fbpx
REKAAN luaran Suzuki Jimny generasi keempat ini kelihatan seperti trak asas.

SUV kompak mirip trak asas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA penghujung tahun 1970-an, Suzuki telah memperkenalkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang pertama dengan tanda nama Jimny.

Model Jimny generasi pertama diikuti generasi kedua pada tahun 1981 dengan ciri-ciri pacuan empat roda itu mendapat sambutan sehingga Suzuki memperkenalkan pula model Vitara.

Pada tahun 2013, Jimny generasi ketiga pula diperkenalkan dengan menggunakan enjin 1.3 liter dan pilihan transmisi empat kelajuan automatik atau lima kelajuan manual.

September tahun lalu, Suzuki yang kini di bawah Naza Eastern Motors Sdn. Bhd. telah melancarkan generasi keempat Jimny dengan hanya menawarkan varian tunggal.

BIARPUN tidak menonjolkan banyak ciri moden, model ini tetap mempunyai penggemarnya yang tersendiri terutama yang mementingkan elemen klasik.

Ketika diperkenalkan di Malaysia, tanda harga atas jalan tanpa insurans yang ditawarkan pada waktu itu ialah RM168,900. Mahalkan?

Apatah lagi untuk sebuah SUV kecil yang menghasilkan kuasa maksimum hanya 100hp.

Walaupun mahal, model Jimny ini ibarat pisang goreng panas kerana memang laris sehingga waktu menunggu mencecah sembilan bulan.

Baru-baru ini, penulis diberi peluang oleh Naza Eastern Motors untuk memandu uji model Jimny selama beberapa hari bagi membuat penilaian sewajarnya.

Antara yang bermain di fikiran penulis adakah model SUV kompak ini berbaloi dibeli dengan harga yang ditawarkan.

Secara asasnya, Suzuki Jimny generasi keempat ini mempunyai panjang 3,480 milimeter (mm), lebarnya 1,645mm, tinggi 1,720mm dan jarak antara roda ialah 2,250mm. Berat SUV ini ialah 1,435 kilogram.

Ruang simpanan untuk Jimny hanya 85 liter tetapi jika mahu ruang sehingga 377 liter boleh turunkan dua tempat duduk belakang.

Tombol gear ‘tradisional’ terletak pada konsol tengah antara pemandu dan penumpang hadapan.

Sistem pemanduannya pula menawarkan pacuan empat roda separuh masa. Ciri-ciri ini memberi pilihan kepada pemandu untuk menentukan sendiri mahu memilih pacuan dua roda atau empat roda.

Tombol gear ‘tradisional’ pacuan empat roda itu terletak di tengah konsol antara pemandu dan penumpang.

Model generasi keempat ini menggunakan enjin petrol 1.5 liter dengan transmisi empat kelajuan automatik. Tiada manual ya.

Kombinasi itu mampu menghasilkan tork maksimum 130Nm. Penulis difahamkan kelajuan maksimumnya ialah 140 kilometer sejam (km/j). Tidak lajukan? Ini kerana model itu direka bukan untuk kelajuan.

Penggunaan petrol pula dicatatkan untuk perjalanan 100 kilometer (km) ialah 6.8 liter.

Ini pula ciri-ciri keselamatan yang ditawarkan pada Jimny. Dua beg udara, dua ISOFIX untuk kerusi keselamatan kanak-kanak, ESP, side impact door beams , ABS (Antilock Brake System), brake LSD, traction control, hill hold control dan hill descent control.

BAHAGIAN belakang model ini yang mempunyai rekaan umpama kotak.

Rekaan dalaman dan luaran Jimny kelihatan seperti sebuah trak asas, namun lampu hadapan kenderaan ini menggunakan projektor LED dengan pembersih serta boleh berfungsi secara automatik.

Pada pandangan penulis, bahagian luaran Jimny generasi keempat lebih klasik dan mirip generasi pertama dan kedua jika dibandingkan dengan model generasi ketiga.

Masuk ke bahagian dalam rekaan klasik, cuma stereng dengan unit kawalan audio, unit kawalan penghawa dingin digital dan sistem sentuh dengan ciri-ciri Apple CarPlay bersambungan Bluetooth telefon pintar yang nampak moden.

Kesimpulannya, walaupun SUV kompak ini dijual pada harga yang agak tinggi, ia tetap mendapat sambutan menggalakkan kerana ia menawarkan nilai tersendiri kepada pemiliknya ibarat mengimbau kenangan lama selain menawarkan karakter yang mampu membuatkan orang ramai menoleh kepada kenderaan anda.

Harga atas jalan tanpa insurans terkini yang ditawarkan ialah RM174,900. Jika anda memilih warna dua tona Kinetic Yellow dan Bluish Black Pearl 3, anda perlu menambah RM2,500. Mahal? Kalau begitu, Suzuki Jimny ini bukan untuk anda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN