fbpx
BAGI Roslin, pemain yang ada sekarang perlu menjadikan pencapaian legenda badminton negara, Chong Wei sebagai pembakar semangat, bukannya tertekan untuk melakar kejayaan gemilang.

Jadikan Chong Wei inspirasi, bukan tekanan- Roslin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kejayaan India menjulang Piala Thomas baru-baru ini sememangnya memberi tamparan hebat kepada negara-negara yang mendominasi sukan badminton seperti Malaysia. Ia hadir dengan kemerosotan prestasi sukan badminton negara pada masa ini.

Kolum Wawancara minggu ini membawakan bekas pemain perseorangan utama negara dan pemain No.1 satu dunia, Roslin Hashim yang membicarakan tentang perkara tersebut dan beberapa isu berkaitan prestasi atlet badminton negara yang perlu dipertingkatkan lagi demi maruah kita sebagai pasukan disegani selama ini.

Turut dibicarakan tentang ketiadaan Datuk Lee Chong Wei dan impaknya ke atas skuad badminton negara pada masa sekarang.

————————————————————————————————————————————————————————————————————————–

KEJAYAAN pasukan India menjulang Piala Thomas buat pertama kali dalam sejarah negara berkenaan baru-baru ini pastinya memberi tamparan hebat kepada kuasa-kuasa besar sukan badminton dunia.

Pada perlawanan akhir pasukan India berjaya menewaskan juara bertahan Indonesia dengan kiraan 3-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di ibu kota Bangkok, Thailand.

Malah, India berjaya menjinakkan dua lagi pasukan hebat sukan badminton iaitu Denmark pada peringkat separuh akhir dan Malaysia ketika suku akhir.

Kejayaan India itu seharusnya menjadi penyuntik semangat kepada pasukan negara untuk terus bekerja keras bagi melahirkan lebih ramai pemain hebat pada masa depan.

Dewasa ini, prestasi pemain badminton negara dilihat kurang menyengat terutamanya apabila beraksi di pentas tertinggi dunia dan sering terkandas pada peringkat suku akhir dan separuh akhir.

Jadi, sudah tiba masanya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menekan butang panik terhadap prestasi semasa pemain negara dan tidak boleh memandangnya dengan sebelah mata sahaja.

Bagi mengupas isu ini, wartawan Kosmo! Ahad, Mohd. Shazwan Yusop berkesempatan menemu bual bekas pemain perseorangan utama negara dan pemain No.1 satu dunia, Roslin Hashim.

KOSMO! AHAD: Kejayaan India menjulang Piala Thomas buat kali pertama baru-baru ini memberi tamparan hebat kepada negara-negara kuasa badminton seperti Malaysia. Apa yang anda lihat dengan peningkatan prestasi menakjubkan pasukan India?

ROSLIN: Pada pandangan saya, kejayaan India melakar kejutan pada Piala Thomas baru-baru ini disebabkan faktor kekuatan pemain perseorangan pertama, Lakshya Sen dan kedua, Prannoy H.S serta regu utama mereka.

Kalau ikutkan, pemain perseorangan ketiga dan regu kedua mereka tidaklah terlalu kuat. Jadi, mereka menyasarkan mata daripada pemain-pemain kuat ini. Pada saya, strategi pasukan India itu sangat berjaya serta berkesan.

Satu lagi faktor pendorong kejayaan India adalah semangat tinggi mereka untuk bergelar juara selepas layak ke final buat kali pertama.

Sudah pasti apabila layak ke final, tiada salahnya untuk cuba menjadi juara meskipun terpaksa berdepan juara bertahan, Indonesia.

Mereka (India) bermula sebagai pasukan belasahan sebelum ini, namun berusaha tanpa jemu dan akhirnya bangkit dengan cepat mencipta kejutan, sedangkan kita masih tercari-cari rentak kembali cemerlang di persada antarabangsa. Pada pandangan anda, apakah rahsia kejayaan mereka?

Kebangkitan pasukan India ini mula dihidu sejak sejak sedekad lalu selepas munculnya pemain-pemain hebat seperti Srikanth Kidambi dan pemain perseorang wanita mereka iaitu Saina Nehwal.

Saya sendiri pernah ke India sebelum ini selepas dijemput oleh sebuah kelab badminton di sana.

Saya dapati minat penduduk di negara tersebut terhadap badminton semakin meningkat. Pemandangan kanak-kanak bermain badminton di tepi-tepi jalan merupakan perkara biasa di sana.

Saya juga difahamkan oleh pegawai kelab berkenaan, badminton sudah menjadi sukan nombor dua di India selepas kriket ketika ini.

Jika sebelum ini sukan nombor dua India adalah hoki, tetapi kini sudah dipintas oleh badminton. Malah, ramai ibu bapa di sana mula menghantar anak-anak mereka ke akademi badminton.

Ramai berpandangan, pemain-pemain badminton kita terus gagal untuk menyerlah di peringkat antarabangsa biarpun ada beberapa pemain kelihatan menyerlah. Apa yang perlu BAM sekiranya negara ingin memenangi Piala Thomas pada edisi akan datang?

Kita ada masa dua tahun lagi untuk menguatkan pasukan negara terutamanya dalam acara perseorangan lelaki.

Saya dapati jurang kualiti antara pemain perseorangn pertama negara iaitu Lee Zii Jia dengan perseorangan kedua, Ng Tze Yong dan ketiga, Lee Jun Hao negara cukup ketara.

Justeru, saya fikir BAM perlu melakukan sesuatu bagi memastikan prestasi Tze Yong dan Jun Hao meningkat dalam tempoh dua tahun ini.

BAM harus memberi pendedahan kepada pemain-pemain ini dalam kejohanan besar mengikut kelayakan merit mereka.

Kalah tidak apa, paling penting mereka memperoleh pengalaman bersaing dengan pemain-pemain ranking tinggi.

Kalau acara beregu, saya rasa kita tidak ketandusan pemain hebat. Malah, dua regu kita berada dalam ranking 12 teratas dunia ketika ini.

Baru-baru ini, anda mencetuskan kontroversi dengan menyebut nama sebilangan individu yang berada dalam BAM sebagai punca kemerosotan prestasi atlet kita. Adakah ia hanya tuduhan sembrono dan sejauh mana kebenarannya?

Selepas video saya viral sebelum ini, beberapa bekas pemain negara turut menyatakan pendapat senada dengan saya.

Saya fikir, sudah tiba masanya orang-orang muda yang berpengalaman dalam pengurusan sukan mengambil alih tugas-tugas mereka ini dalam BAM.

Saya tidak cakap bekas pemain perlu meneraju pengurusan BAM.


UJAR Roslin, jurulatih tempatan tidak kurang hebat jika dibandingkan dengan tenaga luar untuk melatih pemain-pemain negara terutamanya bakat-bakat muda dalam badminton.

Saban tahun, kita dengar ada sahaja pemain di bawah naungan BAM meninggalkan kem latihan kebangsaan untuk bergerak sendiri. Apa sebenarnya yang mendorong mereka meninggalkan BAM?

Saya pun tidak tahu faktor utama yang mendorong pemain-pemain yang ada dalam BAM ini ingin keluar daripada badan induk badminton negara itu.

Mungkin pemain-pemain ini berasakan mereka lebih selesa bergerak sendiri berbanding di bawah naungan BAM.

Namun, BAM sebagai badan induk badminton negara harus mengetatkan peraturan sedia ada bagi mengelakkan ia menjadi satu budaya dalam kalangan pemain pada masa akan datang.

Sebelum ini, saya pernah menyuarakan rasa ketidakpuasan hati apabila BAM melepaskan Zii Jia bergerak secara profesional tanpa dikenakan sebarang tindakan.

Masa zaman saya dahulu, saya kena bayar denda lebih RM60,000 apabila ingin keluar daripada BAM.

Perkara ini penting bagi mengelakkan negara rugi selepas membuat pelaburan besar dalam proses pembangunan seseorang pemain badminton.

Adakah selepas era bekas pemain No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei, kita boleh dianggap ketandusan untuk mencungkil bakat-bakat hebat dalam sukan badminton?

Pada saya, kita tidak ketandusan pemain berbakat.

Kita boleh dilihat Zii Jia berjaya menempatkan diri dalam lima pemain terbaik dunia ketika ini.

Malah, permainannya kian meningkat dan tenang selepas bergerak secara profesional.

Sudah pastilah, Zii Jia sendiri tidak mahu disamakan dengan Chong Wei.

Saya sedar, ramai peminat badminton di luar sana mahu melihat Zii Jia mengikut jejak langkah Chong Wei.

Pada saya, biarlah Zii Jia membina karier dan kejayaanya sendiri tanpa dibayangi sesiapa.

Kalau Zii Jia tidak dapat memenangi Kejuaraan Dunia atau pingat emas Olimpik sekali pun, saya yakin dia sudah mencuba sehabis baik untuk mengharumkan negara.

Menurut Roslin, jurang gaji yang ketara diterima jurulatih tempatan berbanding import menyebabkan mereka berhijrah ke luar negara.

Pada pandangan anda, adakah pemain perseorangan yang ada pada masa ini tertekan dengan harapan peminat yang begitu tinggi untuk melihat prestasi mereka sehebat Chong Wei menyebabkan prestasi ditunjukkan sentiasa naik turun?

Kalau pemain sekarang ini memikirkan pencapaian hebat Chong Wei sebagai tekanan, ia satu kesilapan.

Sepatutnya, pencapaian pemain legenda negara itu harus dijadikan pembakar semangat kepada pemain-pemain muda kita untuk berjaya.

Saya sedar bukan mudah untuk mencapai kejayaan seperti Chong Wei, namun sekurang-kurangnya mereka harus cuba mencapai sesuatu.

Contoh paling ketara adalah Tze Yong. Ramai menganggap dia sebagai pengganti Chong Wei sebelum ini selepas Zii Jia meninggalkan BAM.

Selepas itu, saya lihat prestasinya semakin merosot. Saya tidak tahu tekanan yang diletakkan jurulatih dan pihak pengurusan kepadanya.

Saya harap prestasinya kembali bangkit dan ia tidak berlarutan terlalu lama.

Kadangkala, tekanan juga boleh menyebabkan prestasi pemain merudum.

Kita sebenarnya tidak ketandusan dari segi jurulatih berbakat yang terbukti berjaya menaikkan nama beberapa negara yang sebelum ini dianggap pasukan lemah . Adakah kita terlepas pandangan dengan bakat mereka untuk berbakti kepada negara?

Kami bekas pemain pernah mengutarakan isu ini kepada BAM sebelum ini.

Kalau tengok pencapaian jurulatih luar terutamanya dari Indonesia yang diambil oleh BAM ketika ini tidak ada jauh bezanya dengan jurulatih tempatan.

Saya percaya gaji yang dibayar kepada jurulatih luar ini sangat mahal, mungkin sekitar RM50,000 hingga RM60,000.

Apabila ambil jurulatih tempatan,saya rasa RM20,000 pun sudah cukup.

Jurang gaji yang ketara ini mungkin menjadi penyebab ada jurulatih tempatan memilih berkelana ke luar negara seperti Jeremy Gan dan Tan Kim Her di Jepun.

Sepatutnya, BAM tawarkan gaji kepada jurulatih tempatan ini sama dengan jurulatih luar yang diambil.

Dari segi pencapaian, saya rasa tidak ada jauh bezanya. Kalau jurulatih luar ini diambil atas dasar bekas pemain ternama, bekas pemain kita pun apa kurangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN