fbpx
STESEN kereta api Gemas baharu yang telah dibina pada tahun 2013 berseni bina moden dan ia terletak bersebelahan stesen kereta api lama yang penuh nilai warisan dan sejarah.

Nostalgia stesen kereta api Gemas terus hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEMAS di Negeri Sembilan sejak dahulu sinonim sebagai pekan kereta api di Malaysia kerana menjadi titik pertemuan laluan kereta api dari barat, timur, utara serta selatan dan kini terdapat usaha untuk menghidupkannya semula berteraskan identiti istimewa yang dimilikinya.

Stesen kereta api yang dibina sejak tahun 1906 itu sudah tidak digunakan bermula tahun 2013 apabila stesen kereta api baharu dibina bersebelahannya.

Majlis Daerah Tampin (MDT) dengan kerjasama Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan KTMB untuk membuat Muzium Kereta Api Gemas di stesen lama itu dapat menghidupkan semula stesen berusia lebih 100 tahun ini

———————————————————————————————————————————————————————-

Menjejakkan kaki ke pekan Gemas, Negeri Sembilan yang bersempadan dengan Segamat, Johor ini seolah-olah menggamit memori kehidupan masyarakat dahulu kala yang ekonominya berkembang dek kerana wujudnya perkhidmatan kereta api.

Biarpun pembangunan kini semakin giat di kawasan itu, masih terdapat beberapa barisan kedai lama yang hanya menunggu masa kurang 10 tahun lagi untuk mencecah usia 100 tahun serta dianggap bangunan warisan.

Tiada cacat celanya perasaan dan suasana sedemikian memandangkan di sebalik pekan tersebut tersembunyi elemen bersejarah negara iaitu Stesen Keretapi Gemas yang berusia 116 tahun dan kini dalam proses untuk dipulihkan buat warisan generasi akan datang.

Stesen kereta api yang dibina sejak tahun 1906 itu sudah tidak digunakan bermula tahun 2013 apabila stesen kereta api baharu dibina bersebelahannya.

Gemas sejak dahulu lagi memang dikenali sebagai pekan kereta api di negara ini memandangkan di situlah titik penghubung laluan kereta api dari utara, selatan, barat dan timur Semenanjung Malaysia.


MOKHTAR menunjukkan antara struktur turn table yang pernah digunakannya dahulu untuk memusingkan kepala kereta api mengikut destinasi.

Menurut seorang individu menetap di pekan itu, Mokhtar Md. Saleh, 69, Gemas sudah cukup sinonim dengan kereta api sehinggakan pada masa dahulu, setiap keluarga menetap di pekan mahupun perkampungan berhampiran pasti akan mempunyai wakil yang bekerja dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

“Keluarga saya saja ada dua orang bekerja dengan KTMB. Saya sendiri berpeluang bekerja selama 30 tahun sebagai pemandu kereta api bermula awal tahun 1980-an.

“Banyak kisah menarik di sebalik lokasi ini yang merupakan satu-satunya titik pertemuan pengguna kereta api dari segenap arah di Semenanjung Malaysia ini,” katanya ketika ditemui K2.

Jelas Mokhtar, pengguna kereta api dari Perlis hingga Johor yang mahu ke Pantai Timur pasti akan bertemu di Gemas dan begitulah sebaliknya, penduduk di Pantai Timur yang mahu ke utara atau sebagainya akan bertemu di Gemas.


PERKEMBANGAN pekan Gemas, Negeri Sembilan dari dahulu hingga kini banyak dimainkan peranannya oleh kewujudan stesen kereta api terpenting di negara ini.

Mokhtar akui, dia sebenarnya amat berbangga apabila dapat melihat kemudahan pengangkutan kereta api semakin maju sehinggakan tidak perlu lagi menukar haluan kepala kereta api sebagaimana tugasnya dahulu.

“Dengan menggunakan turn table (meja pusingan lokomotif), kepala kereta api akan dipusingkan mengikut destinasi. Jika kereta api dari Kuala Lumpur nak ke Johor tidak perlu dipusingkan kepalanya, tetapi jika ke Pantai Timur atau berpatah balik ke Kuala Lumpur perlu dipusingkan terlebih dahulu.

“Masa pusing ini tak boleh buat seorang, kena dua ke tiga orang kerana menggunakan sepenuhnya kudrat manusia. Kini, kepala kereta api ada di kedua-dua arah,” kongsinya.

Kata Mokhtar, walaupun teknologi semakin berkembang dan stesen lama telah digantikan dengan stesen baharu bagi memenuhi spesifikasi landasan kereta api laju, dia amat berharap agar sejarah Gemas sebagai pekan kereta api dapat dikekalkan.

“Disebabkan stesen kereta api inilah, pekan Gemas sejak dahulu lagi masih bernafas sehingga operasinya berakhir pukul 10 malam.

“Saya harap perancangan Majlis Daerah Tampin (MDT) dengan kerjasama Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan KTMB untuk membuat Muzium
Kereta Api Gemas di stesen lama itu dapat menghidupkan semula stesen berusia lebih 100 tahun ini,” ujarnya.


ZAHARI menunjukkan pelan pembangunan Gemas sejajar dengan naik taraf Stesen Keretapi Gemas yang lama sebagai Muzium Kereta Api Gemas.

Sementara itu, Yang Dipertua MDT, Zahari Md. Afandi berkata, pembinaan Muzium Kereta Api Gemas kini sudah memasuki fasa kedua membabitkan kerja-kerja naik taraf gerabak hingga penginapan pelancongan serta pembinaan bangunan baharu muzium.

Menurutnya, fasa pertama iaitu membaik pulih gerabak dan bangunan sedia ada telah dilaksanakan dan dijangka seawal Julai ini, kafe di stesen kereta api Gemas lama iaitu yang berada di bawah muzium akan mula beroperasi.

“Terdapat beberapa pengendali yang berminat. Ia berkonsepkan kopitiam dan kita harap agar tarikan pertama ini akan menghidupkan lokasi bersejarah ini selain menarik ramai pengunjung sebelum muzium ini beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2025.

“Gemas sebenarnya pekan istimewa yang berpotensi untuk dibangunkan bagi menarik kedatangan pelancong,” kata Zahari.
Terangnya, pelan pembangunan muzium membabitkan tiga fasa dengan nilai peruntukan sebanyak RM4,560,000 telah dimulakan sejak tahun 2018 lagi.

Bagi fasa pertama (2022 -2021) dan kedua (2022-2023), peruntukan diperoleh dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kerajaan Negeri Sembilan.

“Skop kerja fasa pertama ialah baik pulih bangunan lama, jejantas, tandas, surau, enam gerabak kereta api, dua platform, longkang, ganti pagar lama dan ‘gutter’, menaik taraf pendawaian elektrik serta peralatan elektrik seperti lampu, kipas dan pendingin hawa.

“Antara skop kerja bagi fasa kedua ialah pembinaan bangunan muzium tambahan, baik pulih jambatan timbang, turn table lama dan landasan lama. Malah, perancangan lain ialah menjadikan gerabak-gerabak lama sebagai hotel dan kafe.


AZMAN (kanan) menunjukkan stesen kereta api lama Gemas yang kini sedang rancak dibaik pulih untuk dijadikan Muzium Kereta Api Gemas dengan bahagian kafenya dijadualkan dibuka bulan depan.

Bagi muzium pula, bahan pameran akan diselaraskan dengan kelulusan pihak pengurusan KTMB serta RAC.

Kongsi Pegawai Operasi KTMB Gemas, Azman Abdullah, berdasarkan perkongsian sejarah orang tua dahulu, perkhidmatan kereta api di Gemas wujud seawal tahun 1900-an bagi membawa hasil mahsul zaman penjajah sebelum dikembangkan sebagai pengangkutan penduduk setempat.

Menurutnya yang merupakan anak jati Gemas, dahulunya pengangkutan utama penduduk di sekitar Londah dan Kampung Ladang untuk ke Gemas ialah menggunakan kereta api.

“Kini, perkhidmatan kereta api mempunyai peminatnya yang tersendiri dan bukan hanya digunakan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sama ada dengan menaiki KTM Ekspres Makmur ataupun KTM Ekspres Rakyat Timuran.

“Stesen Gemas juga mendapat tempias apabila percutian tular Train to Dabong tersebar di laman sosial dengan pengembaraannya bermula dari Stesen Keretapi Gemas bagi penduduk dari barat dan utara Semenanjung,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN