CYBERJAYA – Enam selebriti termasuk pempengaruh (influencer) media sosial merupakan antara 359 individu yang disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kerana membuat hantaran jelik dan menyalahi undang-undang ditetapkan.
MCMC dalam satu kenyataan memberitahu, selebriti dan influencer tersebut disiasat selepas pihaknya menerima laporan serta aduan daripada orang awam berhubung ketidakpatuhan kepada peraturan yang ditetapkan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Difahamkan, antara hantaran yang disifatkan sebagai kesalahan ialah yang mempunyai elemen lucah, sumbang, palsu, mengancam atau bersifat jelik.
Selain itu, tindakan menghina agama, bangsa dan perlembagaan negara turut digariskan sebagai satu kesalahan.
Menurut MCMC, serbuan dan pemeriksaan turut dilakukan ke atas enam individu berkenaan sebaik menerima laporan. Kesemua 359 aduan itu diterima antara tahun 2020 hingga Jun 2022.
“Kesemua aduan terhadap selebriti itu masih dalam siasatan sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 11 kes telah dituduh di mahkamah melibatkan denda berjumlah RM29,300 selain dua kes dikenakan kompaun RM5,000 setiap satu. Selain itu, terdapat juga 24 kes lain yang diberikan notis amaran oleh MCMC,” kata kenyataan itu kepada Kosmo!.
Menurut kenyataan itu, akta tersebut memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya selain denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.
Tambahnya, selain tindakan pendakwaan, MCMC boleh mengenakan kompaun dengan jumlah tidak melebihi RM25,000 bagi setiap satu kesalahan dan kegagalan membayarnya boleh didakwa di mahkamah.
“Meskipun hantaran dibuat di media sosial lebih bersifat hak peribadi setiap orang, namun ia masih terikat dengan akta tersebut di mana siasatan boleh dilakukan oleh MCMC,” katanya.
Mengulas lanjut, MCMC memberitahu, komunikasi atau kandungan perlu dielakkan ialah yang bertentangan dengan moral, sensitiviti dan nilai-nilai murni masyarakat setempat termasuk apa-apa bentuk hantaran yang boleh menggugat keharmonian, kestabilan dan keselamatan negara.
“Justeru, pengguna hendaklah sentiasa menghormati antara satu sama lain seperti kepercayaan dan kebudayaan masing-masing selain diminta untuk terus melaporkan penyalahgunaan kandungan kepada penyedia platform berkaitan,” ujarnya.
Sebelum ini, beberapa individu termasuk selebriti dan pempengaruh dipanggil MCMC untuk memberikan keterangan ekoran kandungan media sosial dimuat naik mereka disifatkan sebagai melanggar garis panduan ditetapkan.
Antara dipanggil memberikan keterangan seperti usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman berhubung video klip lagu raya nyanyiannya selain Datuk Seri Vida yang disiasat ekoran penghasilan video klip lagu terbarunya berjudul Muah Muah Raya serta pelakon, Zul Ariffin.














