JERANTUT – Kesukaran mendapatkan minyak peket di pasaran sejak beberapa bulan lalu membuatkan pembeli tiada pilihan selain terpaksa membeli minyak masak botol pada harga yang lebih mahal.
Rata-rata pengguna yang ditemui menyatakan kegusaran terbeban dengan kenaikan harga minyak masak botol selepas kerajaan bertindak menghapuskan subsidi minyak masak sawit bermula 1 Julai depan.
Berdasarkan tinjauan Kosmo! di beberapa pasar raya di daerah ini dan Lembah Klang mendapati pengguna sudah lama terpaksa membeli minyak masak botol yang dijual disebabkan minyak peket bersubsidi sering habis stok dan tiada di pasaran.
Seorang pengguna, Mohd. Zafrul Ali Zulkifli, 36, berkata, pengumuman kerajaan dibimbangi akan menyebabkan pengguna terbeban kerana terpaksa membeli minyak botol pada harga yang lebih mahal.
“Saya bimbang kerana minyak masak peket tiada dan terpaksa juga membeli minyak botol pada harga mahal yang sudah tentu akan membebankan kami yang berhadapan dengan kenaikan kos hidup pada masa ini.
“Seharusnya kerajaan kena pastikan bekalan minyak peket mencukupi dahulu, kerana selama ini untuk mendapatkan minyak peket pun hanya bergantung kepada nasib sahaja,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, pada masa ini rakyat sudah tertekan dengan kenaikan pelbagai barangan keperluan lain dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Justeru dia berkata, sepatutnya barangan yang menjadi keperluan utama perlu dipastikan terkawal, malah terus diberikan subsidi bagi membantu meringankan beban rakyat.
Sementara itu, di Temerloh seorang pengguna Rosedi Othman, 68, berkata, beliau berharap kerajaan dapat mencari mekanisme terbaik dalam isu minyak masak yang menjadi keperluan harian rakyat.
Ujarnya, pemantauan juga perlu dilakukan lebih kerap bagi memastikan minyak peket dapat dijual kepada isi rumah dan tidak dijual kepada peniaga semata-mata dan berlaku penyelewengan.
Di Selangor, seorang pengguna, Nur Alya, 24 berkata, dia hanya dapat membeli dua paket minyak masak kerana catuan yang ditetapkan di kedai runcit.
“Saya memang sudah biasa guna minyak masak peket tetapi sejak stok minyak masak peket susah dapat, saya terpaksa beli minyak masak botol juga.
“Minyak masak botol memang sudah mahal sekarang akan lebih mahal pada 1 Julai, nampaknya kami semua akan lebih terbeban,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














