fbpx

Rokok, arak seludup bernilai RM38.5 juta dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Sabri (tengah) menunjukkan arak dirampas pihaknya.

SHAH ALAM – Penyeludupan rokok dan arak bernilai lebih RM38.5 juta termasuk cukai menggunakan kontena berjaya dipatahkan dalam serbuan di Pelabuhan Barat Klang dan Seremban, baru-baru ini.

Serbuan dilakukan Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit II (Selangor) antara 14 Julai hingga sepanjang Ogos ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad berkata, berdasarkan serbuan pihaknya berjaya merampas empat kontena di Pelabuhan Barat susulan hasil pemeriksaan lanjut selepas mesin pengimbas didapati wujud imej yang meragukan.

Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati kontena tersebut bermuatan rokok putih yang disyaki tidak mempunyai lesen import yang sah semasa dagangan diimport.

“Kita turut menahan sebuah lori jenis Rigid di tempat meletak kenderaan berhampiran Taman Ideal Township, Seremban, Negeri Sembilan.

“Hasilnya berjaya merampas lebih 42 juta batang rokok di lori tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, nilai keseluruhan rokok putih dirampas berjumlah RM32.09 juta.

Mohammad Sabri menambah, pihaknya turut mematahkan cubaan menyeludup minuman keras menbabitkan lapan buah kontena di Pelabuhan Barat sepanjang Ogos ini.

Ujarnya, ini melibatkan kira-kira 113,698.92 liter yang bernilai RM5.79 juta.

“Selain itu, sebanyak 27,860 kilogram paru-paru lembu sejuk beku bernilai sebanyak RM696,500 berjaya dirampas di sebuah treler ditinggalkan di tepi jalan Kawasan Perindustrian PKNS Pandamaran,” katanya.

Beliau menjelaskan semua kes kini disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI