MENERUSI misi itu yang turut bertujuan menyebarkan mesej cinta dan keamanan, Adam telah berjalan dari United Kingdom (UK) ke Mekah sambil menolak troli seberat 250kg.

Berjalan sambil sorong troli dari UK ke Mekah untuk tunai haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AIR mata Adam Mohamed mengalir perlahan tatkala troli seberat kira-kira 250 kilogram (kg) itu tiba di hadapan Masjid Ayesha, Mekah.

Hati lelaki berusia 52 tahun ini terharu dan sebak apabila hajatnya untuk menunaikan rukun Islam kelima bakal tercapai tidak lama lagi.

Ketibaan lelaki itu seakan sudah diketahui apabila beliau disambut mesra oleh para jemaah yang berada di masjid tersebut.

Bergerak secara solo dari kediamannya yang terletak di Wolverhampton, United Kingdom (UK) ke Arab Saudi sejak Ogos tahun lalu, lelaki ini melalui perjalanan sejauh 6,500 kilometer (km) untuk tiba ke tanah suci.

Secara purata, beliau berjalan kira-kira 17.8km setiap hari. Beliau merentasi beberapa buah negara seperti Belanda, Jerman, Republik Czech, Hungary, Romania, Bulgaria, Turki, Syria dan Jordan sebelum memasuki Arab Saudi.

Mendokumentasikan perjalanannya di akaun laman sosial TikToknya sendiri, beliau berjaya mendapat lebih setengah juta pengikut dalam masa 25 hari misi dijalankan. Setelah hampir setahun menjalani misi ke Tanah Suci itu, pengikut lelaki ini bertambah sehingga hampir setengah juta dan menjadi sensasi internet.

Usahanya itu bahkan menjadi sebutan dalam kalangan warga maya di seluruh dunia yang terinspirasi dengan semangat kental dimilikinya itu. Bahkan lelaki ini juga berjaya mencuri perhatian Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang berhasrat mahu menemuinya apabila Adam melalui negara tersebut.

ADAM yang sudah tiba di Mekah baru-baru ini bersiap sedia untuk menunaikan haji bersama jutaan jemaah haji yang lain pada tahun ini.

Pun begitu, Adam bukanlah individu pertama yang berjalan kaki ke Mekah dari UK memandangkan pada tahun 2020, lelaki British, Farid Feyadi terlebih dahulu melakukan misi tersebut bagi memadam salah tanggapan media Barat tentang Islam.

Tahun ini, musim haji bermula pada hari ini, 8 Zulhijah dalam kalendar Islam dan berakhir pada hari ke-12 iaitu dari 8 hingga 13 Julai.

“Saya amat berbangga menjadi anak perempuannya kerana saya tidak pernah menyangka bapa akan melakukan sesuatu yang begitu menakjubkan,” kata Dalya, anak sulung Adam yang berusia 21 tahun.

Berkongsi perjalanan ke Tanah Suci, menurut Adam, dia mula terpanggil untuk mengerjakan haji ketika dunia dilanda pandemik.

Katanya sejak dua tahun lalu, dia sering menyimpan perasaan ingin tahu tentang pelbagai perkara serta banyak mendalami ilmu al-Quran berkaitan kehidupan serta tingkah laku manusia.

“Pada waktu itulah saya mengimpikan untuk menunaikan haji. Bahkan, itulah yang dipanjatkan setiap kali berdoa.

“Entah mengapa pada satu hari sebaik bangkit daripada tidur, saya terus nekad untuk melakukan misi ini iaitu berjalan kaki menuju ke Mekah,” katanya kepada Arab News.

Menolak troli dilengkapi dengan pembesar suara yang memainkan bacaan-bacaan Islam, Mohamed berkata, dia menyebarkan mesej cinta, keamanan dan kesaksamaan.

“Sebaik melangkah kaki keluar dari rumah, saya berazam bahawa ini bukanlah perjalanan saya seorang diri, sebaliknya disifatkan sebagai perjalanan yang menyatukan ummah.

“Sepanjang perjalanan ke Tanah Suci, begitu ramai insan berhati mulia datang memberi penghormatan, menghulurkan makanan. Ada juga antara mereka yang memberikan saya wang dan sanggup membantu menolak troli berat ini.

“Perkara itu ternyata membuatkan saya sangat terharu dan tidak menyangka ia akan berlaku,” jelasnya.

kesungguhan dan kecekalan Adam menjadi inspirasi ramai sehingga banyak pihak ingin membantunya.

Dalam misi tersebut, Mohamed berehat di dalam troli sebesar keranda yang disorongnya setiap hari. Troli yang dihasilkannya sendiri dengan bantuan syarikat kimpalan tempatan itu dilengkapi dengan elektrik bagi membantunya tidur dan memasak.

Tidak semudah yang dilihat, sepanjang perjalanan selama 18 bulan itu, lelaki ini diuji dengan pelbagai kesukaran termasuk berdepan ribut pasir yang dahsyat selain masalah dehidrasi. Bahkan, dia juga pernah menjadi mangsa samun dan diserang oleh masyarakat setempat.

Bagaimanapun, ia tidak melemahkan semangat juang bapa kepada dua orang cahaya mata ini untuk tiba ke destinasi impiannya itu.

“Di sebalik ujian yang dilalui, saya bersyukur kerana dipertemukan dengan insan-insan berhati mulia sepanjang perjalanan ini.

“Saya tidak pernah mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak kerana bergantung sepenuhnya kepada Allah.

“Sepanjang perjalanan ini juga, tiada kekacauan dialami kecuali beberapa anggota polis di beberapa buah negara yang menahan dan menyiasat kerana terkejut melihat keadaan diri saya seperti ini,” jelasnya.

Adam bukanlah satu-satunya insan yang sanggup berjalan kaki merentas banyak negara untuk menunaikan haji.

Pemuda dari Kerala, India, Shihab Chotur juga merupakan antara individu yang menjadi buah mulut masyarakat dunia apabila kisahnya berjalan kaki ke tanah suci tular di media sosial.

ADAM bersama troli yang menjadi tempat untuk dirinya memasak, berehat, tidur dan sebagainya dalam misi itu.

Lebih-lebih lagi apabila Shihab dipercayai merupakan individu pertama dari Kerala yang berjalan kaki ke sana. Memulakan perjalanan sejak 2 Julai lalu, Shihab dijangka tiba di Tanah Suci untuk menunaikan haji pada musim haji 2023 tahun hadapan.

Berjalan sejauh 8,640km, pemilik sebuah kedai runcit di Kerala ini melalui beberapa buah negara iaitu India, Pakistan, Iran, Iraq dan Kuwait sebelum tiba di sana.

“Misi saya ialah mahu tiba ke sana dalam masa 280 hari. Justeru dalam perjalanan ke Tanah Suci, secara purata saya berjalan kira-kira 25km setiap hari.

“Saya bersyukur kerana mendapat sokongan penuh keluarga dan rakan-rakan. Bagaimanapun tidak dinafikan ada beberapa pihak yang membantah misi ini dah mahu menaja perjalanan yang lebih selesa ke Tanah Suci.

“Apapun saya tetap mahu meneruskan perjuangan ini,” katanya.

Memetik portal Timesofindia, pemuda berusia 30 tahun itu berkata, dia memikul beg sandang seberat 10kg yang memuatkan keperluan asas seperti pakaian, selimut dan makanan sepanjang perjalanan tersebut.

Tidak seperti Adam yang berteduh di dalam troli, pemuda ini menjadikan surau-surau yang diziarahinya sebagai tempat untuk berehat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN