fbpx
ROSE menyesal kerana sikapnya yang mementingkan wang dan mengabaikan keluarga, dia berceria dengan suami. – GAMBAR HIASAN

Doktor wanita sibuk, abai keluarga dicerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS tiga tahun hidup bersama, rumah tangga Rose dan Azmin (bukan nama sebenar) diuji dengan cabaran besar sehingga meretakkan hubungan antara mereka.

Disebabkan itu, pasangan berusia pertengahan 30-an itu akhirnya memilih untuk berpisah secara baik di mahkamah syariah kira-kira dua tahun lalu.

Hasil perkahwinan singkat mereka, pasangan yang menetap di Kota Damansara, Selangor itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki berusia dua tahun.

Menurut Rose, dia berkenalan dengan Azmin menerusi salah seorang rakan baiknya sebelum membawa kepada bibit-bibit cinta antara mereka.

Katanya, selepas hampir setahun menyulam cinta, mereka mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga memandangkan masing-masing sudah mempunyai kerjaya dan kewangan kukuh.

“Saya kenal Azmin ini tidak lama pun, tetapi melihat kepada kesungguhannya, saya rasa dicalon terbaik untuk menjadi suami. Azmin bekerja sebagai usahawan.

“Ketika itu, saya masih berkhidmat sebagai doktor pelatih di salah sebuah hospital kerajaan,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Kira-kira setahun melayari bahtera perkahwinan, Rose memaklumkan, dia telah diterima untuk perjawatan tetap di hospital kerajaan yang sama.

Selepas diberikan perjawatan tetap, waktu kerja Rose sebagai doktor mula tidak menentu.
Dia sering menerima on call iaitu bekerja lebih masa sehingga ada ketikanya, perlu berada di hospital selama 18 jam sehari.

“Azmin sangat memahami tugasan saya sebagai seorang doktor.

“Jadual kerja memang tidak menentu dan ada kalanya terpaksa bermalam di hospital,” terangnya.

DISEBABKAN Rose sibuk, suaminya mengambil alih menjaga anak mereka. – GAMBAR HIASAN

Menurut Rose lagi, selepas melahirkan anak tunggal mereka, dia mendapat tawaran bekerja sambilan di sebuah klinik pada hujung minggu daripada rakan sejawatnya.

Jelasnya, tanpa berfikir panjang, dia menerima tawaran tersebut memandangkan ketika itu, dia dan suami sedang mengumpul duit untuk membeli sebuah rumah banglo di pinggir ibu kota.

“Setiap orang pasti ada impian untuk memiliki rumah sendiri. Kalau harap gaji, memang tidak cukup untuk membeli rumah idaman.

“Jadi, saya terima tawaran bekerja sebagai doktor sambilan di sebuah klinik. Tidak lama pun, enam jam sahaja sehari. Tetapi, saya perlu bertugas pada hujung minggu,” katanya.

Tanpa disangka, tindakan Rose yang terlalu ‘mengejar wang’ itu menyebabkan rumah tangganya mula goyah dek kerana sering tiada masa bersama dengan suami dan anak.

Ujarnya, Azmin mula marah-marah kerana dia tidak dapat menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, lebih-lebih lagi ketika hujung minggu dan cuti umum.

“Saya sedar Azmin marah kepada saya kerana sering membiarkannya bersama anak di rumah termasuk pada hujung minggu. Masa yang saya luangkan bersama mereka sangat singkat,” ujarnya.

Sehinggalah satu hari, amarah Azmin tidak dapat ditahan lagi apabila Rose gagal mendapatkan cuti untuk menjaga anak yang demam di rumah.

Kebetulan pula ketika itu, Azmin mempunyai tugasan di luar kawasan selama beberapa hari dan tidak dapat menjaga anak mereka.
Disebabkan itu, Azmin yang dalam keadaan marah telah menghantar anak kepada Rose di hospital.

“Saya masih ingat lagi, Azmin datang dalam keadaan marah-marah sebelum memberikan anak kepada saya untuk dijaga. Ketika itulah, dia melafazkan cerai talak satu kepada saya sebelum beredar,” ujarnya.

Rose berkata, dia reda terpaksa berpisah dengan Azmin memandangkan segalanya berlaku atas kesilapannya sendiri yang terlalu sibuk bekerja sehingga melupakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

Sewaktu perbicaraan di mahkamah syariah, hakim menasihatinya supaya bijak membahagikan masa antara tanggungjawab terhadap kerja dan keluarga.

“Selepas bercerai, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai doktor dan membuka klinik sendiri.

“Dengan ini, saya dapat meluangkan lebih banyak masa bersama anak,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN