KEHADIRAN pelakon cantik Raysha Rizrose ke pejabat Media Mulia untuk sesi pemotretan tempoh hari disulami senyuman manis.
Di sebalik keramahan sikapnya, pelakon dengan ketinggian mencecah 170 sentimeter itu bagaimanapun terlihat lemah. Kurang sihat, desisnya.
Seboleh-bolehnya, dia enggan dilihat keberatan, bergagah memenuhi ajakan Pose.
Ketika wajahnya dioles jurusolek, Feiruz Sohor, bekas juara pertandingan Dewi Remaja 2015 itu lebih banyak berdiam daripada bercakap.
Dalam hati penulis, terdetik mungkin kerana Raysha kurang sihat, makanya dia tidak banyak bersuara. Namun ketika ditemu bual, Raysha atau nama lengkapnya Farza Naquraisha Mohd. Fariz memberitahu realitinya dia seorang pendiam dan tidak banyak bercakap.
“Saya pemalu. Saya seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap. Mungkin orang lain akan nampak saya seperti sombong, tapi itulah realitinya,” kata Raysha ringkas.
Di belakang kamera, ternyata, Raysha mempunyai sisi berbeza. Dia bukanlah seorang yang ‘gila-gila’ seperti sangkakan ramai.

Tak popular?
Tidak hairanlah jika namanya kurang disebut-sebut netizen dengan pelbagai gosip tidak enak atau paling ‘busuk’ memperkatakan tentang keburukan perangainya.
Kata pelakon berusia 26 tahun itu, walaupun bergelar seorang pelakon, dia ‘disuluh’ lensa populariti.
Bahkan Raysha perlu menaruh kerisauan seandai popularitinya tidak setanding seperti dua orang kakaknya, Nelydia Senrose dan Uqasha Senrose.
“Saya tidak kisah bila dikatakan tidak popular.
“Sebab saya sendiri tidak sukakan ‘spotlight’ (populariti). Sebelum sertai pertandingan Dewi Remaja, saya sudah beritahu mereka (kakak) saya tidak mahu jadi pelakon.
“Tapi sudah rezeki saya dalam bidang ini. Namun prinsip saya tetap saya, saya tidak mahukan populariti,” katanya.

Cemburu
Ujar Raysha, keberadaannya dalam industri sekadar untuk mempamerkan bakat dalam bidang lakonan dan bukannya mahu mencipta sebarang kontroversi, semata-mata demi meraih populariti.
“Sebagai pelakon, saya hanya mahu peminat melihat bakat saya. Bukannya cerita-cerita yang tidak perlu.
“Saya teringin ada kehidupan normal yang sederhana. Saya mahu sambung belajar, ada keluarga, namun pada masa saya masih meneruskan kerjaya dalam bidang seni,” jelasnya.
Sedar dirinya tidak sepopular Nelydia dan Uqasha, tidak pernah ada sekelumit pun perasaan iri atau sakit hati dengan kejayaan kakak-kakaknya.
Bahkan, Raysha sendiri menjadikan dua kakaknya sebagai idola dalam dunia lakonan, sementelah Uqasha dan Nelydia terjulang sebagai pelakon hebat di matanya.
“Saya tidak pernah ada perasaan cemburu kepada mereka (kakak). Kami tidak pernah bersaing siapa lagi popular dan siapa lagi hebat walaupun hakikatnya memang mereka lebih popular dan berbakat berbanding saya,” jelasnya.
Alang-alang Raysha menyebut tentang keinginan berkeluarga, soalan yang sama terselit dalam perbualan.
Biarpun mengakui rimas asyik disoal tentang cinta, sambil ketawa Raysha memberitahu jawapannya masih sama.
“Saya tidak tahu hendak jawab bagaimana,” katanya ringkas.

Kahwin? Nantilah
Ujar pelakon Bisik-Bisik Gelora itu, hubungannya dengan pelumba Formula 3, Nabil Jeffri sudah pun menjangkau usia 10 tahun.
Bagaimanapun sehingga kini masih belum ada ura-ura mengatakan kedua-dua mereka mahu melanjutkan hubungan ke fasa suami isteri.
Enggan berlapik-lapik, Raysha mengiyakan usikan penulis jika selama 10 tahun ini, entah-entah dia rupa-rupanya sekadar ‘menjaga jodoh orang’.
“Kami sudah 10 tahun bersama. Takut juga kalau selama ini saya tolong jaga jodoh orang. Tapi itulah, saya dan juga Nabil sudah mengenali sejak di bangku sekolah menengah lagi.
“Hubungan kami ibaratnya sudah seperti kawan baik. Untuk berkahwin, saya belum rasa mahu bernikah dalam masa terdekat.
“Nabil ada juga bertanya tentang kahwin, tapi saya kata nantilah,” kata Raysha.
Bertanyakan keistimewaan Nabil di matanya, Raysha berkata lelaki berusia 29 tahun itu merupakan seorang lelaki yang baik.
Biarpun pernah terputus hubungan atas faktor jarak selama lima tahun, namun perasaan kasih sayang antara kedua-duanya masih kuat.
Bahkan Raysha sendiri mengakui sampai satu tahap, baik dirinya mahupun Nabil, masing-masing seperti tidak boleh berpisah.
Bagaimanapun ujar Raysha, dia menyerahkan soal jodoh pada Allah SWT kerana percaya, jika sudah sampai masanya, dia tetap akan ke jenjang pelamin suatu hari nanti
“Doakan sahaja yang terbaik untuk saya,” katanya menutup cerita.

Solekan: FEIRUZ SOHOR (@feiruzsohor)
Rambut: AYUM PRIMADONA (@ayumprimadona)
Penata gaya: YUMI MARINA (@yumimarina)














