ALOR SETAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan sebanyak 880 kes penyelewengan petrol dan diesel di seluruh negara dengan nilai rampasan berjumlah RM18.76 juta sejak empat tahun lalu.
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, daripada jumlah itu, rampasan diesel lebih tinggi iaitu 488 kes dengan nilai rampasan RM16.35 juta berbanding petrol dengan 392 kes melibatkan rampasan bernilai RM2.41 juta.
“Bagi diesel, sebanyak 128 kes dengan nilai rampasan RM3.06 juta dicatatkan sehingga 31 Mei lalu dan ia merupakan kes tertinggi berbanding tahun lain sejak 2018.
“Rampasan petrol pada tahun ini sehingga 31 Mei lalu pula mencatatkan sebanyak 54 kes dengan nilai rampasan RM365,116,” katanya.
Sementara itu, katanya, sebanyak tujuh stesen minyak di seluruh negara dikenakan tindakan dan disiasat atas kesalahan tersebut bermula 1 Januari hingga 22 April lalu.
“Kertas siasatan telah dibuka dan tindakan dilakukan di bawah peruntukan Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
“Stesen minyak terlibat disyaki melakukan kesalahan di bawah peruntukan Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memindahkan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan,” ujarnya.
Kata beliau, kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi kerap berlaku apabila harga minyak industri meningkat.
“Apabila terdapat julat perbezaan yang tinggi antara harga diesel industri dan harga runcit diesel di stesen minyak, maka pihak tidak bertanggungjawab akan mencari peluang untuk mendapatkan bekalan diesel bersubsidi di stesen minyak.
“Ia kemudian dijual kepada sektor industri selain aktiviti penyeludupan yang berlaku di pintu-pintu sempadan negara,” jelasnya.
Menurutnya, antara negeri yang menjadi hot spot bagi kegiatan penyelewengan atau penyeludupan bahan api itu adalah Kelantan, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak.














