SEORANG wanita berharap suspek yang menculik anaknya di Seberang Perai Tengah, George Town mendapat hukuman yang setimpal.

Bayi meragam, asyik menangis, trauma kena culik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – “Tempoh enam jam itu satu detik hitam yang hampir membuatkan saya dan suami kehilangan anak selama-lamanya.”

Demikian luahan seorang ibu apabila bayi perempuannya yang berusia sembilan bulan dilarikan seorang remaja di sebuah pangsapuri di Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah kira-kira pukul 5.30 petang, Selasa lalu.

Cerita wanita berusia 24 tahun itu, dia masih tidak dapat melupakan kejadian malang me­nimpa anaknya itu dan sering terbayangkan keadaan kanak-kanak kecil berkenaan yang menangis kelaparan.

Menurutnya, meskipun me­ngenali nenek suspek yang juga pengasuh anaknya, namun untuk memaafkan remaja perempuan berusia 14 tahun terbabit kini dianggap terlalu sukar.

“Dia (suspek) sudah ada niat untuk melarikan anak saya ke­rana telah mengemas beg pakaian di rumah pengasuh, namun tidak sempat mencapainya. Dia hanya ambil selimut bayi di ampaian.

Berita berkaitan: Remaja beri alasan culik bayi sebab comel

“Disebabkan kejadian itu juga, seharian anak meragam dan menangis berbanding sebelum ini senang dijaga. Dia juga tidak mahu mendekati orang tidak dikenali, mungkin sudah takut.

“Hari ini (semalam) dia demam dan muntah, mungkin kesan diberi minum susu pekat dan cucur udang. Saya bawanya ke klinik semalam (kelmarin), doktor memaklumkan anak me­ngalami trauma sebab ada sejarah kena culik,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Luah ibu muda itu, akibat trauma dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja di sebuah kilang di sini bagi menjaga sendiri anaknya di rumah.

“Saya takut mahu tinggalkan anak kepada orang lain kerana bimbang perkara sama berlaku lagi. Masih sukar melupakan tragedi pahit itu.

“Saya berharap suspek dan empat lagi kenalannya dikenakan hukuman setimpal atas perbuatan mereka,” tambahnya.

Kelmarin, Kosmo! melaporkan seorang remaja ditahan polis setelah melarikan seorang bayi perempuan dari rumah penga­suhnya di sebuah pangsapuri di Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah kira-kira pukul 5.30 petang Selasa lalu.

Bayi itu berjaya diselamatkan pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPD SPT).

Turut ditahan ialah empat lagi kenalannya termasuk teman lelaki suspek. Kesemua mereka kini direman selama empat hari bermula 24 Ogos lalu mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN