SINGAPURA – Sebuah rakaman video tular di media sosial Singapura menerima kecaman netizen kerana memaparkan aksi seorang pelajar sekolah mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan bunuh terhadap gurunya, lapor portal berita Coconuts hari ini.
Insiden yang dikatakan berlaku di Sekolah St. Andrew itu memaparkan seorang pelajar lelaki menyerbu masuk ke dalam bilik darjah selepas didakwa menerima hukuman disiplin bagi satu kesalahan.
Dia kemudian menuju ke arah seorang guru lelaki dan melemparkan kata-kata kesat sambil disaksikan rakan sekelas lain.
“Saya akan tamatkan riwayat kamu sekarang. Diam (kata-kata makian),” kata pelajar berkenaan.
Guru tersebut kemudian meninggikan suaranya kembali ke arah pelajar berkenaan dan mengarahkannya agar berundur apabila dia berdiri terlalu hampir.
“Jangan sentuh saya, jangan marah saya! Jangan jerit ‘empat huruf’ itu,” tegas guru berkenaan.
Sekolah tersebut bagaimanapun tidak memberikan sebarang respons kepada Coconuts ketika diminta mengulas video tersebut.
Video itu menjadi tular dengan netizen memberikan pelbagai komen.
“Kanak-kanak zaman sekarang. Terlalu dimanjakan. Perlu menghukum (pelajar) kerana terlalu biadab dengan guru,” kata seorang pengguna media sosial. – Agensi














