DISEBABKAN tidak dapat memberikan kemewahan, selain hasutan keluarga, Man (bukan nama) sebenar menurut kehendak isterinya yang minta dilepaskan.
Menurut Man, dia dan isterinya menjalin hubungan percintaan sejak di bangku sekolah dan akhirnya mengambil keputusan untuk berkahwin pada usia awal 20-an.
Dia mengakui isterinya memiliki raut wajah yang cukup menawan dan sesiapa sahaja yang melihatnya pasti akan tertarik.
Man yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, disebabkan pekerjaannya itu, dia sering diperli dan dipinggirkan oleh ibu dan bapa mentua serta ipar-duainya.
“Saya sedar, saya bukanlah menantu pilihan kerana hanya bekerja sebagai pemandu lori, sedangkan ahli keluarga isterinya boleh dikatakan berjaya.
“Abang dan kakaknya bekerja sebagai pegawai di sektor awam awam, begitu juga dengan pasangan mereka.
“Isteri saya berdegil pada ketika itu dan mahu juga berkahwin dengan saya dengan menolak calon pilihan keluarganya,” katanya.
Tahun pertama perkahwinan mereka, semuanya berjalan lancar. Walaupun tidak semewah orang lain, kehidupan mereka tetap bahagia.
Man mengakui, dia tidak dapat memberikan kemewahan kepada isterinya kerana gajinya yang kecil dan pada masa sama, masih perlu membantu keluarganya.
Lama-kelamaan, disebabkan terpengaruh dengan kehidupan adik-beradiknya yang lain, isteri Man mula meminta untuk membeli barang-barang yang boleh dikatakan mewah.
Katanya, bagi memenuhi permintaan tersebut, dia terpaksa berhutang.

Sejak itu, Man berkata, isterinya sering merungut kerana kehidupan mereka tidak semewah orang lain.
“Kami selalu bergaduh kerana hal-hal yang melibatkan kewangan.
“Terdetik di hati untuk melepaskan isteri jika dia memohon fasakh, andai itu membuatnya lebih bahagia.
“Saya tertekan dan berasa seperti lelaki tidak berguna kerana tidak mampu untuk memberikan kemewahan kepada isteri,” ujarnya.
Semakin hari perkahwinan yang dibina atas dasar cinta pada mulanya mula retak, malahan isterinya itu sering pulang ke rumah keluarganya apabila mereka bergaduh.
Ada ketikanya, hampir sebulan isterinya tidak pulang ke rumah.
Apabila Man pergi untuk menjemputnya, dia tidak dibenarkan berjumpa dengan isterinya.
Satu hari, Man menerima kejutan daripada satu pesanan WhatsApp daripada isterinya yang meminta untuk dilepaskan.
“Dia memberi alasan sudah tidak sanggup untuk terus hidup bersama saya kerana tidak mampu memberi kemewahan kepadanya.
“Selain itu, dia mengakui telah mengenali lelaki lain yang memiliki kerjaya lebih baik. Dia juga akan memohon fasakh jika saya tidak ingin melepaskannya,” katanya.
Man mengetahui, keluarga yang menghasut isterinya untuk berbuat demikian.
Akhirnya Man membiarkan isterinya menuntut fasakh di mahkamah syariah dan mereka sah berpisah secara baik.














