fbpx
Dr. SITI AISHAH menceritakan mengenai masalah vaginismus kepada wartawan Kosmo! ketika ditemui di kliniknya di Langkawi baru-baru ini.

Derita vaginismus, 11 tahun berkahwin tapi masih dara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LANGKAWI – Ramai dalam kalangan wanita yang mengalami masalah vaginismus takut untuk melakukan hubungan kela­min dengan pasangan masing-masing kerana dimomokkan dengan ke­sakitan sejak usia muda.

Malah, ada wanita yang meng­alami masalah itu disebabkan trauma dan benci dengan lelaki kerana pernah dicabul.

Vaginismus merupakan masalah untuk melakukan hubungan kelamin apabila berlaku ketegangan dan kekejangan pada otot bahagian faraj.

Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Siti Aishah Yunos berkata, kebanyakan pesakit yang mende­rita penyakit itu pada peringkat awal langsung tidak dapat me­lakukan hubungan kelamin selepas berkahwin menyebabkan mereka tidak dikurniakan zuriat.

“Terdapat kes pesakit mendengar cerita ‘seram’ daripada rakan-rakan dan ahli keluarga termasuk ibu yang menakut-nakutkan mereka tentang hubu­ngan seks bagi mengelak zina.

“Jadi, wanita terbabit meng­anggap hubungan kelamin adalah menyakitkan,” katanya ketika ditemui di kliniknya di sini baru-baru ini.

Menurut Dr. Siti Aishah, terdapat pasangan yang tidak mempunyai anak walaupun sudah mendirikan rumah tangga selama 11 tahun disebabkan mende­rita masalah tersebut.

Jelasnya, kebanyakan pasangan merahsiakan tentang masalah tersebut kerana ‘aib’ dalam rumah tangga selain ada yang tidak menyedari mereka mengalami vaginismus di­sebabkan kekurangan ilmu.

Dr. Siti Aishah memberitahu, vaginismus yang berlaku terhadap wanita selepas bersalin atau menjalani pembedahan kanser rahim pula dikategorikan sebagai tahap sekunder (secondary).

“Mereka sebelum ini tidak mempunyai masalah tetapi vaginismus berlaku selepas melalui proses bersalin. Mereka berasa takut untuk ‘bersama’ suami ke­rana risau mengalami kesakitan.

“Namun begitu, setakat ini, saya belum menerima pesakit tahap secondary,” katanya.

Beliau menasihatkan wanita yang mengalami masalah tersebut agar mendapatkan rawatan awal. Jika tidak diatasi, ia boleh membawa kepada depresi dan anxiety (keresahan). Paling pen­ting adalah sokongan pasangan masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN