UMPAMA berada di kebun sayur-sayuran di Cameron Highlands, Pahang.
Itu gambaran awal penulis tatkala dibawa masuk ke dalam khemah berjaring hitam berkeluasan kira-kira 7,000 kaki persegi (650 meter persegi) dipenuhi pelbagai tanaman sayur-sayuran yang subur menghijau itu.
Bagaimanapun, di sebalik keindahan yang dinikmati itu, percaya atau tidak kebun sayuran ini sebenarnya terletak di atas bumbung pusat beli-belah 1 Utama di Petaling Jaya, Selangor.
Menarik dan luar daripada kebiasaan, bukan sahaja lokasi tanaman yang membuatkan kebun ini unik, bahkan konsep yang diketengahkan pemilik premis itu sendiri.
Selain menanam tanaman organik untuk dijual kepada pengguna, premis dikenali sebagai Fresh Growcer (Rooftop Farm @ 1 Utama) ini juga membolehkan individu melihat, merasai dan mempelajari sendiri pengalaman memetik sayur-sayuran untuk dibawa pulang ke rumah dari atas bangunan berketinggian 18 meter (m) ke 24m itu.

Secara tidak langsung, inisiatif tersebut membolehkan individu mempelajari kaedah penanaman sayur-sayuran lestari, terutamanya bagi komuniti bandar yang hidup dikelilingi hutan konkrit.
Diusahakan seorang usahawan muda, Emil Jihad bersama rakan kongsinya Tony Yong, kebun atas bumbung itu dibuka kepada umum sejak penghujung Mac lalu.
Kata Emil, dia mahu premis tersebut dijadikan sebagai sebuah pusat ekopelancongan dan pendidikan, yang mana individu boleh berkunjung dan mempelajari kaedah pertanian lestari di situ.
Ujarnya, dia berterima kasih kepada 1 Utama atas peluang ini untuk mengambil bahagian dalam Wawasan Hijau yang dipraktikkan itu.
“Ramai yang berkunjung ke kebun ini dan teruja melihat sayur-sayuran yang ditanam di sini. Bukan sahaja dalam kalangan individu perseorangan dan keluarga, bahkan murid-murid sekolah dari tadika sehingga ke peringkat universiti.
“Ini merupakan antara fokus utama kami iaitu mahu menjadikannya sebagai platform pembelajaran.
“Ini memandangkan, di kawasan bandar, individu tidak berpeluang mengunjungi kebun jauh sekali bercucuk tanam, berbeza dengan mereka yang menetap di desa.
“Justeru, di sini mereka dapat menyaksikan kaedah pertanian lestari menggunakan ruang kosong di atas bumbung pusat beli-belah dengan sumber asli seperti udara dan cahaya matahari,” kata pemuda berusia 23 tahun itu kepada K2 baru-baru ini.

Menurutnya, selain didedahkan dengan kaedah penanaman, individu turut diberitahu kaedah sebenar mengekalkan nutrien yang terdapat di dalam sayur.
Meskipun beroperasi di atas bumbung, namun Fresh Growcer berfungsi sama seperti kebun di atas tanah dan bukannya sekadar ‘kebun pameran’ semata-mata.
Ini kerana, setiap hari, para pekerjanya akan bertani dengan membuat penyemaian benih, pemeriksaan kandungan pH air dan pelbagai kaedah lain bagi memastikan sayur-sayuran yang ditanam tumbuh dengan subur dan sempurna.
Kongsinya lagi, kebun tersebut menanam lebih 20 jenis sayuran yang dibahagikan kepada dua kelompok iaitu Asia dan Eropah.
Antara sayuran Asia ialah sawi Jepun, purple pak choy, kubis Cina, Thai basil, sawi bunga, nai pak, bayam merah, kangkung, manakala Eropah pula curly kale, butterhead, red coral, Italian sweet basil, romaine, peppermint, spearmint, rocket (arugula) serta Italian lettuce.
Selain sayur, premis tersebut turut menanam buah rock melon dan pokok hiasan serta menternak ikan tilapia merah tanpa antibiotik untuk dijual kepada pelanggan.
Lebih menarik, meskipun merupakan tanaman organik, namun atas dasar mahu semua lapisan masyarakat berpeluang menikmati sayur-sayuran tersebut, hasil tanaman di Fresh Growcer dijual pada harga serendah RM1.
Setakat ini, antara sayur yang paling laris dijual dan mendapat permintaan tinggi ialah Italian sweet basil, nai pak, kale dan Italian lettuce.
Selain dijual kepada individu persendirian, sayur-sayur ini juga dibekalkan di beberapa buah restoran dan pasar raya yang terdapat di 1 Utama dan sekitar Lembah Klang.
Bercerita mengenai tanaman organik yang diusahakannya, menurut Emil lagi, mereka menggunakan kaedah akuaponik untuk tanaman di situ, yang mana najis ikan digunakan sebagai baja tambahan semula jadi untuk sayur-sayuran.

Mereka tidak menggunakan sebarang semburan beracun untuk mengawal serangga perosak, melainkan campuran bahan organik.
“Selain dijadikan platform pembelajaran, matlamat kami di Fresh Growcer ini mahu orang ramai menikmati sayur-sayuran yang benar-benar sihat dan segar pada harga berpatutan.
“Sejak pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang pertama dahulu, ramai individu menjual sayuran yang didakwa organik. Bagaimanapun, kita sendiri tidak dapat memastikan adakah ia benar atau sebaliknya.
“Matlamat di belakang inisiatif ini adalah supaya pelanggan boleh mengunjungi kebun Fresh Growcer dan melihat sendiri sama ada sayur yang kami dihasilkan organik atau tidak, tanpa perlu bergantung sahaja kepada label, memandangkan di sini ikan dan sayuran berkongsi air yang sama.
“Jika sebarang racun serangga digunakan, sudah tentu ikan-ikan yang berada dalam saliran air yang sama akan mati,” terangnya.
Mempraktikkan green & sustainable farming dan menyasarkan sifar pembuangan, air yang digunakan akan dikitar semula, manakala sayuran yang tidak dijual akan dijadikan makanan ikan.
Berkongsi lanjut, menurut Emil lagi, tidak dinafikan sayur-sayuran boleh diperoleh dengan mudah di kebanyakan pasar raya.
Bagaimanapun, kebanyakan sumber serat tersebut sudah kekurangan nutrien, memandangkan ia telah dipetik kira-kira dua hingga tiga hari sebelum diletakkan di atas rak.Itu belum lagi ditambah dengan tempoh individu membeli dan sayur tersebut dimasak.
Sudah tentu, kandungan nutrien yang sepatutnya terdapat pada sayuran tersebut sudah semakin berkurangan.
Melihatkan situasi tersebut, kebun itu mengambil inisiatif menawarkan sayur-sayuran yang segar dan masih lengkap dengan kandungan nutrien dan pelanggan berpeluang memetik sendiri sumber serat yang digemari berserta akar.
“Ramai yang tidak tahu apabila akar dipotong, hampir sebahagian daripada nutrien yang ada dalam sayur tersebut telah hilang.
“Justeru, dengan memetiknya sendiri berserta akar, nutrien yang ada di dalam sayur tersebut mampu dikekalkan.
“Bahkan ia mampu bertahan kira-kira empat hari dengan hanya merendam akarnya di dalam mangkuk atau baldi berisi air bersih tanpa perlu diletakkan di dalam peti sejuk.
“Paling penting, ia memberi nutrisi sepenuhnya, makanan yang sihat dan harga berpatutan, selain ilmu tambahan serta pengalaman yang menyeronokkan kepada individu,” terangnya.
Menurutnya lagi, Fresh Growcer turut menjual sistem tanaman yang boleh digunakan di rumah atau di kedai bagi menggalakkan orang ramai bercucuk tanam dan mengenal pasti sumber makanan mereka.
Dari situ, mereka berpeluang untuk mengetahui tahap kesihatan dan kebersihan sayur-sayuran yang dimakan tanpa bergantung kepada label atau sijil.
Mahu menumpukan sepenuh fokus pada kebun pertamanya, Emil dan Tony tidak terdesak untuk membuka cawangan lain setakat ini.
Tambahan pula, kebun yang ada itu baru dibuka kepada orang ramai beberapa bulan lalu.
















