BEIJING – Sebuah bangunan berusia 100 tahun seberat 3,800 tan di bandar raya Shanghai diangkat dan dipindahkan ke lokasi lain dengan bantuan teknologi digelar ‘mesin berjalan’, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Bangunan itu dipindahkan dari kedudukan asalnya pada Jumaat lalu sebagai sebahagian daripada projek pengubahsuaian. Ia merupakan projek pengangkutan binaan terbesar dan paling berat di bandar raya itu.
Selepas kiraan dan ukuran tepat diambil, rel-rel gelongsor dipasang di bahagian bawah bangunan tersebut bagi menolaknya ke kedudukan yang telah dikhaskan.
Sokongan yang diletakkan bertindak seperti kaki robotik, di mana ia dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu yang bergerak naik dan turun secara berganti-ganti seperti kaki manusia.
Sebilangan sensor juga diletakkan untuk membantu mengawal bagaimana bangunan itu bergerak ke hadapan.
“Ia seperti memberikan tongkat kepada bangunan itu supaya boleh berdiri dan berjalan,” kata Ketua Penyelia Teknikal bagi projek tersebut, Lan Wuji.
Pemindahan struktur binaan itu merupakan proses mengangkat keseluruhan bangunan dari tapak asal dan memindahkannya ke lokasi lain.
Ia merupakan satu kaedah yang semakin banyak digunakan untuk memulihara bangunan bersejarah yang mungkin akan dimusnahkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.
Teknologi itu juga digunakan untuk memindahkan bangunan ke lokasi lebih selamat berikutan ancaman banjir.
Pada tahun 2020, sebuah bangunan di kota raya Shanghai telah dipindahkan dengan menggunakan teknologi yang sama. Bangunan tersebut merupakan sebuah sekolah berusia 85 tahun dan setinggi lima tingkat di daerah Huangpu. – AGENSI
















