KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kewujudan satu kumpulan yang berkongsi dan menyebarkan video dan gambar lucah wanita serta kanak-kanak menerusi aplikasi Telegram.
Ketua Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada polis Antarabangsa (Interpol).
Menurutnya, langkah itu bagi membolehkan tindakan diambil oleh pihak pengurusan Telegram di Britain terhadap kumpulan terbabit dalam platform ber_kenaan.
“Hasil siasatan setakat ini mendapati grup di Telegram itu sudah tidak aktif selepas isu ini mula tular di media sosial.
“Pihak polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Sehubungan itu, Siti Kamsiah meminta individu yang menjadi mangsa serta mempunyai bahan pornografi daripada grup Telegram tersebut tampil menyalurkan maklumat.
“Saya percaya mangsa mungkin tidak mahu tampil, tetapi ini merupakan cara terbaik untuk kita mendapatkan maklumat terperinci bagi mengesan suspek-suspek yang terlibat,” ujarnya.
Sementara itu, SKMM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada pengendali Telegram berhubung perbuatan satu kumpulan yang dipercayai menyebarkan gambar lucah wanita dan kanak-kanak menerusi aplikasi itu.
Kata kenyataan itu, tindakan tersebut telah dilakukan pada 9 Jun lalu bagi membolehkan pihak pengurusan Telegram membuat penilaian serta mengambil tindakan lanjut.
“Kami menggesa Telegram yang tidak berpangkalan di Malaysia secara aktif untuk mengambil tindakan sewajarnya,” kata kenyataan itu.
Pada Ahad lalu, seorang pengguna Twitter yang dikenali Nur Syakinah mendedahkan kewujudan grup Telegram yang dinamakan ‘V2K’ susulan gambarnya di Instagram dikongsikan dalam grup berkenaan tanpa persetujuannya.
Menerusi ciapan itu, wanita berkenaan turut mendakwa, lebih 30,000 ahli dalam grup tersebut aktif menyebarkan kandungan berunsur pornografi.
Difahamkan, ‘V2K’ menyebarkan gambar lucah kanak-kanak, video seks, gambar bogel, video seks manusia bersama haiwan serta profil Instagram wanita bagi membolehkan ahli grup mencari gambar untuk dikongsikan bersama.














