BALING – Tragedi kepala air yang melanda 12 kampung di mukim Kupang di sini pada Isnin lalu meninggalkan kesan dahsyat apabila 15 buah rumah di Kampung Iboi lenyap akibat dirempuh batang pokok yang dihanyutkan arus deras.
Antara yang terjejas adalah Kampung Iboi, Kampung Bukit Iboi, Kampung Bendang Ampang, Kampung Padang Ampang, Kampung Tok Saba, Kampung Hangus, Kampung Pisang, Kampung Sadik dan Kampung Tanjung.
Tinjauan Kosmo! mendapati, rumah penduduk dan kedai berhampiran Sungai Iboi lenyap ibarat padang jarak padang tekukur. Kawasan itu dipenuhi pasir dan batang pokok besar yang dihanyutkan arus dari kawasan hulu di Gunung Inas.

Kerja-kerja mendalamkan sungai di lokasi jambatan yang roboh dan membersihkan batang pokok serta sampah giat dijalankan semalam.
Berita berkaitan: Banjir Baling: Bimbang kejadian kepala air berulang jadi kenyataan
Rata-rata penduduk terkejut dan tidak menyangka bencana besar itu berlaku di perkampungan mereka.
Abdul Rahman Said, 71, berkata, rumah yang didiami bersama keluarga lenyap menyebabkan dia bukan sahaja kehilangan tempat tinggal, malah nyawa isteri, menantu dan anak tiri turut terkorban.
“Saya bagaikan tidak percaya tapak rumah yang siap dibina kira-kira 11 tahun lalu kini bertukar menjadi kawasan berpasir.
“Sudah tiada apa-apa lagi di sini, tapak pun sudah tidak ada. Tragedi kepala air ini amat dahsyat sehingga tiada tinggalan langsung ditemui,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Abdul Rahman, rumahnya tidak pernah dinaiki air sebelum ini.
Pemilik kedai kek, Nur Halimah Kuin, 29, pula berkata, dia menerima nasib sama apabila kedai yang diusahakannya sejak tiga tahun lalu ranap.
“Tapak kedai ini kosong yang ada cuma pasir. Ada penduduk beritahu peti sejuk bersama kek dihanyutkan sehingga sejauh tiga kilometer,” katanya.
Wanita itu tidak menyangka akan kehilangan premisnya kerana kawasan tersebut tidak pernah dilanda banjir sebelum ini.
“Masih terbayang kejadian itu yang hampir meragut nyawa saya, ibu dan pekerja yang ketika itu berada di dalam kedai kek,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Nurhafis Mohd. Zobri, 20, memberitahu, dia berasa sedih melihat keadaan Sungai Iboi yang terletak di pusat rekreasi Lata Celak musnah dan airnya pula bertukar keruh.
“Lanskap kawasan rekreasi ini yang dahulunya cantik dengan aliran air jernih, berbatu dan ada banyak pokok di tepi sungai sudah tiada lagi. Sungai kini menjadi lebar dan dipenuhi pasir. Tiada lagi pokok-pokok hutan yang redup menjadi tempat berkelah,” katanya.














