PERWATAKANNYA ‘sempoi’ dan gila-gila, namun pada masa sama, tutur kata aktor dengan ketinggian mencecah 175 sentimeter itu cukup santun dan teratur.
Melangkah sahaja ke studio untuk sesi fotografi bersama Pose, pemilik nama pentas Johan As’ari itu berkali-kali memohon maaf hanya atas kelewatannya selama dua minit berbanding waktu yang telah dijanjikan.
Biarpun riak keletihan masih bersisa di wajah sekembali pulang dari Jakarta, Indonesia untuk mempromosikan filem epik, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan beberapa hari lalu, Johan seboleh-bolehnya mahu kelihatan bersemangat.
Kata Johan, dia bukan sahaja teruja, namun lebih ke arah terharu apabila sudah bertahun-tahun tidak menjalani sebarang sesi fotografi istimewa bersama media terutama untuk sisipan dalam akhbar.

“Dah lama orang tak panggil buat ‘photoshoot’. Rasa kekok pun ada,” katanya tersipu-sipu.
Sambil wajahnya dirias jurusolek, Vie Xenddra, mengisi perbualan kosong sebelum memulakan temu bual yang lebih serius, penulis sempat memuji lakonannya sebagai Yasin dalam filem arahan pengarah, Syamsul Yusof itu.
Tahun bertuah
Bahkan, nama Johan kembali disebut-sebut bukan sahaja menerusi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, tetapi juga melalui Air Force The Movie: Selagi Bernyawa yang turut mencetuskan fenomena tersendiri.
“Tahun ini (2022), saya anggap sebagai tahun bertuah saya. Sebab kedua-dua filem lakonan saya mendapat sambutan luar biasa daripada penonton.
“Alhamdulillah saya sangat bersyukur,” katanya sambil mengusap wajah dengan kedua-dua telapak tangan tanda kesyukuran.
Ketepikan bisik-bisik segelintir pihak kononnya Johan sudah tidak laku, aktor yang mengukir nama menerusi naskhah Juvana itu menganggap penangan kedua-dua filem tersebut sebagai rezeki tidak dijangka, secara tidak langsung membuktikan keberadaannya dalam industri sinema tempatan masih relevan.

“Rezeki saya dalam industri masih ada dan tidak pernah putus. Cuma nama saya tidak begitu menyerlah seperti sebelum ini. Perkara itu saya perlu akui.
“Saya masih lagi berlakon untuk drama televisyen dan orang tidak perasan.
“Malah, sebelum ini pun saya ada menolak beberapa tawaran drama sebab mahu beri komitmen terhadap filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.
“Saya tolak sebab drama itu memerlukan saya tampil dengan watak profesional sedangkan rambut saya dibiarkan panjang demi watak Yasin.
“Jadi saya menolak tawaran drama kerana keutamaan ketika itu adalah filem Mat Kilau,” katanya.
Kejatuhan
Berkongsi lebih lanjut, pemilik nama lengkap Johan Ariff As’ari itu mengakui zaman sudah berubah, momentumnya juga tidak sehangat dahulu.
Akur dengan perubahan zaman, Johan yang pernah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Baharu Popular dalam Anugerah Bintang Popular ke-25 pada 2011 menganggap fasa yang dilaluinya lumrah dalam dunia hiburan.
“Saya tidak jatuh, cuma lalui fasa naik dan turun. Saya pernah laku macam pisang goreng panas, tetapi ketika popular, kita juga ada kawan-kawan lain di sekeliling.
“Saya perlu akur dan akui ‘kejatuhan’ itu kerana ada ruang-ruang yang perlu diisi oleh pendatang baharu.
“Sejujurnya saya tidak rasa terancam dengan kehadiran mereka. Lagi ramai, lagi meriah. Saya sentiasa meraikan kehadiran pelakon baharu dalam industri,” katanya.

Wanita ‘harum manis’
Memasuki usia 36 tahun, Johan mengakui belum puas untuk menabur bakti kepada keluarga. Pada masa sama, dia berharap dapat menamatkan zaman bujang bersama seorang wanita yang sudah dikenali rapat sejak empat tahun lalu.
Mulanya berahsia, namun selepas ‘diumpan’ dengan pujukan, Johan akhirnya bercerita tentang wanita asal Perlis itu yang diharapkan boleh berada di sisinya sebagai isteri suatu hari nanti.
“Saya dan juga dia (teman wanita) sudah empat tahun berkenalan. Saya gembira dengannya. Dialah yang terbaik untuk saya.
“Orangnya penyabar, lembut hati dan suaranya, sentiasa tenang dalam setiap situasi dan selalu menjadikan saya seperti seorang ‘raja’. Tapi percintaan kami jarak jauh,” jelasnya.
Kata Johan, sebelum ini teman wanitanya bekerja di London, England selama dua tahun dan kini bertugas di Bangkok, Thailand.

“Kami memang jarang berjumpa. Kalau jumpa, pasti dia akan bawa buah harum manis (mangga) sebab dia berasal dari Perlis.
“Teman wanita saya juga berdarah campuran. Arwah bapanya berasal dari Amsterdam, Netherlands. Perancangan untuk berkahwin itu memang ada, tapi bukan dalam masa terdekat.
“Doakan saya sebab memang teringin untuk tamatkan zaman bujang,” katanya tersenyum.
















