fbpx
LYODRA

Lyodra pelapis ‘diva’ Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAKAT nyanyian yang dimiliki penyanyi muda berusia 19 tahun itu cukup luar biasa. Mula mencipta nama selepas menjuarai pertandingan realiti Indonesia Idol musim ke-10 pada 2020, pemilik nama pentas Lyodra itu sudah mencipta sejarah sendiri.

Dalam pertandingan tersebut, si cantik kelahiran Medan, Sumatera Utara, Indonesia itu dijulang selaku pemenang termuda Indonesian Idol iaitu ketika usianya 17 tahun.

Satu hal yang unik tentang Lyodra, penyanyi itu memiliki teknik nyanyian ‘whistle’ yang disifatkan rata-rata pemain industri sebagai cukup sempurna.

Bahkan sewaktu membuat persembahan pentas, Lyodra dilabel sebagai penyanyi yang jarang membuat kesalahan vokal walaupun ketika mencapai note vokal yang tinggi.

Sejak kecil, pemilik nama lengkap Lyodra Margareta Ginting itu sudah mencintai muzik dan mengikuti pelbagai pertandingan menyanyi di sekitar Medan.

“Sejak kecil saya memang mengimpikan untuk menjadi seorang penyanyi. Saya sering berangan-angan di hadapan cermin dan membayangkan sedang melakukan persembahan di hadapan ribuan penonton.

“Perasaan saya ketika itu sangat seronok. Tidak sangka hari ini apa yang saya impikan sewaktu kecil sudah pun menjadi kenyataan.

“Malah saya dikenali berjuta-juta orang di Indonesia,” katanya.

LYODRA pernah mengikuti pertandingan nyanyian Festival Sanremo Junior di Itali pada 2017 dan menjadi juara dalam kategori penyanyi berusia antara 13 hingga 15 tahun. – INSTAGRAM LYODRA OFFICIAL

Perjalanan karier

Manakan tidak, seawal usia empat tahun lagi, Lyodra sudah memiliki teknik vibrato yang lebih bagus berbanding kanak-kanak seusianya.

Perjalanan karier muzik Lyodra sendiri bermula sejak 2014 lagi sewaktu mengikuti pertandingan nyanyian cilik, Kirana Semen Indonesia dan berhasil menjadi finalis empat terbaik dari keseluruhan 28 orang peserta.

Kemudian Lyodra mengikuti sebuah lagi pertandingan nyanyian, Mencari Bakat musim keempat.

Sayangnya nasib tidak menyebelahi si mta bundar itu apabila tersingkir pada pusingan keenam.

Maka tidak hairanlah pada usia muda, peminatnya sudah meramalkan bahawa Lyodra bakal bergelar seorang ‘diva Indonesia’ suatu hari nanti kerana kehebatannya dalam melontarkan vokal.

Setiap kali tampil di atas panggung, penonton sudah tahu bahawa mereka akan disajikan dengan sebuah persembahan luar biasa daripada Lyodra.

LYODRA yang merupakan seorang penganut agama Kristian merupakan anak sulung daripada dua orang
adik-beradik.

Mikrofon mahal

Dibanjiri pujian atas bakat besar dimilikinya tidak sedikit pun membuatkan Lyodra lupa untuk berpijak di bumi nyata.

“Saya bersyukur dengan bakat yang dikurniakan.

“Pujian bukanlah tiket untuk saya menjadi sombong dan bermegah dengan bakat yang dimiliki,” ujarnya.

Sebagai seorang penyanyi profesional, anak kepada pasangan Simar Ginting dan Natalia Johanna Tarigan itu pastinya mahukan yang terbaik ketika mengadakan persembahan pentas.

Lantas, tidak hairan jika Lyodra memiliki mikrofon khas berharga Rp125 juta (RM37,848) yang dihadiahkan oleh bapanya.

Mikrofon berwarna merah jambu tersebut sempat menjadi bualan netizen kerana harganya yang sangat mahal.

Tentu sahaja, Lyodra berpendapat sebagai seorang penyanyi, dia memilih menggunakan mikrofon yang berkualiti tinggi supaya nyanyiannya menjadi lebih baik demi kepuasan peminat.

PENYANYI kelahiran 21 Jun 2003 ini mengeluarkan album pertamanya berjudul LYODRA pada tahun lalu, bawah naungan label Universal Music Indonesia.

Tercantik, terbaik

Seiring bakat, penyanyi itu turut dikagumi kerana kecantikannya. Tahun lalu, Lyodra menduduki tempat kelapan dalam senarai 100 Wanita Tercantik oleh TC Candler 2021.

Bahkan dia berjaya mengatasi beberapa nama besar selebriti terkenal dunia termasuk anggota kumpulan Blackpink iaitu Jennie yang berada di posisi ke-30, Jisoo (26) dan Rose (17).

Paling manis, Lyodra sekali lagi mencatat rekod peribadi selepas tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Indonesia untuk edisi tahun 2022 bagi kategori seni.

Pada usia 19 tahun, Lyodra bagaimanapun berasakan dirinya belum layak atas pengiktirafan tersebut.

“Saya tidak tahu bagaimana harus ungkapkan perasaan ini.

“Tetapi apapun, saya tetap bersyukur dengan pengiktirafan ini dan berterima kasih kepada mereka yang menyokong perjalanan seni saya,” ujarnya.

 

LYODRA mencatat rekod peribadi selepas tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Indonesia untuk edisi tahun 2022 bagi kategori seni.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN