti tambahan seperti river tubing, soft archery, melukis di atas papan kanvas dan juga berbasikal pada caj tambahan antara RM10 hingga RM45.
Selain itu, lokasi percutian itu juga turut menawarkan perkhidmatan dekorasi kepada pengunjung yang mahu menyambut acara istimewa seperti sambutan hari lahir atau ulang tahun perkahwinan.
“Kami turut menerima tempahan pengunjung yang mahu menyambut hari istimewa di sini.Oleh itu, kami menyediakan khidmat dekorasi tambahan kepada pengunjung yang dibuat di rumah bot yang ada di sini.
“Bergantung kepada pakej dipilih, khidmat yang disediakan termasuk dekorasi asas bersama brownies atau kek berhias.
“Rumah bot tersebut kemudiannya boleh digunakan seharian bagi sambutan acara tersebut,” katanya.
Untuk mengetahui lanjut mengenai destinasi percutian ini layari laman web www.riverandglamp.com.
















