Oleh PROF. DR. MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH
DALAM wawancara bersama Kosmo! baru-baru ini, saya ada mengatakan, dakwah paling sukar apabila berhadapan dengan orang Islam sendiri, berbanding dakwah kepada bukan Islam.
Dakwah bukan Islam ini mudah sahaja, kita sampaikan, jika mahu, mereka terima, diikuti dengan proses seterus seperti soal jawab.
Jika tidak, dia akan berlalu begitu sahaja.
Tidak banyak berlaku perdebatan, penentangan, tidak sampai bergaduh, berperang atau berbunuhan dan jika ada pun, hanyalah kes terpencil.
Lain dengan orang Islam, apabila disampaikan, ada yang terima, tidak kurang menentang. Akhirnya bergaduh sesama sendiri.
Paling berat, sehingga sanggup kafir mengkafir, berperang dan berbunuhan.
Orang bukan Islam melihat dengan persepsi negatif. Bagaimana mereka mahu memeluk Islam?
Cakap tak serupa bikin, teori dan realiti berbeza.
Teorinya, Islam menyeru kepada kebaikan, realitinya sukar untuk melihat kebaikan itu untuk dipraktikkan dan ada contoh-contoh menyakitkan, sehingga sukar untuk diterangkan.
Kalau dahulu, persengketaan antara parti politik dan kali ini antara mazhab, sehingga berbunuhan.
Sebab itu, kita lihat, syiar Islam begitu cepat berkembang di negara bukan Islam, berbanding negara Islam itu sendiri.
Daripada 6.5 juta orang Cina di Malaysia, hanya dalam sekitar 65,000 memeluk Islam, walaupun negara telah merdeka hampir 65 tahun.
Kenapa ini berlaku?
Islam begitu cepat berkembang di Barat, tetapi bukan Malaysia dan di negara Arab yang ada orang bukan Islam.
Kita dapat lihat, perkembangan Islam di negara Islam begitu perlahan.
Meskipun mengikut jangkaan Pusat Penyelidikan PEW, Amerika Syarikat, jumlah umat Islam dalam tempoh 2050-2070 akan menjadi terbesar di dunia mengatasi Kristian, yang pada masa kini menduduki tempat paling atas.
Perkembangan paling aktif berlaku di negara bukan Islam, terutama negara Barat.

ISLAM lebih diterima oleh masyarakat bukan Islam di negara Barat. – GAMBAR HIASAN
Meskipun umat Islam berada dalam tangga kedua terbesar dunia hari ini, perkembangan terkini di Barat menampakkan kecenderungan yang amat ketara ke arah Islam.
Orang bukan Islam di negara-negara tersebut melihat Islam dengan membuat kajian terhadap al-Quran dan hadis.
Manakala, di negara Islam, orang bukan Islam melihat kita sesama sendiri saling berantakan, bercakaran dan berperang.
Justeru, langkah segera perlu dilakukan untuk memperbetulkan semua keadaan ini, terutama mereka yang bergelar pemimpin.
Pertama, umat Islam mesti menunjukkan contoh yang baik, terutama dalam kalangan pemimpin dari atas hingga ke bawah.
Inilah yang dikatakan kepemimpinan melalui teladan dengan amanah dan integriti menjadi pegangan utama.
Dalam hal ini, tidak ada salah laku dan salah guna kuasa dalam kalangan kita.
Keduanya, pemimpin negara Islam mesti ada agenda dakwah dan tidak hanya asyik bermain politik.
Ketiga, oleh kerana agama Islam itu bersifat progresif, maka pemimpin mesti dapat membawa negara ke arah kemajuan.
Keempat, sehingga hari ini, belum ada negara Islam yang dikategorikan sebagai negara maju, rata-ratanya mundur.
Jadi, perlu cari satu pendekatan terbaik bagaimana untuk menonjolkan bahawa Islam itu sebagai agama progresif dan maju seperti dahulu.
Kelima, negara umat Islam mesti menjadi negara pembuatan, pengeluar dan pengeksport.
Amat malang jika negara Islam terpaksa mengimport bahan sekecil jarum, tanpa ada inisiatif mengeluarkannya.
Krisis makanan yang melanda dunia adalah ujian terbesar bagaimana negara Islam mampu keluar daripada kemelut itu.
Keenam, mesti termasuk dalam kategori negara terbersih dunia, sebagaimana ajaran agama yang menuntut kepada penjagaan kebersihan.
Setakat ini, tidak ada negara Islam jatuh dalam kategori 30 terbersih dunia.
Yang ada kini semua negara bukan Islam dinobatkan sebagai terbersih.
Ketujuh, negara Islam mesti keluar daripada kemelut kemiskinan dan bercakaran sesama sendiri.
Ini semua adalah contoh yang tidak baik dan tidak boleh diberikan publisiti besar-besaran kerana ia boleh memberikan impak kepada agama Islam itu sendiri.
Kelapan, negara Islam mesti menjadi pertahanan dan keselamatan yang kuat.
Amat malang, sekali apabila teknologi persenjataan negara Islam berada pada tahap yang lemah dan mudah diperkotak-katikkan oleh anasir-anasir luar.
Kesembilan, negara Islam tidak boleh bergantung lagi kepada negara-negara Islam lain untuk mempamerkan keindahan agama suci ini, meskipun banyak tempat suci berada di sana.
Kedudukan Kaabah dan makam para anbiya serta tempat bersejarah, tidak lagi boleh dijadikan kebanggaan sekiranya tidak ada contoh baik yang dapat dilihat.
Ke-10, pilih pemimpin yang ada jiwa dakwah untuk memimpin.
Dalam hal ini, pemimpin dipilih mesti tahu erti tanggungjawab sebagai khalifah, bukan hidup berpaksikan nafsu sehingga merosakkan Islam.
Percayalah, dakwah Islam pada hari ini lebih kepada apa yang dapat dilihat, daripada apa yang disampaikan.
Rakyat terutamanya anak muda melihat apa yang pemimpin buat, bukan apa yang pemimpin cakap.
Jika yang disampaikan tidak dapat ditunjukkan dengan penglihatan, terlalu sukar untuk dakwah itu berkembang.
Kepada pemimpin, perlu diingat orang pertama yang akan dipersoalkan nanti di akhirat, bukan rakyat, tetapi kamu. Apa yang kamu buat setelah dipilih menjadi pemimpin?
Apa sumbangan kamu untuk agama, bangsa dan negara?
—————————————————————————————————————————————————————————————————-
PROF. DR. MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH ialah pendakwah bebas dan juga pensyarah di Pusat Pengajian Teras, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)














