fbpx
RONALD KIANDEE (tengah) semasa mengunjungi gerai pameran di Simposium Kejuruteraan Pertanian 2022 di Putrajaya baru-baru ini.

Revolusi pertanian, transformasi Malaysia ke arah pertanian pintar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“DI kilang tanaman vertikal ini, terdapat lima rak yang mencecah ketinggian sehingga 18 kaki (5 meter) dan mampu menghasilkan sehingga 1.5 tan metrik sayur-sayuran berdaun setiap bulan.

“Kami memfokuskan sayur-sayuran seperti kale, rocket dan sweet Italian basil yang biasanya ditanam di kawasan beriklim sejuk di luar negara atau di kawasan tanah tinggi di Malaysia,” kata pengasas Farmy, Shoma Tsubota.
Farmy yang dibangunkan Shoma itu merupakan kilang sayuran di Petaling Jaya, Selangor yang menggunakan konsep penanaman menegak.

Usaha anak muda itu yang berjaya menanam sayuran tidak lazim tumbuh di negara ini menarik perhatian sehingga dirinya menjadi salah seorang individu yang ditugaskan membuat pembentangan pada Simposium Kejuruteraan Pertanian 2022 baru-baru ini.

Dalam pembentangan itu, Shoma menjelaskan, matlamatnya menanam sayuran tersebut adalah bagi menggantikan keperluan mengimport dan mengurangkan rantaian bekalan yang panjang dikaitkan dengan sayur-sayuran tersebut.

Terangnya, kilang tanaman tersebut juga menggunakan sistem hidroponik yang dipanggil Teknik Filem Nutrien (NFT) dan lampu hortikultur LED yang disesuaikan untuk mereplikasi cahaya matahari semula jadi di dalam kilang.

Shoma berkata, melalui kaedah penanaman menegak dalam bangunan membolehkan Farmy mengusahakan tanaman yang tidak biasa ditemui di Malaysia tanpa menggunakan racun perosak.

“Tumbuh secara menegak di dalam bangunan juga menghapuskan risiko yang dibawa oleh iklim tropika Malaysia.

“Selain itu, sistem ladang yang dibangunkan menggabungkan teknologi LED, Internet of Thing (IoT) dan hidroponik juga menggunakan sedikit ruang, tenaga buruh dan air berbanding pertanian konvensional,” katanya.

teknologi kejuruteraan pertanian menjadikan kerja-kerja bertani tampak sistematik dan canggih.

Penanaman menegak adalah salah satu daripada teknologi-teknologi dalam pertanian yang diterokai mutakhir ini.

Kenaikan harga semasa makanan global ternyata telah menimbulkan kebimbangan yang serius terhadap jaminan bekalan dan keselamatan makanan negara.

Oleh itu, penghasilan produk makanan yang selamat dengan kos pengeluaran rendah serta penggunaan sumber sedia ada secara optimum dengan memanfaatkan penggunaan teknologi dan kejuruteraan dalam bidang pertanian harus dilaksanakan bagi mengatasi masalah tersebut.

Penggunaan teknologi dan kejuruteraan dalam bidang pertanian kini menjadi aspek terpenting bagi memastikan peningkatan pengeluaran makanan yang berkualiti tinggi di samping kos yang minimum.

Menyedari hakikat itu, Jabatan Pertanian Malaysia mengambil inisiatif menganjurkan Simposium Kejuruteraan Pertanian 2022 dengan tema ‘Revolusi Teknologi Kejuruteraan Pertanian ke Arah Revolusi Perindustrian Keempat (4IR)’ di Putrajaya baru-baru ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zahimi Hassan berkata, pemilihan tema tersebut adalah selari dengan salah satu teras utama dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

Menurutnya, dasar itu menumpukan transformasi pertanian melalui penggunaan teknologi 4IR dan pertanian pintar.

“Revolusi Industri 4IR ini merangkumi teknologi baharu seperti dron, sensor robotik dan IoT ataupun internet kebendaan yang menjadi elemen penting dalam kejuruteraan pertanian bagi meningkatkan produktiviti sistem makanan negara.

“Justeru itu, kami tidak akan ketinggalan dalam agenda ini dan telah menjadi strategi pemodenan melalui aplikasi pertanian pintar sebagai kunci utama kepada usaha bagi menjayakan transformasi sektor agromakanan melalui pelaksanaan projek-projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12),” jelasnya.

Dalam pada itu, kini ramai pihak telah mengaplikasi penggunaan teknologi 4IR dan pertanian pintar dalam industri pertanian.

Penggunaan teknologi dalam sektor pertanian juga semakin popular dan turut mendapat tempat dalam kalangan pesawah di Malaysia.

Malah, pesawah di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut, Selangor juga tidak ketinggalan menggunakan teknologi dron.

Pegawai Pertanian, IADA Barat Laut, Selangor, Mohamad Fiqri Shafiee berkata, perkembangan teknologi dron dapat memodenkan industri tanaman padi supaya memenuhi permintaan masa depan negara.

PENGGUNAAN teknologi dron memodenkan industri tanaman padi.

Menurutnya, dalam sektor pertanian, dron digunakan sebagai kaedah pertanian tepat serta pintar bagi meningkatkan hasil dan keuntungan tanaman serta pada masa sama dapat mengurangkan jumlah input yang digunakan.

“Dengan kata lain, dron membantu petani memastikan teknik pertanian yang tepat digunakan dan membantu mereka membuat keputusan jitu.

“Seperti sedia maklum, pengeluaran hasil adalah bergantung kepada beberapa faktor yang tidak dapat dikawal pesawah. Antaranya keperluan air, perubahan iklim, angin, kualiti dan kelembapan tanah, rumpai, serangan penyakit, perosak serta musim pertumbuhan yang tidak konsisten,” jelas Mohamad Fiqri.

Tambahnya, kaedah penyemburan racun menggunakan dron dapat mengurangkan risiko akibat kontak manusia dengan bahan kimia, racun perosak dan baja berbahaya.

Dron juga dapat menentukan jumlah optimum bahan semburan yang diperlukan serta memastikan semburan dibuat secara rata pada tanaman.

Sementara itu, Ketua Penyelidik MIMOS Berhad, Ts. Ir. Dr. Nordin Ramli berkata, pertanian memainkan peranan penting dalam memacu sektor ekonomi dan bertanggungjawab dalam meningkatkan pengeluaran makanan serta keperluan asas kita.

Menurutnya, sektor pertanian menyumbang sekitar 8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019.

“Ini memberikan peluang kepada petani untuk memanfaatkan teknologi dalam meningkatkan hasil tanaman dan pendapatan mereka.

“Kebergantungan negara ini terhadap sektor pertanian bagi meraih pendapatan harian masih kekal sehingga kini,” katanya.

Tambahnya, oleh itu kita memerlukan penekanan penggunaan teknologi bagi mengoptimumkan pengeluaran hasil pertanian yang mampan.

Tanpa disedari, era globalisasi ternyata mempengaruhi gaya dan kaedah pertanian masa kini yang tidak lagi bergantung penuh terhadap alatan tradisional, sebaliknya segalanya kini boleh dilakukan ‘di hujung jari’ bagi memantau atau membuat keputusan dalam menjalankan aktiviti pertanian.

Bagi memenuhi permintaan ini, industri pertanian perlu beralih menggunakan teknologi, terutamanya IoT demi produktiviti dan kecekapan lebih baik.

Nordin berkata, melalui kaedah pertanian pintar, petani tidak perlu lagi turun ke lapangan bagi menabur baja, melakukan siraman dan sebagainya, sebaliknya mereka boleh berbuat demikian, misalnya dengan menggunakan telefon pintar atau sistem yang saling berhubung.

“Penyelesaian pertanian pintar berteraskan teknologi 5G antara lain merangsang penggunaan teknologi baharu dalam industri, selain mengintegrasikan teknologi moden lain seperti kecerdasan buatan (AI), automasi, data raya, dron dan robotik.

“Dengan mengadaptasikan pertanian berteraskan teknologi seperti demikian membolehkan jumlah besar data dikumpul dan analisis data lanjutan akan membantu petani untuk membuat keputusan lebih baik bagi mencapai penjimatan kos, menambah baik kecekapan dan mencipta peluang perniagaan baharu,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN