fbpx
JAMAL menunjukkan kit bantuan pengajaran dan pembelajaran mikrobiologi ciptaannya di UiTM, Shah Alam baru-baru ini.

Cipta kit biologi kenali bentuk virus, kuman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUA tahun lalu, muncul sejenis virus yang dikenali sebagai Covid-19 yang telah meragut ribuan nyawa di negara kita dan di peringkat global.

Dalam situasi tuduh-menuduh siapa yang menjadi punca penyebar virus tersebut, jumlah jangkitan dan mangsa yang maut semakin meningkat.

Hinggalah situasi pandemik Covid-19 yang diumumkan pada awal tahun 2020 itu berakhir pada 1 April lalu apabila klasifikasi penularannya bertukar ke peralihan endemik hingga kini.

Menyedari betapa pentingnya ilmu mengenali jenis virus, seorang pensyarah bidang mikrobiologi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr. Jamal Houssaini telah merintis penciptaan kit untuk pengajaran dan pembelajaran tentang mikroorganisma.

Pandemik Covid-19 yang menyebabkan berlakunya krisis kesihatan dan sosioekonomi telah memberi idea kepada Jamal untuk mendidik generasi muda akan kepentingan menjaga kebersihan persekitaran sama ada di rumah, sekolah mahupun tempat awam.

Mikroorganisma termasuk kuman katanya, ada di mana-mana dan boleh hidup dalam keadaan cuaca panas dan lembab.

Menurutnya, kuman mungkin ada di atas meja, di tepi dinding malahan di kulit kita.

Oleh itu, Jamal merasakan sudah sampai masanya untuk beliau mewujudkan kit bantuan pengajaran dan pembelajaran mikrobiologi yang lebih mudah untuk pelbagai golongan termasuk pelajar mengenali bentuk mikroorganisma atau kuman di sekeliling kita.

SAMPEl-SAMPEL bergambar virus yang terdapat dalam kit antaranya, virus penyebab HIV( bawah kiri) dan taun (bawah dua dari kanan).

Sebelum wujudnya kit ini, beliau terpaksa membawa mikroskop, sampel mikroorganisma dan pelbagai peralatan ke pameran Petrosains pada tahun 2014 dan 2015.

“Menerusi kit ini, saya tidak perlu lagi membawa pelbagai peralatan makmal. Kini, dengan adanya kit ini saya dapat menerangkan dengan mudah apa itu mikroorganisma dan gambar kuman tersebut diambil serta diletakkan dalam piring petri.

“Jika menggunakan peralatan makmal, kita mesti mengamalkan sikap berhati-hati terhadap setiap sampel yang diambil melalui proses calitan kerana kita tidak tahu apakah ia sebelum dilihat di bawah mikroskop. Dengan kit pengajaran mikroorganisma ini, ia dapat diterangkan dengan bantuan buku panduan dan peralatan serta imej sesuatu mikroorganisma,” katanya ketika ditemui Panorama di UiTM, Shah Alam baru-baru ini.

Jamal berkata, di dalam kit pengajaran mikroorganisma tersebut, di belakang setiap sampel mikroorganisma itu dicatatkan nama mikroorganisma terbabit.

Katanya lagi, kesemua sampel tersebut adalah imej sebenar setiap mikroorganisma yang dirakam dengan menggunakan kamera beresolusi tinggi.

“Kalau kita menggunakan mikroorganisma atau kuman sebenar sudah pasti ia berbahaya kepada pelajar yang mempelajari ilmu mikrobiologi tersebut.

“Apabila kita meletakkan gambar mikroorganisma dalam piring petri ia seolah-olah mikroorganisma sebenar. Ini yang menjadikan kit pengajaran
mikroorganisma ini lebih menarik minat kanak-kanak untuk menjadi saintis,” katanya.

Jamal berkata, antara sampel mikroorganisma dalam bentuk imej yang dibekalkan adalah virus Penicillium marneffei yang terdapat dalam darah pesakit HIV, Escherichia Coli (E-Coli) penyebab keracunan makanan, Streptococcus pneumoniae penyebab penyakit pneumonia, vibrio cholerae punca penyakit kolera atau taun dan lain-lain lagi.

JAMAL (kiri) bersama pelajar-pelajar sekolah yang teruja dengan kit pengajaran mikrobiologi hasil idea beliau.

Mengulas mengenai golongan sasaran pembeli kit mikroorganisma tersebut, Jamal berkata, beliau menyasarkan pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti.

Jelasnya, kit pengajaran mikroorganisma tersebut didatangkan dengan imej-imej mikroorganisma, piring petri, pencalit, serbuk agar, panduan bertulis selain aplikasi tertentu seakan kod QR yang boleh diimbas untuk mengetahui data sesuatu mikroorganisma secara lebih terperinci.

Maka, daripada peralatan dalam kit itu juga, pengguna atau pelajar boleh melakukan ujian mudah untuk mengesan mikroorganisma di sekeliling rumah.

“Pengguna kit seperti pelajar sekolah boleh melakukan sendiri ujian mudah dengan panduan yang disediakan. Panduan perlu diikuti dengan teliti bagi memastikan ujian tidak melibatkan mikroorganisma yang berbahaya.

“Panduan untuk melupuskan ujian kendiri dengan selamat selepas dilakukan turut diberikan. Kita memberikan sarung tangan untuk keselamatan,” katanya.

Jelasnya lagi, bercerita tentang aspek penyampaian ilmu, sebagai seorang pensyarah mikrobiologi, beliau mengambil masa yang lama untuk mewujudkan aplikasi seakan kod QR dalam buku panduan kit tersebut.

Beliau memberitahu, menerusi data yang dibekalkan juga, kita boleh mengetahui bagaimana sesuatu kuman atau virus seperti Covid-19 dan influenza tersebar.

“Ia sama ada melalui rembesan air liur pembawa virus atau kontak dengan permukaan yang dicemari virus itu.

“Mungkin selepas ini saya boleh bekerjasama dengan Fakulti Sains Komputer UiTM untuk menaik taraf kod QR tersebut bagi menjadikan kit lebih
baik dari aspek penerangan sesuatu mikroorganisma,” katanya.

Menyentuh tentang promosi produk tersebut ke institusi-institusi pendidikan, beliau berkata, kit tersebut telah dibawa ke sekolah-sekolah sekitar Lembah Klang dan Pahang atas nama program Genius Scientist Lab baru-baru ini.

LABEL disertakan pada piring-piring petri yang mengandungi imei virus.

Lebih menarik, beliau berkata, anaknya sendiri yang masih bersekolah rendah menjadi jurucakap produk tersebut.

“Ini memudahkan pelajar-pelajar sekolah untuk mengemukakan pertanyaan tentang sesuatu kerana boleh mengajukan soalan kepada seseorang sebaya mereka.

“Sambutan amat menggalakkan dalam kalangan pelajar sekolah kerana sebelum ini mereka terpaksa bersekolah secara dalam talian.Apabila berpeluang menyertai program bersemuka mereka amat teruja,” katanya.

Jamal berkata, satu unit kit tersebut harganya hanya RM50 tetapi memberi manfaat kepada pembelinya.

Ujarnya lagi, dengan kos sedemikian ia amat berbaloi untuk dimiliki bukan saja kerana teknologi interaktif yang ditonjolkan, tetapi ilmu yang dipelajari mampu menyuntik minat generasi muda untuk menjadi saintis mahupun anggota penyiasatan lokasi jenayah (CSI).

“Ilmu mengenal pasti mikroorganisma amat penting jika generasi muda berminat untuk menjadi pakar perubatan mahupun farmasi.

“Ini kerana mikroorganisma ini senang tersebar disebabkan sifatnya yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

“Lihat sahaja penyakit cacar monyet, influenza dan varian Covid-19 yang disebar oleh manusia, ia memerlukan ilmu mikrobiologi untuk mengenal pasti kuman berbahaya ini,” katanya.

Jamal menitipkan pesanan, Covid-19 dan mikroorganisma lain adalah ancaman kepada kemanusiaan, maka generasi muda hari ini perlu cakna dengan kebersihan diri dan persekitaran.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN