fbpx
MEERQEEN

Meerqeen sedia disunting ke Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Pepatah itu mungkin tepat menggambarkan rezeki yang diraih oleh si kacak, Meerqeen.

Masuk ke persada seni hiburan tanah air sejak dua tahun lalu, dia bukan sahaja semakin digilai peminat bahkan meraih rezeki lumayan pada usia yang masih muda.

Pada usia 21 tahun, jejaka kelahiran Ampang, Selangor itu dilihat semakin laris. Namakan sahaja produk jenama antarabangsa dan rumah produksi, masing-masing mendambakan wajahnya sebagai pelaris.

Berbekalkan rupa paras dan fizikal level model, tidak hairanlah jika pemilik nama lengkap Muhammad Syameer Shauqeen Shaiful Izam itu mampu mencipta fenomena sehingga digilai peminat dari negara seberang, Indonesia gara-gara dek penangan drama lakonannya berjudul Melur Untuk Firdaus.

MEERQEEN mengakui peminat dari Indonesia lebih ekstrem dan ‘gila’ berbanding peminatnya di Malaysia.

Sinetron

Luah Meerqeen, semua itu adalah rezeki, bahkan langkah kanan yang menjadi pembakar semangatnya untuk terus memberikan yang terbaik dalam bidang lakonan.

“Ini bukan kejayaan saya seorang semata-mata, tapi turut melibatkan ramai pihak lain yang sama-sama berada di belakang saya,” katanya.

Menjadikan waktu popularnya kini sebagai peluang untuk mengembangkan kerjaya ke Indonesia, Meerqeen mengakui berasa cukup teruja apabila bakal berangkat ke negara republik itu esok (Ahad) untuk memenuhi beberapa jemputan program di sana selain bertemu para peminat di sana.

“Alhamdulillah esok (Ahad) saya akan berangkat ke Jakarta selama empat hari untuk memenuhi undang ke beberapa buah program televisyen. Nak tahu program apa? Kenalah tunggu.

“Selain itu saya juga merancang untuk bertemu dengan peminat-peminat saya di sana. Saya sangat teruja memandangkan mereka juga sudah lama menunggu saya untuk datang ke Jakarta. Harap-harap semuanya berjalan dengan lancar,” kata Meerqeen.

Tanpa berselindung, Meerqeen memberitahu dia sebenarnya sudah lama menyimpan niat untuk mencuba nasib dengan menjadi aktor di negara berkenaan.

Dia bahkan pernah menerima tawaran untuk berlakon dalam sebuah sinetron di Indonesia, namun terpaksa ditolak akibat terikat dengan jadual kerja yang terlalu padat dan terlebih dahulu dipersetujui di Kuala Lumpur.

“Saya memang teringin dan sudah memasang niat untuk berlakon di sana (Indonesia). Produksi di sana sangat besar berbanding di sini (Malaysia). Kalau dapat peluang itu, saya akan pergi.

“Saya tidak akan berhijrah ke Indonesia kerana prioriti saya masih lagi di sini. Cuma saya akan seimbangkan kerjaya di kedua-dua buah negara,” ujarnya.

JEJAKA tinggi lampai ini teruja dengan sambutan peminat dari Indonesia. Respons sebegitu katanya tidak dapat dirasai daripada peminat di Malaysia.

Berkorban

Tambah bekas peserta Hero Remaja 2019/2020 itu lagi, dia sanggup mengorbankan masa dan peluang karier di Malaysia jika sudah mendapat tawaran di Jakarta walaupun perlu menjalani penggambaran untuk sebuah sinetron dengan ratusan episod.

“Kalau saya perlu korbankan masa, saya sanggup demi tawaran lakonan di sana. Kita tahu pasaran di sana besar walaupun penggambaran memakan waktu yang sangat panjang.

“Sebelum ini pun saya pernah melakukan penggambaran untuk drama Angkara Cinta yang mempunyai sebanyak 115 episod. Jadi saya rasa tidak ada masalah,” ujarnya yang menyimpan impian untuk bergandingan dengan aktor seberang, Refal Hady.

Selain terkejut mendepani reaksi penerimaan peminat Indonesia terhadap lakonannya menerusi Melur Untuk Firdaus, Meerqeen juga terharu apabila lagu dendangannya berjudul Menunggu turut tular dalam kalangan peminatnya di sana.

“Mungkin lagu itu kena dengan mereka (peminat Indonesia). Lagu itu berkisar orang yang ditinggalkan. Jadi, mungkin sebab itu peminat Indonesia suka.

BERBEKALKAN wajah ala ‘oppa’ Korea Selatan, Meerqeen mendedahkan terdapat mesej yang diterimanya berupa luahan cinta daripada peminat yang menaruh hati terhadapnya.

Kacak

“Saya gembira lagu Menunggu menjadi tular, namun agak terkejut sebab pendengar di Malaysia tidak mengikuti lagu itu. Saya perasan ramai pengguna TikTok dari Indonesia memuat naik video mereka menggunakan latar lagu tersebut,” katanya.

Meerqeen bagaimanapun menegaskan tidak menyimpan impian untuk bergelar penyanyi kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kerjaya lakonan.

Terbaharu, Meerqeen sekali lagi bersyukur apabila namanya tercalon dalam senarai 100 Lelaki Terkacak Dunia 2022 oleh laman media independen, TC Candler.

Bagi meerqeen, pencalonan tersebut tidak akan berlaku tanpa sokongan daripada peminat yang selama ini menjadi tulang belakangnya dalam kerjaya.

“Alhamdulillah syukur. Berada dalam senarai 100 pun saya gembira. Terima kasih kerana kehadiran saya dalam industri disedari.

“Terima kasih mengiktiraf saya antara 100 terkacak di dunia,” ujarnya.

Enggan menjadikan pengiktirafan tersebut sebagai tiket untuk berbangga diri, Meerqeen berharap agar pencapaian yang diraih itu akan memberi lebih semangat untuk dia terus bekerja keras pada masa hadapan.

BARU setahun jagung bergelar artis, Meerqeen bersyukur kerana diberikan rezeki oleh Allah SWT dalam masa singkat untuk dia mencipta nama dalam dunia lakonan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN