fbpx
ISMAIL SABRI meluang masa beramah mesra dengan para peminat motosikal RX-Z dalam program RX-Z Members 4.0.

RX-Z masih digilai hingga kini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JENTERA motosikal keluaran Yamaha, RX-Z yang mula diperkenalkan untuk pasaran tempatan pada April 1985 cukup terkenal dan terus menjadi kegilaan dalam kalangan peminat permotoran sehingga kini.

Sewaktu mula-mula dipasarkan, Yamaha yang merupakan syarikat pengeluar motosikal terkenal Jepun memperkenalkan motosikal RX-Z dengan lima kelajuan sebelum transmisi tersebut dinaik taraf kepada enam kelajuan pada tahun 1989.

Kini, biarpun pengeluaran motosikal dua lejang itu sudah dihentikan sejak 11 tahun lalu, Yamah R-XZ tetap menjadi antara motosikal pilihan dengan pemiliknya di negara ini dianggarkan puluhan ribu orang.

Jangka hayat panjang dan peminat yang ramai menyebabkan RX-Z pernah bergelar ‘raja jalanan’ walaupun disaingi model-model motosikal lebih moden seiring dengan peredaran masa.

Bagi Khairuddin Mohd. Suffi, 50, dia amat bertuah kerana menjadi salah seorang individu yang masih memiliki RX-Z yang boleh dianggap sebagai motosikal legenda.

Lelaki yang menetap di Teluk Intan, Perak itu menganggap memiliki RX-Z bukan sekadar hobi semata-mata, sebaliknya sebagai simbolik caranya mengingati erti kehidupan.

“Saya mula bercita-cita untuk memiliki motosikal RX-Z sejak berusia belasan tahun. Keinginan itu timbul sewaktu melihat ramai menunggangnya pada awal tahun 1990-an.

“Motosikal pertama saya ialah Honda EX5 sebelum akhirnya mampu untuk memiliki RX-Z yang dibeli daripada seorang kenalan pada harga RM18,000 lima tahun kemudian,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.


PARA peminat dan pemilik motosikal Yamaha RX-Z dari seluruh negara berhimpun di Kuala Nerus, Kuala Terengganu pada program RX-Z Members 4.0 baru-baru ini. – PUQTRA HAIRRY

Khairuddin merupakan salah seorang daripada puluhan ribu yang memeriahkan program RX-Z Members 4.0 yang merupakan perhimpunan terbesar pemilik motosikal legenda terbabit di negara ini.

Lebih menarik, program tersebut yang diadakan di Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bertindak merasmikan program itu.

Cerita Khairuddin lagi, motosikal RX-Z pertamanya itu bagaimanapun terpaksa dijual pada harga RM22,000 kurang dua tahun kemudian

Jelas jurutera berkenaan, dia pada waktu itu terdesak memerlukan duit untuk membiayai perbelanjaan majlis perkahwinan, namun keterujaannya terhadap RX-Z tidak pernah pudar.

“Pada tahun 2006, saya membeli motosikal jenis sama buat kali kedua. Begitupun, sekali lagi terpaksa dijual juga tidak lama kemudian untuk menambah dana pembinaan rumah pertama keluarga kami.

“Saya hanya kembali membeli Yamaha RX-Z buat kali ketiga pada lima tahun lalu setelah tahap kewangan semakin stabil,” ceritanya.
Khairuddin berkata, motosikal Yamaha RX-Z keluaran 1987 tersebut dibeli pada harga RM14,000.

“Alhamdulillah isteri dan anak-anak tidak membantah dan amat memahami minat saya. Saya hanya menggunakan motosikal RX-Z untuk menyertai aktiviti riadah bersama rakan-rakan sealiran,” katanya.
Nur Aqilah Yami, 28, pula menegaskan dia tidak pernah kekok menunggang jentera itu di atas jalan raya walaupun lali mendengar pelbagai persepsi kurang enak dilabelkan.

Jelas wanita yang menetap di Kota Bharu, Kelantan tersebut, dorongan banyak diberikan suaminya, Mohd. Zulkifly Sulaiman, 28, yang turut berkongsi hobi sama.

BUKAN sahaja lelaki, kaum wanita juga meminati motosikal Yamaha RX-Z.

“Sebelum berkahwin, saya langsung tidak berminat dengan motosikal. Perkenalan dengan suami mengubah segalanya, saya mengambil lesen motosikal dan mula obses dengan RX-Z.

“Kami menunggang motosikal ini secara bergilir-gilir pada setiap trip termasuk hingga ke Phuket, Thailand,” ujarnya.

Nur Aqilah berkata, aktiviti membonceng motosikal Yamaha RX-Z bersama-sama tersebut telah mengeratkan kasih sayang antara mereka suami isteri.

Jelasnya, dia dan suami telah membelanjakan lebih RM30,000 untuk memodifikasi alat ganti atau aksesori seperti tayar, rim, enjin dan topi keledar sejak enam tahun lalu.

“Kami sanggup berhabis kerana kepuasan itu sukar digambarkan. Apapun, aspek keselamatan dan pematuhan kepada undang-undang jalan raya tetap diutamakan.

“Yang salah, sekiranya penunggang motosikal itu melanggar peraturan dengan ubah suai jentera tidak ikut spesifikasi, tiada cukai jalan atau nombor pendaftaran,” katanya.

Seorang lagi peserta, Ahmad Sofiuddin Hilmi, 47, berkata, penganjuran program berkenaan memberi peluang puluhan ribuan peminat jentera dua lejang tempatan berkumpul selepas sekian lama.

Anak jati Temerloh, Pahang itu berkata, dia sudah mengikuti program tersebut sejak edisi pertama pada 2017 bersama kelab konvoi RX-Z.

“Dalam program ini, kita boleh menyaksikan peminat RX-Z bukan dalam kalangan generasi muda, malah mereka berusia 30-an ke atas kerana motosikal ini terkenal pada zaman golongan tersebut membesar.

“Keupayaan RX-Z boleh dinilai melalui cara ia meluncur di jalan raya. Walaupun hanya enjin dua lejang dengan 135cc, motosikal ini miliki kuasa kuda (hp) tinggi yang membolehkannya memecut laju,” ujarnya.

Jelasnya, maka tidak hairanlah pemilik atau pengumpul motosikal ini sanggup berhabis duit untuk mengekalkan prestasi jentera itu.


BEBERAPA peserta kelihatan menunggang motosikal RX-Z di sekitar tapak program.

Ujarnya, dia sendiri berhabis lebih RM8,000 untuk badan motosikal Yamaha RXZ tersebut sahaja.

“Ketiadaannya dalam pasaran menyebabkan harga RX-Z agak mahal jika ingin dibeli daripada tangan pemilik yang sudah berbelanja puluhan ribu ringgit sebelum motosikal itu bertukar tangan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN