fbpx
SETIAP hantaran atau video yang dibuat untuk dimuat naik di laman sosial adalah bagi mendapatkan tontonan dan pujian daripada rakan atau pengikut. – GAMBAR HIASAN

Jiwa kacau bahana kejar like di media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Media sosial yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kini berisiko meranapkan jiwa remaja apabila ramai dalam golongan itu berisiko menghidap masalah gangguan jiwa dalam senyap.

Mereka yang terkesan adalah individu yang terlalu bergantung kepada media sosial dalam kehidupan harian dan akan terkesan sekiranya menerima kecaman pada setiap status atau hantaran yang dibuat di akaun masing-masing.

Antara kesan yang akan timbul apabila ada antara mereka mengalami rasa takut, bimbang, resah dan gelisah yang melampau, berterusan atau berlanjutan dalam tempoh tertentu hingga membuatkan jiwa kacau dan menjejaskan fungsi harian.

Pakar Perunding Psikiatri dan Psikologi Pusat Perubatan Kedah, Dr. Wan Mohd. Rushidi Wan Mahmud berkata, tekanan berlaku kepada mereka yang gagal mengawal emosi akibat dikecam dan dikutuk kerana terlalu mengharapkan pujian daripada rakan atau pengikut.

Katanya, ada juga yang kerap membandingkan diri dengan individu lebih hebat atau bagus di media sosial.

“Mereka ini cenderung me­ngalami gangguan jiwa seperti kecelaruan kebimbangan atau anxiety disorder dan kemuru­ngan sekiranya tidak dirawat dengan betul.

“Kemurungan itu seterusnya mampu meningkatkan risiko untuk individu terbabit bertindak untuk membunuh diri,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

DR. WAN MOHD. RUSHIDI

Menurut Dr. Wan Mohd. Rushi­di, ia merupakan salah satu daripada masalah gangguan jiwa de­ngan anggaran prevalen 7 hingga 28 peratus di seluruh dunia di mana ramai penghidapnya adalah dalam kalangan wanita berusia antara 35 hingga 54 tahun.

Tambahnya, kecelaruan kebimbangan boleh tercetus apabila penggunanya terlalu mengharapkan maklum balas, pujian dan tanda ‘Like’ daripada orang ramai.

“Jika mereka gagal dapat pujian dan ‘Like’, sebaliknya hanya menerima kutukan dan kejian, mereka menjadi tertekan sete­rusnya boleh mengalami gangguan jiwa ini atau lebih teruk lagi mendapat kecelaruan kemuru­ngan,” ujarnya.

Ujar Wan Mohd. Rushidi, pengguna juga terdedah kepada mereka yang menggunakan akaun palsu semata-mata untuk menyerang dengan niat mengutuk atau mengecam.

“Ia tidak sama dengan komunikasi secara berdepan di mana ia mempunyai had. Ada kes individu yang mempunyai masalah kemurungan membuat hantaran mahu membunuh diri dan pengguna akaun palsu melakukan provokasi dengan menyatakan mereka mahu menyediakan keranda,” katanya.

Ujar Wan Mohd. Rushidi, selain media sosial, terdapat drama luar negara yang mempunyai ramai pengikut di negara ini menjadikan bunuh diri sebagai satu trend bila ada masalah.

“Ia memberikan contoh yang tidak baik kepada masyarakat terutama remaja dalam mena­ngani masalah dengan baik, bukan dengan bunuh diri,” katanya.

Mengikut rekod Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, sebanyak 2.3 peratus orang dewasa atau setengah juta orang mengalami kemurungan dengan prevalen tertinggi adalah di Putrajaya diikuti Negeri Sembilan, Perlis, Sabah dan Melaka.

Sebanyak 9.5 peratus kanak-kanak berusia 10 hingga 15 tahun mengalami masalah kesihatan mental. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN