fbpx

Lelaki tular tumbuk warga emas rayu jaminan rendah kerana OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka, hari ini. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

MELAKA – Pemuda yang klip videonya tular di laman sosial Isnin lalu kerana menumbuk seorang wanita warga emas gara-gara berang ditegur membakar sampah di sebuah tapak glamping di Tanjung Kling didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Muhammad Amirul Fathi Mohd. Noor, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja memukul seorang warga emas, Tan Soo Ee, 77, menggunakan tangan sehingga menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 1.20 petang di belakang sebuah rumah di Batu 9 Pantai Kundor, Tanjung Kling dalam daerah Melakan Tengah pada 28 Januari lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Tangkap layar video tular di aplikasi X.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan terhadap tertuduh beserta syarat tambahan.

Peguam Nur Aminahtul Mardiah Md. Nor serta Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guam mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya membantu neneknya membersihkan tapak glamping tersebut.

Tambah Nur Aminahtul, tertuduh juga merupakan orang kelainan upaya (OKU) kerana mengalami keretakan di kepala akibat terlibat dalam nahas pada usianya tujuh tahun, selain mendakwa pergaduhan itu berpunca daripada provokasi oleh pengadu serta mempunyai unsur perkauman.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Sharda kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak boleh berjumpa atau menghubungi mangsa melalui apa juga medium.

Beliau turut menetapkan tarikh 21 Mac depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Kosmo! pada Isnin lalu melaporkan seorang pemuda diberkas pihak polis selepas tular satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan suspek memukul seorang wanita warga emas di tapak glamping di Tanjung Kling.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil soal siasat pergaduhan itu didakwa berlaku selepas suspek tidak berpuas hati mangsa menegurnya tindakan premis itu yang membakar sampah secara terbuka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI