fbpx
ADI PUTRA

Pendinding Adi Putra, Mat Kilau ‘gear 100’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JIKA bagi selebriti lain, populariti itu satu pencapaian, aktor filem terlaris dalam sejarah, Adi Putra pula menyifat populariti sebagai satu ujian. Sebagai benteng hati, hero Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu menjadikan rukun Islam sebagai pendinding diri berdepan dambaan ramai.

Bukan tidak pernah aktor handalan, Datuk Adi Putra menjulang fenomena menerusi naskhah-naskhah popular yang menonjolkan pesona seorang hero dalam dirinya.

Selain cukup terkenal dengan watak ikonik Jai dalam francais KL Gangster, aktor kelahiran Singapura itu turut mencandu khalayak, khususnya wanita menerusi beberapa drama popular yang menemui peminat beberapa tahun lalu.

Misalnya Cinta Si Wedding Planner bersama Mira Filzah dan Tentang Dhia (Nora Danish) yang benar-benar melakar impak dalam kalangan peminat drama tempatan.

Seimbang antara skrin kecil dan layar perak, kemunculan Adi selaku tokoh pahlawan Pahang, Mat Kilau dalam filem epik Melayu, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan baru-baru ini mengulang fenomena sama, bahkan jauh lebih luas daripada jangkauan umum.

BERPERWATAKAN alim, namun pada masa sama seorang pendekar Melayu yang dilihat ‘seksi’, dipuji dan didambakan sebagai hero pujaan pada usia 40-an, Adi Putra sebenar sangat berterima kasih kepada peminat kerana secara tidak langsung mempromosikan filem Mat Kilau menerusi media sosial sehingga berjaya mencipta trending luar biasa.

Takut lupa diri

Lihat sahaja platform media sosial khususnya TikTok, pasti ‘bersepah’ video kreativiti peminat yang memuja aktor itu baik dari penampilan segak, mutu lakonan bahkan pesona seksi seorang hero miliknya.

Menelusuri hati lelaki yang sedang dilambung fenomena itu, tiada sekelumit pun rasa bangga menyelinap dalam diri, tetapi Adi, 41. Dia bahkan mengakui apa yang berlaku, semuanya satu bentuk ujian.

“Dalam setiap pujian, ada ujian. Setiap yang dilambung itu juga, ada dugaan. Apa yang saya boleh katakan, ini ujian baharu buat saya.

“Saya berkongsi dengan isteri tentang perkara ini. Saya cuma mampu duduk termenung. Bukan tak pernah dilambung hebat sebegini. Pernah, sewaktu KL Gangster ada impak seperti ini.

“Tetapi saya akui, Mat Kilau impaknya sudah masuk gear 100. Memang tak pernah sangka jadi begini. Tiada perkataan boleh diungkap kecuali alhamdulillah,” luahnya penuh mendalam.

Resam dunia selebriti, populariti selalunya membuatkan seseorang itu mudah terleka seterusnya hanyut dalam pujian sehingga lupa jati diri.

SEBELUM bersetuju menjadi Mat Kilau bawah arahan Syamsul Yusof, Adi sebenarnya pernah menolak tawaran memegang watak tokoh pahlawan itu sebanyak dua kali.

Enggan diri menjadi mangsa populariti, pemilik nama lengkap Mohamed Hadi Putera Halim itu mengakui takut andai fenomena yang dilaluinya kini menjadikan dirinya alpa.

Justeru, dia berkongsi tentang prinsip pegangan yang diamalkan sebagai ‘pendinding’ diri iaitu berpegang teguh pada prinsip lima rukun Islam.

“Kita boleh tengok di luar sana, jadi riak dan sebagainya bila dah popular. Tapi saya tak nak masuk bakul angkat sendiri. Biarlah begini, sudah cukup mensyukuri.

“Selepas ini ada lagi ujian dan perasaan yang akan datang sebab filem lain akan keluar. Saya pun tak tahu penerimaan orang ramai bagaimana.

“Dalam syahadah ada pengakuan kita seorang Muslim. Bila pegang lima perkara, kita akan capai kejayaan.

“Kalau tak jaga, Dia tak jaga kita. Taat pada Yang Satu, itulah prinsip pegangan saya,” katanya.

SELEPAS Mat Kilau, Adi akan sekali lagi terlibat dengan naskhah arahan Syamsul Yusof iaitu KL Gangster 3 yang belum dapat dipastikan tarikh bermulanya penggambaran. – SHIDDIEQIIN ZON

Masih laku

Di sebalik kehangatan sambutan filem Mat Kilau, Adi masih ada dua buah filem lain yang menunggu tarikh tayangan iaitu naskhah seram, Jerangkung Dalam Almari (4 Ogos) dan Air Force The Movie: Selagi Bernyawa (25 Ogos).

Dikatakan 2022 sebagai tahun bertuah buatnya, Adi bersyukur perjalanan seninya masih sehangat ketika era kegemilangannya selaku hero pujaan, meskipun sudah memegang status sebagai pelakon senior.

Kata Adi, penetapan tarikh tayangan kesemua filem berkenaan yang tidak jauh memungkinkan timbulnya kegusaran untuk menangkap perhatian peminat dengan dua watak berbeza, sekali gus keluar daripada bayangan Mat Kilau.

TAHUN 2022 menyaksikan banyak filem lakonan Adi ditayangkan. Tahun depan Adi akan mengeluarkan naskhah terbitan dan arahan sendiri berjudul Syaaban untuk tayangan amal.

“Akan jadi gila nak tukar dari Mat Kilau menjadi watak lain. Tetapi gila dari segi yang baik maksud saya. Kalau tiada gila, tiada perkembangan dan kesedaran di luar sana,” katanya.

Masih laku dan auranya tetap menjadi buruan produksi, Adi meletakkan rasa syukur yang tidak terhingga atas nikmat Tuhan sepanjang perjalanan kariernya.

Jika tahun ini ada tiga filem menembusi pawagam, tahun depan berkemungkinan aktor itu akan terlibat dengan penggambaran sebuah lagi naskhah arahan Syamsul Yusof iaitu KL Gangster 3.

“Kalau saya masih laku, insya-Allah tahun depan ada lagi muka saya di layar perak.

“Saya juga ditawarkan berlakon KL Gangster 3 tetapi tidak pasti bila penggambaran akan bermula. Mungkin tahun depan atau 2024,” ujar Adi.

Taat pada Yang Satu menjadi pegangan utama Adi Putra dalam menjalani apa sahaja kancah kehidupan, dipuji mahupun dikecam.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN