fbpx
ISMAIL SABRI bersama Presiden Turkiye, TYT Recep Tayyip Erdoğan di Kompleks Istana Presiden, Ankara.

Malaysia, Turkiye setuju tingkatkan perdagangan produk makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Malaysia dan Turkiye akan meningkatkan perdagangan produk makanan selain terus menjalinkan kerjasama yang meliputi perkongsian maklumat juga pengalaman dalam usaha untuk memastikan rantaian bekalan makanan sentiasa mencukupi serta stabil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu dipersetujui dalam perbıncangan bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang berlangsung di Kompleks Presiden di Ankara, Turkiye hari ini.

“Dalam perbincangan ini kami bersetuju bahawa isu keselamatan makanan kian meruncing akibat daripada pandemik Covid-19 malah kini menjadi semakin kritikal ekoran konflik di Ukraine.

“Susulan itu, Malaysia dan Turkiye akan memperkasakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor makanan bagi meningkatkan keupayaan menghasilkan sumber makanan dan kelangsungan sekuriti makanan untuk berada pada tahap yang stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Erdogan yang bersiaran secara langsung dari Ankara, Turkiye sebentar tadi.

Menurut Ismail Sabri, beliau dan Erdogan turut membincangkan tentang potensi Malaysia yang bukan sahaja sebagai rakan dagang utama Turkiye sebaliknya Malaysia sebagai pintu masuk dan hab perdagangan ASEAN.

“Kedua-dua negara kini berada dalam pusingan akhir perluasan skop Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA) yang meliputi bidang-bidang baharu seperti pelaburan, perkhidmatan dan e-dagang.

“Saya hargai keyakinan pelabur Turkiye di Malaysia dan yakin perluasan MTFTA akan membuka lebih banyak peluang pelaburan dua hala,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata beliau dan Erdogan turut membincangkan potensi untuk Turkiye meningkatkan import minyak sawit Malaysia memandangkan Turkiye merupakan hab pembuatan produk berasaskan sawit bagi pasaran benua Eropah dan Asia Tengah.

“Saya difahamkan Turkiye sedang mempergiatkan penggunaan biodiesel sebagai bahan bakar dalam sektor pengangkutan.

“Malaysia telah memulakan pengeluaran biodiesel berasaskan minyak sawit yang selaras dengan matlamat negara dalam menghasilkan sumber tenaga mesra alam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN