fbpx
ABDUL RAHMAN terpaksa mengehadkan pembelian hanya dua peket minyak masak kepada pelanggan di premisnya di George Town.

Peniaga makanan bolot minyak masak peket

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Pengusaha kantin dan peniaga gerai makanan di tepi jalan didakwa sanggup datang ke kedai runcit mahupun pasar awam seawal pukul 5.30 pagi semata-mata mahu ‘memborong’ minyak masak peket satu kilogram.

Mereka juga sanggup ulang-alik ke kedai dan pergi ke lebih tiga buah premis setiap pagi semata-mata mahu mendapatkan produk bersubsidi itu.

Mereka bertindak sedemikian kerana bimbang stok minyak masak peket yang dijual pada harga RM2.50 sekilogram itu habis disapu pelanggan lain yang turut mengusaha perniagaan sama.

Seorang peniaga runcit, Abdul Rahman Ahmad, 72, berkata, kira-kira 30 peratus pelanggan tetapnya terdiri daripada pengusaha kantin dan peniaga di tepi jalan akan datang ke kedainya untuk membeli bekalan minyak masak peket setiap hari.

“Mereka datang seawal pukul 5.30 pagi, namun saya tetap menghadkan pembelian hanya dua peket untuk setiap pelanggan pada setiap hari.

“Namun mereka juga perlu membeli barangan keperluan lain, jika tidak, memang kami tidak akan jual hanya minyak masak peket. Biasanya, mereka datang membeli bersama barang lain pada harga maksimum RM50 sehari,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Abdul Rahman memberitahu, pihaknya terpaksa menghadkan jumlah pembelian untuk seorang pelanggan bagi memberi peluang kepada isi rumah untuk mendapatkan bekalan minyak masak peket yang dihantar pembekal setiap tiga kali seminggu.

Seorang lagi pembekal barangan runcit di daerah Timur Laut yang mahu dikenali sebagai Ah Tat, 52, memberitahu, dia kini terpaksa menahan telinga dalam berdepan kerenah para pelanggan terutama peniaga makanan.

Katanya, setiap pagi, dia didatangi peniaga makanan kecil-kecilan di tepi jalan sejurus perniagaannya beroperasi pada pukul 8.30 pagi.

“Mereka datang marah-marah dan ada yang mengeluarkan perkataan kesat apabila kami tidak dapat menunaikan permintaan mereka untuk membeli minyak masak peket.

Berita berkaitan: Peniaga tiada pilihan terpaksa naikkan harga makanan

“Jika datang hanya sekali untuk membeli dua peket minyak itu tidak mengapa, ini berkali-kali serta ulang-alik setiap hari dan minggu.

“Orang yang sama dan datang pula meminta lebih lima peket minyak masak setiap hari. Kami terpaksa berkeras kerana bekalan minyak masak peket bersubsidi hanya untuk isi rumah dan pelanggan lain,” ujarnya.

Ah Tat berkata, dia dapat membezakan yang mana pelanggan isi rumah atau peniaga makanan.

Jelasnya, pelanggan isi rumah akan datang membeli minyak masak peket seminggu sekali dan tidak banyak kerenah.

“Bagaimanapun, peniaga makanan, mereka akan datang setiap awal pagi dan bertanya bekalan minyak sambil meminta untuk membeli dalam kuantiti yang banyak,” katanya.

Tambahnya, bukan setakat itu sahaja, bekalan minyak masak peket yang boleh dibeli cuma dua peket dalam sehari itu juga dikatakan akan dijadikan sebagai simpanan stok selama seminggu.

Mulai 1 Julai lalu, hanya minyak masak peket masih diteruskan pemberian subsidi dan har­ganya kekal RM2.50 sekilogram.

Bagaimanapun, minyak masak berbotol tiada lagi pemberian subsidi oleh kerajaan menyebabkan harganya mengalami kenaikan mendadak di pasaran sehingga RM13 terutamanya bagi botol 5 kilogram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN