fbpx
Gambar hiasan.

Banjir Baling: Sayu lihat rumah hasil simpanan lenyap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALING – “Saya sedih kerana hilang tempat tinggal dan sehingga saat ini saya belum mempunyai kekuatan untuk melihat keadaan rumah yang rosak teruk akibat tragedi kepala air Isnin lalu.”

Demikian luah salah seorang mangsa, Azizan Md. Isa, 49, yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, di sini semalam.

Menurutnya, tragedi tersebut memberi kesan mendalam kepada dirinya yang bukan sahaja kehilangan rumah, malah dia dan isteri, Nor Azah Aziz, 45, nyaris maut dihanyutkan arus deras.

“Saya rasa sedih dan sayu bila teringatkan keadaan rumah yang dibina sendiri menggunakan wang simpanan musnah begitu sahaja.

“Sehingga saat ini, saya rasa tidak berdaya untuk pulang ke rumah dan lihat keadaannya,” katanya sebak.

SEBUAH rumah musnah akibat tragedi kepala anir di Kampung Iboi, Isnin lalu.

Katanya, struktur rumahnya rosak teruk dengan sebahagian besar roboh akibat dirempuh batang pokok dalam kejadian kepala air itu.

“Saya hilang kata-kata bila anak-anak beritahu keadaan rumah. Rumah saya itu memang tidak boleh diduduki lagi kerana sudah tidak selamat.

“Sedih sebab saya, isteri dan anak bongsu kini tinggal sehelai sepinggang kerana semua barang juga rosak dalam kejadian tersebut,” ujarnya.

Katanya, dia mengeluarkan wang sebanyak RM120,000 untuk membeli bahan binaan tidak termasuk upah untuk membina rumah tersebut pada 2013.

Dia berharap agar kerajaan dapat menyediakan rumah untuk dia sekeluarga ber­teduh di lokasi lain dalam masa terdekat.

“Buat masa ini, kami terpaksa menumpang di PPS ini dan mungkin terpaksa menyambut Aidiladha di sini juga,” katanya.

Seorang kanak-kanak lelaki melihat buku sekolahnya yang rosak akibat kepala air Kampung Iboi, Baling, semalam.

Seorang lagi mangsa, Safarina Napiah, 40, berkata, kesemua perabot dan barang elektrik rumahnya rosak.

“Semua barang yang saya dan suami beli sedikit demi sedikit sudah tidak boleh digunakan lagi.

“Jadi saya berharap pihak kerajaan dapat membantu kami mangsa banjir dengan kadar segera,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN