Rakyat Thailand membeli anak pokok ganja yang dijual di tepi jalan berhampiran bandar Hatyai kelmarin. – SHAHIR NOORDIN

Syurga ganja di Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HATYAI – Rakyat Malaysia yang berkunjung ke Thailand bimbang jika ada pelancong dari tanah air yang masuk ke negara gajah putih itu semata-mata mahu me­lancong sambil menghisap ganja dan minum air kanabis yang begitu mudah didapati.

Pokok ganja kini dijual secara terbuka di tepi jalan, manakala produk berasaskan kanabis pula berlambak di premis serbaneka sejak kerajaan Thailand membenarkan penanaman pokok tumbuhan itu di rumah bulan lalu.

Tinjauan Kosmo! di bandar Hatyai kelmarin mendapati, jualan pokok ganja dan produk berasaskan bahan itu sememang­nya telah dijual secara terbuka di situ.

Seorang peniaga warga Thailand berusia 56 tahun yang enggan dikenali berkata, dia menjual anak pokok ganja di tepi jalan berhampiran bandar tersebut sejak kira-kira sebulan lalu.

Ketika ini, dia mempunyai ladang pokok ganja yang terletak kira-kira 35 kilometer (km) dari bandar Hatyai.

“Saya menjual anak pokok tersebut pada harga antara 20 hingga 100 baht (RM2.50 sehingga RM12) sepokok mengikut usia.

“Bagaimanapun, setakat ini belum ada rakyat Malaysia yang beli pokok mahupun benih ganja daripada saya, tetapi ada yang datang dan bertanyakan tentang pokok-pokok ini serta cara penjagaannya,” kata peniaga terbabit kelmarin.

Menurutnya, dia mampu menjual lebih 30 pokok ganja sehari yang kebanyakannya dibeli oleh penduduk tempatan yang mahu menanam tumbuhan itu di rumah masing-masing.

Selain pokok ganja, dia juga menjual daun ketum yang didakwa ditanam di negara itu pada harga RM33 sekilogram.

Tambahnya, produk minuman yang berasaskan ganja seperti air kanabis pula ada dijual di kedai-kedai serbaneka pada harga RM3 sebotol.

Produk minuman berasaskan daun ganja turut dijual di premis-premis serbaneka. – SHAHIR NOORDIN

Sementara itu, seorang rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Zaki Asraf, 38, berkata, dia tidak terkejut apabila mendapati pokok ganja dan air minuman berasaskan tumbuhan itu dijual secara terbuka di Thailand.

“Namun saya bimbang kalau ada rakyat Malaysia yang masuk ke sini dan teringin mencuba air kanabis atau ganja. Air ini mudah didapati di kedai serbaneka, bo­tolnya ada gambar daun ganja.

“Bagaimanapun, produk berasaskan ganja itu tidak dijual oleh peniaga-peniaga kecil lain,” katanya.

Ujarnya, ketika melancong di Thailand, dia menemui satu pokok ganja di sebuah kedai serta jualan anak pokok tersebut di tepi jalan sahaja.

“Saya lihat ramai juga penduduk di sini berhenti dan membeli pokok-pokok tersebut.

“Setelah melihat keadaan ini, saya tidak tolak ada kemungkinan berlaku penyeludupan pokok atau benih ganja atau produk kanabis ke negara kita melalui negeri bersempadan se­perti Kedah dan Perlis,” ujarnya.

Justeru, dia berharap pihak berkuasa terutama yang menjaga sempadan darat dan laut Malaysia-Thailand termasuk di laluan masuk yang sah atau di lorong tikus mempertingkatkan operasi serta pemantauan.

Mulai 9 Jun lalu, kerajaan Thailand membenarkan rak­yatnya menanam tumbuhan itu di rumah hanya untuk tujuan kesihatan serta perubatan dan bukannya rekreasi yang masih diharamkan.

Keputusan itu menjadikan Thailand sebagai negara Asia pertama yang menghapuskan ganja daripada senarai narkotiknya.
Bagaimanapun, penggunaan ekstrak ganja tidak boleh me­lebihi 0.2 peratus tetrahydrocannabinol (THC) dan jika melebihi kadar tersebut dianggap melanggar undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN