Melihat kepada perwatakan jelitawan yang dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2022 ini, siapa sangka, gadis ini sanggup meninggalkan keselesaan hidup dengan menyahut cabaran mengajar di kawasan pedalaman. Disebut-sebut orang sebagai cikgu kaca mata, itulah penampilan lazimnya di sekolah.
Mengajar subjek Pendidikan Pemulihan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai-Sungai, Beluran, Sabah, Frenerietta yang baru ditempatkan di sekolah berkenaan sejak Januari tahun lalu menyatakan, pada awalnya dia memang berasa sedikit jangkal untuk memulakan kehidupan di pedalaman, namun keramahan penduduk setempat serta sokongan guru-guru lain membuatkan dirinya semakin selesa berada di sana.
Jiwa seorang pendidik begitu menebal dalam dirinya kerana menjadi guru adalah cita-citanya sejak kecil. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggung Ibrahim Johor Bahru, dia merupakan cikgu sekolah rendah di Beluran iaitu daerah kecil yang terletak dalam Sandakan. Frenerietta yang mewakili Sandakan dalam pertandingan tersebut kini semakin menempa populariti.
Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my
Cantik dan bijaksana atau dalam bahasa Inggeris disebut beauty with the brain. Itu gambaran yang sesuai diberikan kepada pemenang pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2022, Frenerietta Sobitun.
UNK ialah pertandingan ratu cantik kebudayaan etnik Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) yang menjadi acara kemuncak perayaan Pesta Kaamatan di Sabah.
Menyaksikan penampilan dan keyakinannya berbicara di pentas pertandingan di Dewan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA), Penampang, baru-baru ini, ramai yang pantas menyimpulkan gadis itu bukan sahaja cantik tetapi cerdas dalam menyuarakan pandangan.
Petah berbahasa ibundanya, anak kelahiran Tambunan berusia 25 tahun itu sebenarnya mempunyai kerjaya dalam bidang pendidikan sebagai seorang guru.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggung Ibrahim Johor Bahru, dia merupakan cikgu sekolah rendah di Beluran iaitu daerah kecil yang terletak dalam Sandakan. Frenerietta yang mewakili Sandakan dalam pertandingan tersebut kini semakin menempa populariti.
Melihat kepada perwatakan jelitawan ini, siapa sangka gadis ini sanggup meninggalkan keselesaan hidup dengan menyahut cabaran mengajar di kawasan pedalaman yang serba kekurangan. Disebut-sebut orang sebagai cikgu kaca mata, itulah penampilan lazimnya di sekolah.
Mengajar subjek Pendidikan Pemulihan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai-Sungai, Beluran, Frenerietta yang baru ditempatkan di sekolah berkenaan sejak Januari tahun lalu menyatakan, pada awalnya dia memang berasa sedikit jangkal untuk memulakan kehidupan di pedalaman, namun keramahan penduduk setempat serta sokongan guru-guru lain membuatkan dirinya semakin selesa berada di sana.
“Memang mencabar. Sebenarnya, kita sebagai guru di mana saja ditugaskan akan ada cabaran tersendiri. Di tempat saya itu antara cabarannya ialah mudah dilanda banjir pada musim hujan selain adakalanya tiada liputan talian telefon dan internet. Namun, ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus menjadi seorang warga pendidik yang berdedikasi.
“Pekerjaan ini amat menyeronokkan dan menguji sejauh mana kita mampu menghadapi suatu cabaran itu tetapi bagi saya sendiri kerjaya ini sangat mulia kerana niat kita adalah untuk mendidik anak bangsa menjadi orang yang berguna.
“Apabila sudah terbiasa di pedalaman, kita akhirnya akan berasa seronok dan bersemangat untuk mengajar murid-murid,” katanya ketika dihubungi K2.
Frenerietta berkata, selepas selesai sesi persekolahan di sebelah pagi, menjadi rutinnya untuk melakukan aktiviti riadah bersama penghuni asrama sekolah setiap petang.

“Di sekolah kami ada asrama untuk murid-murid. Setiap petang, saya dan rakan-rakan akan beriadah dengan murid-murid sama ada kami melakukan zumba, main badminton dan berbasikal,” katanya.
Jiwa seorang pendidik turut begitu menebal dalam dirinya kerana menjadi guru adalah cita-citanya sejak kecil.
Biarpun dunia kini di arus pemodenan, Frenerietta juga ternyata seorang yang amat menyanjung tinggi tradisi dan kebudayaan. Bahkan akuinya, penyertaannya dalam UNK bukanlah untuk bersaing, sebaliknya mahu mengembangkan potensinya dalam berbahasa ibunda.
“Otilombus no daa tungkus koubasanan dotokou kasasari,” katanya dalam bahasa Dusun yang bermaksud “semoga warisan budaya kita dapat dikekalkan” sewaktu memberi sokongan kepada beberapa kanak-kanak yang mahu mengikuti pertandingan sebegitu.
UNK adalah pertandingan ratu cantik yang sering dinantikan saban tahun setiap kali tibanya perayaan Pesta Kaamatan di Sabah.
Kecantikan, penampilan, sikap, kebijaksanaan serta kebolehan bertutur dalam bahasa Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus menjadi antara kriteria penting yang perlu ada pada peserta UN yang mewakili daerah masing-masing.
Kemenangan Frenerietta yang mewakili daerah Sandakan sebagai UNK 2022 menamatkan kemarau gelaran itu yang kali terakhir disandang daerah tersebut pada 26 tahun lalu.
Frenerietta berjaya menewaskan 43 peserta lain yang turut mara ke pusingan akhir sekali gus menyaksikan dia mengambil alih takhta UNK daripada pemenang UNK 2021, Maya Hejnowska.
Frenerietta membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai lebih RM120,000 yang disampaikan oleh isteri Yang Dipertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R M Jasni, manakala tempat kedua dimenangi oleh Esther Marius dari daerah Papar dan tempat ketiga Deedee Cassandra Dallius dari daerah Ranau dengan masing-masing membawa pulang hadiah bernilai lebih RM75,000 serta RM62,000.

Mengimbas mengenai persediaan mengikuti pertandingan UNK, Frenerietta berkata, dia telah membuat kajian tentang baju yang diperagakan mengikut daerah yang diwakili.
“Saya asal Tambunan, namun bertanding mewakili Sandakan yang memerlukan saya membuat sedikit kajian tentang budaya, pakaian dan bahasa. Seperti pakaian tradisi itu, saya juga belajar memahami apa maksud setiap warna, motif dan perhiasan yang turut dipakai selain pengetahuan berkaitan kebudayaan-kebudayaan di daerah diwakili.
“Saya turut sentiasa berkomunikasi dengan ahli keluarga dan rakan-rakan yang boleh bertutur dalam bahasa ibunda sebagai latihan,” kata anak ketiga daripada lima beradik itu.
Mengenai kefasihannya bertutur dalam bahasa Dusun, Frenerietta memberitahu, dalam keluarganya, bahasa itu menjadi bahasa pertuturan selain bahasa Melayu. Apabila pulang ke kampung halaman ibu atau bapanya, wajib baginya bertutur dalam bahasa Dusun terutama semasa bercakap dengan datuk dan nenek.
Ditanya mengenai perancangan masa depannya dalam bidang pendidikan, Frenerietta memaklumkan dirinya setakat ini belum mempunyai sebarang perancangan.
“Selain baru dinobatkan sebagai UNK, saya juga masih baru dalam bidang pekerjaan. Oleh itu, semua hala tuju selepas ini harus mengambil kira pelbagai aspek dan pendapat pihak lain agar tidak berlaku sebarang pertembungan.
“Bagaimanapun, sudah pasti niat mahu menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya itu ada. Saya juga mahu menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk memperjuangkan penggunaan bahasa Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus,” katanya.
Frenerietta menasihati semua bakal guru muda yang bakal bersiap sedia daripada segi fizikal dan mental untuk menerima di mana sahaja penempatan yang diberikan kelak.
“Sahut cabaran itu sama ada ditempatkan di sekolah pedalaman atau bandar. Semua sekolah mempunyai cabaran tersendiri dan paling penting kita sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk mendepani cabaran itu demi mendidik anak bangsa,” katanya.
















