MUNGKIN ada dalam kalangan pengikut tegar dan peminat drama tempatan perasan ‘kehilangan’ Aidit Noh dalam industri sejak beberapa tahun lalu sehingga membuatkan ramai tertanya-tanya.
Ada yang mendakwa lelaki tinggi lampai itu merajuk dengan industri, tak kurang juga yang mengatakan dia sudah beralih arah ke bidang lain yang lebih menjamin masa depan.
Pun begitu, bermula awal tahun ini, kelibat Aidit kembali menghiasi ruang televisyen menerusi sebuah karya fenomena, Dendam Seorang Isteri.
Baru sahaja menamatkan tayangan kemuncak 85 episod Jumaat minggu lalu, rata-rata memuji drama tersebut dengan lakonan mantap yang dipersembahkan barisan pelakon lain termasuk Fasha Sandha, Nad Zainal dan Wan Raja.
Berpeluang bertentang mata bersama Aidit, dia sebenarnya tidak pernah ‘hilang’ dan masih kekal memegang gelaran sebagai pelakon.

“Waktu pandemik mula-mula datang, memang agak sukarlah untuk saya dan anak seni lain terima tawaran lakonan.
“Nak terima macam mana kalau penggambaran pun tak boleh dilakukan sebab wabak yang menular. Jadi memang beberapa tahun kebelakangan ini saya ‘ghaib’ sekejap tapi tak hilang ke mana pun,” ujarnya membuka kata.
Bernikah, bakal jadi bapa
Meneruskan perbualan, Aidit atau nama sebenarnya Ahmad Aidit Noh memberitahu, ramai dalam kalangan peminat dan rakan artis tidak tahu yang dia juga sudah bertukar status sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Kata Aidit, 29, dia selamat bernikah bersama seorang wanita kelahiran Terengganu dan hasil pernikahan, mereka bakal menimang cahaya mata sulung tidak lama lagi.
“Saya akui, walaupun sampai sekarang, ramai yang masih ingat saya ini bujang dan solo. Tidak, saya dah bernikah sewaktu PKP sekitar Mei tahun lalu. Mungkin sebab saya jenis tak suka kongsi sangat mengenai hal peribadi.
“Alhamdulillah perkenalan kami tidak lama, tiga bulan sahaja. Kami selamat bernikah secara online tetapi tiada majlis atau resepsi diadakan ketika itu.
“Senang kata kami bercinta usai bernikah. Alhamdulillah, sekarang pun isteri dah berbadan dua dan kini hamil lima bulan. Doakan buat isteri dan bayi saya yang bakal dilahirkan nanti,” katanya teruja.

Tambah Aidit yang popular menerusi watak Naufal dalam naskhah Dendam Seorang Isteri arahan sutradara Nizam Zakaria dan Uchee Fukada, dia kini sudah mula merasakan bahang debaran menjadi seorang bapa kelak.
Katanya, perasaan tersebut semakin terasa apabila kandungan isteri semakin membesar dan dijangka bersalin pada November nanti.
“Macam-macam perasaan bercampur baur. Debar, gementar, gembira pun ada dan pada masa sama tidak sabar dan teruja pun datang sekali.
“Mungkin ini rasanya yang perlu dilalui setiap lelaki yang bakal bergelar bapa,” katanya gembira.
Sukar terima
Berkongsi mengenai penerimaan isteri terhadap kariernya sebagai aktor ketika awal perkenalan, Aidit tidak menafikan wanita dikenali sebagai Hanani itu pada awalnya sukar menyesuaikan diri dengan jadual penggambarannya yang tidak menentu.
“Sebelum kahwin dia kata boleh terima, tetapi selepas itu baru dia tahu bagaimana cara saya bekerja.
“Tetapi lama-lama dia okey saja dan boleh terima perlahan-lahan. Dia juga sedia maklum yang saya bekerja hampir 80 peratus dengan wanita.
“Awalnya, dia memang agak cemburu sedikit. Jadi, saya akan benarkan isteri periksa telefon selain baca mesej dalam media sosial, bila sudah lama-lama dia sudah tak kisah,” ujarnya.

Dipinggirkan
Bercerita sedikit mengenai perjalanan kariernya yang dilihat agak perlahan beberapa tahun sebelum ini, Aidit mengakui pernah dipinggirkan dan hanya diberikan watak pembantu.
Lebih memilukan, bayaran yang ditawarkan disifatkan langsung tidak setimpal dengan pengalamannya yang bukan sehari dua dalam industri.
“Sebelum ini saya memang berehat seketika kerana ingin memberi tumpuan terhadap pelajaran. Jadi sebab itulah saya jarang muncul di televisyen sehingga ada menyangka saya sudah tinggalkan dunia lakonan.
“Ketika itu ada timbul sedikit rasa seperti dipinggirkan sehingga tiada tawaran berlakon kecuali sebagai watak tambahan sahaja.
“Ada produksi panggil berlakon tetapi bayaran setara dengan pelakon tambahan yang jauh lebih murah dan tidak setimpal,” katanya.

Ujarnya, pun begitu dia tidak patah semangat untuk menaikkan kembali namanya dalam industri meskipun sedar perlu bermula dari bawah.
Aidit menambah, tidak dinafikan, peluang menjayakan drama Dendam Seorang Isteri membuka jalan buatnya untuk kembali ke landasan yang betul bagi membuktikan dirinya sebagai seorang pelakon berbakat.
“Saya sedar kehadiran ramai pelakon baharu mempengaruhi kerjaya lakonan tetapi saya tidak berputus asa untuk kembali bangkit dan alhamdulillah tawaran berlakon dalam Dendam Seorang Isteri telah membuka kembali jalan saya dalam industri.
“Saya susun kembali strategi dan perlahan-lahan memperbaiki diri serta tidak kisah bermula dari bawah,” tuturnya seraya menoktahkan kata.
















